Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 26 Sep 1936, p.2

Leader Article

Pemandangan Di Atas Umat2 Melayu.

Hayyul Jauhar.

Telah berkata ahlul aqli “pandang dan fikirkanlah akan tiap2 sesuatu keburukan dan kehinaan yang akan berlaku itu maka iaitu terlebih baik daripada menginginkan akan segala kesenangan dan kesukaan”.

Perkataan yang di atas ini jaranglah adanya di atas segala fikiran umat2 kita bahkan sebaliknya pula ( daripada yang tersebut itulah) saksikanlah dengan mata kepala kita sendiri berapa orangkah daripada umat2 kita ta´ usahakan kata yang tertugas memperhadapkan dirinya dalam beberapa kesukaran pekerjaan yang berkehendakkan kekuatan hemah bagi faedah am. Hatta kepada yang menjalankan pekerjaan dirinya itu pun adakah terhadap fikirannya itu yang tujuan pekerjaannya itu kerana muslihat kaum keluarganya bagi mehapuskan bencana keburukan dan kehinaan dengannya bangsa asing telah bermegah2 dan menduduki ke kemuncak kemajuan itu?

Umat kita lazimnya banyaklah yang memperhadapkan pekerjaannya itu semata2 khas bagi faedah dirinya sahaja untuk membuncitkan perutnya, memuaskan nafsunya, memenuhi kesukaannya dan – dan – hingga tidaklah ia mengerti apa itu keburukan, apa itu kehinaan apa itu kesusahan dan apa itu kesakitan. Maka mereka inilah yang dikatakan tidak ada sama sekali pada fikirannya sebagaimana perkataan ahlul aqli yang tersebut itu hingga mudahlah berlaku perbalahan antaranya satu sama lain, yang demikian mudahlah pula jatuhnya kelambuh perangkap yang terkebawah sekali.

Maka inilah hal yang menunjukkan seberat2 tanggungan ke atas bumi kita Melayu hingga dipandang oleh segala mata dan kelayuannya itu. Maka dengan apakah jalan bagi menghilangkan layunya itu? Oh, tak lain lagi melainkan dengan jalan akal dan fikiran kitalah sesungguhnya barangkali pada masa ini belum nampak lagi upayanya. Akan tetapi kita harapkan masa inilah juga berhasil upayanya itu. Kelebihan kita manusia ialah dengan kerana akal dan fikiran juga. Tetapi boleh kurang antara beberapa umat itu ialah dengan berlebih kurang kesuburan akalnya. Maka nyatalah umat kita ini belum begitu subur akalnya. Dan jalan mensuburkannya ialah dengan banyak kekuatan usaha dan ikhtiar pada pelajaran daripada berbagai2 ilmu pengetahuan dan perkara yang terutama bagi umat kita ialah pengetahuan adabiah daripada perkara2 ugama Islam inilah yang sangat2 diberatkan daripada segala yang lainnya. Sanya kejatuhan umat kita ialah dengan sebab kelemahan dan kekurangan kita dalam perkara ugama yang dengan inilah juga dalil yang menunjukkan kelemahan segala perkara2 yang lain itu.

Diibaratkan berbagai2 buahan2 yang telah diketahui akan dia ada yang manis ada yang masam maka didahulukan memakan yang masam itu dari sebab itu tidaklah menjadikan pelik sekiranya ia sakit perut yang menjadikan lemah kekuatannya pada memakan yang manis itu. Adapun yang ia telah memperoleh kemajuan itu ialah dengan sebab mereka itu lebih dahulu telah mensuburkan akalnya dan memperelokan dia sekalipun yang mereka tidak mendapat kemanisan yang hakiki dari kerana pintu2 yang menuju kepadanya itu telah ditutup baginya akan tetapi tiadalah mereka mahu sekali2 kemasaman yang zahir sekiranya diketahui oleh mereka itu ada padanya yang manis.

Hari ini alhamdulillah maka zahirlah bagi kita umat2 Melayu ini beberapa orang penganjur2 kita yang sedang menjalankan muslihatnya bagi faedah kita amnya yang kita berharap mudah2an sedikit masa lagikan terdirilah kekuatan yang mengembalikan umat Melayu kita kepada keadaan kekuatan Islam yang sedia kala itu.

Hal2 yang mengherankan pula, tatkala berdirilah penganjur2 itu bagi menghamburkan faedah untuk kemajuan dan keselamatan umat2nya. Maka segeralah setengah daripada umat2 kita itu berdiri menjalankan acuman ataupun mengangan2 ke atas daripada perkara2 yang tidak munasabah sama sekali mereka ini tak dapat tiada ialah daripada mereka2 yang termaklum di atas itu. Kita berkata dengan terus terang satu daripada penganjur yang kita kehendaki di sini ialah seperti yang dikasihi “Tok Aki” kita. (memudahlah kita sebutkan penganjur yang ternama di suratkhabar dahulu). Maka apakah perkara yang telah berlaku ke atasnya? Mudah2an kita semua maklum inilah halnya yang menggoncangkan umat2 kita iaitu daripada perbuatan setengah daripada umat kita juga. Dalam pada itu kononnya umat kita juga yang berharap2kan kemajuan keselamatan keamanan kesentosaan kesenangan dan, dan, dan, tetapi mengertikah umat kita akan perbuatan mereka yang manakah keburukan, kehinaan, kerusakan, kebinasaan dan lain2nya itu?

Lihatlah pula pada hal2 perniagaan pertukangan, rekaan, dan lain2nya itu, betapakah kesudahannya? Jawabnya heranlah kita ke atas umat2 kita apa sebab? Tak payahlah disebutkan lagi.

Pisang tanduk besar buahnya

Masak ditaruh di atas karan

Kucing bertanduk apakah maknanya

Inilah halnya kejadian yang heran

Buka bungkusan di tengah terang

Itulah kejadian yang sangat heran

Inilah halnya dunia sekarang

Terang bulan pagi hari[an]

Terangnya sampai ke petang hari

Terang sungguh intan biduri

Tetapi tak kenal oleh si Jauhari

Terangnya sampai ke petang hari

Kemudian gelap pula ia

Tetapi tak kenal oleh si Jauhari

Inilah alamat dunia yang fana