Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Apr 1930, p.73

Feature Article.

Tuntutan Bangsa Asing di Tanah Melayu. Pemuda-Pemuda Melayu Mesir.

Belumpun lama tuntutan dan picitan bangsa-bangsa Asiatic yang bukan Melayu itu dikemukakan di surat-surat khabar dan majalah-majalah Melayu kita, nampaknya orang-orang Melayu kita yang terpelajar telah berasa cukup sedar akan segala bahaya yang tergantung-gantung di atas awan langit Melayu.

Pemuda-pemuda kita di Mesir telah menghantar dengan seberapa segera suatu kawat kepada Majlis Legislative Council Negeri Selat meminta kepada Kerajaan supaya menahan permintaan ahli-ahli mesyuarat yang bukan jawatan daripada bangsa Cina ((dan Eurasian jua)).

Pada tentang ini kita mengaku bahwa kesemua sekali bangsa Melayu termasuk Raja-Raja dan Orang Besar-Besar di Negeri-Negeri Melayu ada bersetuju dengan fikiran dan tujuan kerajaan mengikut sebanyak yang telah keluarkan dan dijawabkan kepada wakil-wakil bangsa asing itu.

Sungguhpun dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu belum ada, dan belum berani wakil-wakil bangsa asing itu mengemukakan tuntutannya seperti yang telah dikeluarkannya di Negeri-Negeri Selat itu, tetapi orang-orang Melayu nampak bahwa tujuan mereka itu jikalau dapat betis akan berkehendak pula kepada paha. Jikalau lulus tuntutan Cina, maka bangsa Serani dan Keling akan sama pula mengikut jejaknya mendapat hak itu di negeri-negeri Selat. Dan apabila berlaku yang demikian itu di Negeri-Negeri Selat, maka lambat laun diungkit-ungkitlahnya pula sampai ke Negeri-Negeri Melayu. Tetapi orang-orang Melayu di Negeri-Negeri Melayu pada masa ini boleh mentenangkan hatinya bahwa hak-hak bangsanya itu sedia dipertahankan dan dijaga dengan kuat oleh Raja-Raja dan Orang-Orang Besarnya.

Kerajaan Inggeris yang maha adil dan sangat menimbang rasa itu tidak rasanya akan membuat dan mengubah sesuatu tujuannya yang telah tetap itu dengan tidak bermesyuarat dan mendengar fikiran Raja-Raja kita.

Maka yang dikehendaki sekarang hanyalah orang-orang Melayu kita amnya patut mengetahui apa yang jadi dan berlaku dan dikemukakan oleh bangsa-bangsa asing di Tanah Melayu ini, serta memperhatikan dengan pandangan ingat dan cemburu di atas segala gerak-gerak kaum Cina dan lainnya yang tidak cukup-cukup lagi dengan segala kemewahannya di Tanah Melayu ini.

Apabila telah diambil tahu dan sedar akan sekalian yang tersebut itu, patutlah pula orang-orang kita Melayu lebih sedar akan kelemahannya dan kelebihannya dalam serba-serbi. Kelalaian yang mana telah menyebabkan negeri kita ini dipenuhi oleh orang-orang kaya bangsa Cina. Maka dengan sebab itu patut orang-orang Melayu menunjukkan lebih-lebih usahanya dan taatnya kepada Raja-Raja dan Orang Besar-Besarnya serta dengan terutama sekali kepada Kerajaan Inggeris yang senantiasa memandang kepada orang Melayu dengan pandangan kasihan dan timbang-rasa, bahkan orang-orang Melayu patut sedar dan tahu akan segala budi pekerti kerajaan yang telah ditaburkannya kepada Malaya. Tetapi jikalau sebagaimana sekalipun sayangnya dan kasihannya kerajaan itu kepada bangsa kita, jikalau kita sendiri tidak hendak berusaha memenuhi segala cawangan kepandaian pekerjaan dan perniagaan, maka tentulah kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, melainkan diri kita sendirilah jua yang salah.

Rempuhan bangsa-bangsa Asiatic yang bukan Melayu di Negeri-Negeri Selat itu bukannya sahaja akan menyusahkan bangsa Melayu, tetapi mengikut daripada apa yang tersiar di dalam majalah, "Review of Malaya", yang terbit di Singapura itu, bahwa rempuhan mereka itu telah menutup jua beberapa peluang pekerjaan kepada bangsa Inggeris sendiri, terutama di dalam pejabat-pejabat Municipality di Singapura.

Perkhabaran yang demikian itu patutlah mengingatkan orang-orang Melayu bahwa percaturan dan pencarian hidup yang akan ditempuhnya dihadapannya itu bukannya semakin bertambah senang, tetapi semakin bertambah picik dan sempit.

Oleh itu tidak lain lagi kita ucapkan, melainkan orang-orang Melayu kita mesti lebih rajin dan lebih usaha, lebih kuat dan lebih tahan bekerja, daripada masa-masa yang telah lalu.

Kita tidak boleh marah kepada Cina, kepada Keling, yang sangat kuat dan rajin bekerja itu, tetapi kita mesti ingat dan selalu simpan di dalam hati kita yang kita wajib melawan mereka itu, bukannya dengan cakap dan kata-kata, tetapi dengan tulang urat dan usaha kita.

Dalam pada itu, jikalau nampak oleh kita akan sesuatu haluan mereka itu yang boleh menambah-nambah mencederakan bangsa kita selama-lamanya, maka wajiblah semuanya umat Melayu bersatu hati menyokong kerajaan yang tidak bersetuju dengan tuntutan-tuntutan mereka itu.

Anak Negeri.