Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1930, p.156-157

General Article.

Perbezaan Gerak-Geri di Patani.

Oleh "A´ba" Patani.

Sanya tiadalah sunyi bahwa setengah daripada pemuda-pemuda Patani pada masa ini akan mendirikan persekutuan, perjumpaan dan membukakan perasaan baru yang mana akan mengikut tamadun yang dikehendaki oleh mana sekarang supaya Patani pun boleh jua mengikut saudara-saudaranya yang sekarang sedang berlumba ke medan tamadun. Tetapi .... Oh, omong kosong sahaja!

Saya seorang peranakan Patani jati dan daripada kaum ini jua memperkatakan dengan khasnya, bahwa tentang berkehendakan perasaan dan fikiran itu adalah tersangat eloknya, dan tentu masa ini berkehendakan -- bahkan ilmu pun. Tetapi terbahagi ia di atas dua bahagi:

((i) kita simpankan perasaan-perasaan itu ke tempat yang diharapi, kemudian kita usahakan apa-apa pekerjaan dengan sehabis-habis daya kita, iaitu cari jalan yang akan dapat meluaskan dan membanyakkan barang-barang di dalam kedai, jika ahli perniagaan: meluaskan dan menyebarkan apa-apa tanaman supaya bertambah-tambah hasilnya, jika ahli pekebun: bersungguh-sungguh taat akan perintah dari ketua-ketua kita, jika pegawai kerajaan: bersungguh-sungguh dan dengan sehabis-habis usaha, jika jadi pemimpin kanak-kanak -- iaitu guru-guru dan lainnya -- kerana guru itu lebih mengetahui ia serba serbi akan hal murid-muridnya. Maka curahkanlah taat perangai daya perasaan-perasaan kita yang baik sehingga masuk betul ke dalam hatinya kerana diharap bahwa mereka itulah akan dapat melakukan apa-apa perasaan itu kemudian kelak. Apa tidaknya?

((1) mereka itu telah ramai berseperasaan ((bukannya seperti kita ini tak sampai bilangan dua belah tangan pun -- mustahil hendak jaya))

((2) sekiranya ia tiada jadi jua, maka diajarinya pula akan bilangan-bilangan lagi. Macam mana sekarang seorang yang ada perasaan-perasaan itu boleh memimpin sepuluh orang yang ... jika sepuluh orang berapakah ia akan dipimpin?

((ii)) macam mana sekarang berusaha benar setengah daripada pemuda-pemuda itu yang setengahnya khuatir saya bahwa akan menjadi rusak atau kerana tersangat kuat perasaan itu ada kepadanya. Ya, benar -- Mussolini, Panglima Siasat Kerajaan Itali itu seorang miskin dan kurang bangsanya. Apa sebab sekarang jadi ... oh! Dengan sebab usahanya, fikiran dan siasatnya yang baik kepada kaum bangsanya. Dan demikian jua seperti Napoleon dan Wellington yang termashyur itu, semuanya daripada orang miskin dan kraung bangsa dan demikian pula beberapa yang lain-lain lagi. Maka patut sangatlah kita berusaha mencurahkan perasaan ini kepada kaum bangsa kita di Patani yang kuno itu. Biarpun ia tidak ambil tahu dengan perlahan-perlahan jua dijalankan kerana mengikut pepatah, "Barangsiapa berusaha dengan sungguhnya di atas sesuatu nescaya dapat ia" dan "Belakang Parang jika diasah, lama-lama akan tajam juga".

Sekarang marilah kita bezakan antara kedua yang tersebut itu. Yang manakah lebih baik? Yang manakah patut dilakukan dengan segeranya supaya tiada hilang masa dengan sia-sia? Pada agak saya, lebih baiklah kita lakukan macam mana yang pertama itu dengan sebab sekiranya perniagaan tanah-tanah dan kebun-kebun yang luas-luas itu kepunyaan anak negeri, tentulah bangsa asing malu tiada boleh mempermudahkan sahaja. Maka waktu itu bolehlah kita lakukan niat dan perasaan-perasaan kita kerana ini setengah daripada perkara-perkara yang sangat dituntuti oleh dunia sekarang. Tengoklah di kepala-kepala negeri Eropah dan Amerika, apakah yang terlebih dijaga bagi muslihat negeri baik pun lain, iaitu seperti mengadakan polis dan mata-mata gelap supaya jangan penjahat-penjahat mengacu ahli-ahli perniagaan dan lainnya dan juga akan masuk daripada lain negeri ke negerinya berniaga dan sebagainya. Kerapkali kita dengan bahwa kerajaan ini membuat treaty dengan kerajaan itu membenarkan perniagaan negeri itu masuk ke negerinya dan perniagaan negerinya pula masuk ke negeri itu. Pendeknya tiada sunyi dunia membicarakan kerana iaitu boleh dikatakan tubuh negeri -- mustahil sempurna jika ada jiwa tetapi tiada tubuh!

Sebab pun difikirkan begini kerana saya tahu betul bahwa di Patani tersangat susah kehidupan. Pada hal pemuda-pemuda kita banyak jua yang ada perasaan-perasaan itu, tetapi apabila berusaha menjalankannya tergendala pula kerana tiada tingkat. Oleh itu, tiadalah jadi akhirnya kedua-duanya luput. Hal ini akan mendatangkan kesusahan lagi masa akan datang kelak kerana pemuda-pemuda kita itu hanya ada perasaan-perasaan itu sahaja tetapi tiada pelajaran yang cukup pada menyenangkan dan meluaskan kehidupannya.

Penyudahan kata: diharapkan maaf daripada pembaca-pembaca atas kecanggungan dan sebagainya kerana saya jauh daripada ahli karang-mengarang, jauh dari tempat kehidupan tamadun, jauh jauh jauuuh ... adanya!