Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1930, p.148-149

Feature Article.

Bangsa Asing Peranakan Tanah Melayu Mengaku jadi Anak Negeri Tanah Melayu Dengan tujuan berharapkan Hak.

Kemudian daripada beberapa surat-surat khabar Inggeris di Tanah Melayu ini telah menzahirkan ucapan Yang Berhormat Datuk Abdullah, Undang Rembau, di dalam Mesyuarat Federal Council yang baru lalu, berkenaan dengan peraturan-peraturan memberi jawatan kepada Anak-anak Melayu, seorang penulis yang menyain dirinya "Son of the Soil" ((anak watan)) dari Singapura telah menulis dalam akhbar Malayan Daily Inggeris ((akhbar yang mana selalu mengemukakan hal-hal yang berfaedah bagi Keling dan Cina)) menyatakan fikirannya lebih kurang begini:

Anak-anak Melayu yang disebutkan oleh Yang Berhormat Datuk itu patutnya ialah Anak-anak Melayu yang telah berketurunan dari nenek moyangnya di Tanah Melayu ini dan tidaklah patut Anak-anak Melayu, Melayu Sumatera, atau Jawa, yang berperanakan di Sumatera atau di Jawa, tetapi datang ke sini dan menerima pelajarannya dalam negeri ini. Mengikut fikirannya bahwa anak-anak Cina, Serani dan Keling atau lainnya yang telah diperanakkan di Tanah Melayu ini patut mendapat hak dan pilihan yang lebih daripada Anak-anak Melayu Sumatera dan Jawa yang diperanakkan di luar Tanah Melayu itu.

Daripada fikirannya itu kita boleh dapat tahu bahwa penulis itu bukannya daripada bangsa Melayu Semenanjung atau Indonesia -- sudah tetap ia itu peranakan dari salah satu bangsa dagang yang bukan Melayu dan bukan Islam. Ia jahil akan tawarikh, agama, adat resam, dan bahasa Melayu yang serupa pada seluruh Semenanjung dan Pulau-Pulau Melayu. Atau pun sengaja dilupa-lupakannya hal-hal itu oleh sebab tamaknya hendak mendapat kekayaan, pangkat, hak, dan lain-lain dalam negeri yang cantik dan kaya ini.

Sudah kerapkali jua kita terjumpa anak-anak Cina negeri Selat dalam Straits Chinese Annual menyain dirinya "Son of the Soil", pada hal nama gelaran yang seperti itu layaknya diletakkan pada bangsa Melayu sahaja! Apa kata Anak-anak Melayu jikalau kita diperanakkan oleh ibu kita di dalam Hong Kong dan kita dengan tidak malu mengaku "Anak Watan" Hong Kong kononnya dengan sebab hendak mendapat hak yang lebih! Nampak benarlah terang-terang bangsa Cina atau Keling atau bangsa-bangsa Asiatik yang bukan Melayu itu hendak memecah-mecah bangsa Melayu kita yang berpuluh-puluh milyun di pulau-pulau Melayu dan Semenanjung itu. Adakah lebih hak-hak anak Keling yang diperanakkan di Hong Kong daripada hak anak Cina Peking yang berkaum kerabat dan nikah kahwin dengan anak-anak Cina Hong Kong?

Negeri sembilan itu hampir-hampir sebuah-sebuahnya sekali berisi dengan anak-anak keturunan dari Minangkabau ((Sumatera)) dan lebih daripada separuh Anak-anak Melayu dalam Semenanjung Tanah Melayu ini asalnya daripada orang-orang yang telah mendudukik Sumatera, Jawa, Borneo dan Bugis. Kedatangan orang-orang bangsa kita dari Sumatera dan pulau-pulau yang lain itu bukannya pada zaman dahulu itu sahaja, bahkan pada zaman ini pun masih bertali harus jua lagi datangnya. Kita Anak-anak Melayu disemenanjung memang suka ramai-ramai lagi mereka itu datang berkampung halaman dan berkediaman di Semenanjung ini supaya lekas ramainya bilangan kita yang sedikit yang memang telah terpicit terhimpit dan hendak dipecah-pecah pula lagi oleh orang-orang Cina dan Keling itu.

Orang-orang Negeri Sembilan kebanyakan asalnya dari Sumatera ((Minangkabau)) dan orang-orang Selangor dari Bugis dan Sumatera. Bahkan jika kita tilik pula balik kepada tawarikh, yang lebih dahulu lagi maka kita dapati bahwa raja-raja Melayu Singapura dan Melaka yang pecahannya bernegeri di Johor dan Riau itu semuanya berasal dari Sumatera ((Palembang)). Pendeknya fikiran-fikiran anak-anak dagang yang hendak mengaku negeri ini negeri angkatannya itu kita percaya diterima oleh kerajaan Inggeris dan orang-orang Melayu dengan penerimaan "cemek" -- hidung tak muncung pipi tersorong-sorong!!

Cuba kita lihat bagaimana tuan Cornivall Roberts [?] telah menulis di dalam majalah "The Review of Malaya", bagi bulan April yang lalu. Fikiran tuan itu boleh diambil buat contoh fikiran orang-orang Inggeris dan European dalam negeri ini, katanya,

"Tidak berapa harian kita membaca bahwa wakil bangsa Cina di Geneva itu telah meminta akan anak-anak Cina yang diperanakkan di luar negeri Cina ((iaitu yang menjadi rakyat negeri di mana tempat ia diperanakkan itu)) patut mendapat dua hak, iaitu hak seperti bangsa Cina dan juga hak seperti rakyat tempat diperanakkan mereka itu, kerana orang Cina itu telah biasa dan pandai dalam alam kehidupan yang seperti ‘serigala di dalam kulit kambing’ ((hidup bermuka dua)) -- di Tanah Melayu mereka itu riuh mengatakan mereka itu taat kepada British dan kasih akan segala peraturan dan cita-cita British, dan juga becok mereka itu menunjukkan kehendaknya hendak menjadi ‘orang British di Negeri-Negeri Selat’, tetapi pada halnya mereka itu berpegang dan berhubung jua dengan salah satu puak kaum Cina serta betul-betul mereka itu mengatakan kepada kaum dan bangsanya di negeri Cina dengan katanya, ‘Kita Cina, Cinalah selama-lamanya’. Bahkan mereka itu tidak lalai daripada mengibarkan bendera-benderanya pada hari-hari besarnya serta bercampur dalam perkara ‘boycott’ perniagaan dengan sombong ((melainkan dengan anak-anak Eropah mereka tiada boleh menyombong)) mereka itu memikirkan dengan sukacitanya bahwa kemajuan dan kejayaan di Tanah Melayu bergantung kepada rajin usahanya dan hemat cermatnya semata-mata. Tetapi ia lupa bahwa dengan sebab orang-orang putih telah mengadakan undang-undang dan keamanan jalan-jalan raya yang baik yang menyenangkan pergi datang dengan lekas dan dengan sebab orang-orang putih itu menghormatkan harta-harta orang serta pula peraturan perniagaannya cukup kuat dan teguh .... Maka itulah sekaliannya yang telah menjadikan orang-orang Asiatik itu dapat berharta dan mengumpulkan kekayaan."

Pada masa negeri-negeri Tanah Melayu ini belum aman dan belum ada jalan-jalan raya dan kereta api dahulu, siapa pun tiada ingin hendak mengaku dirinya, "Anak Watan" alias "Son of the Soil", melainkan Anak-anak Melayu Semenanjung Sumatera, Jawa, Bugis, dan lainnya jugalah yang mahu datang membuat negeri di sini dan mengaku negeri ini negerinya ... tiba-tiba ini pulak -- bila negeri telah aman dan kaya-raya oleh sebab orang-orang Inggeris telah datang mentadbirkannya dengan jemputan dan permintaan raja-raja Melayu -- baru Si Cina, Si Keling dan Si Geragok itu tercirit-cirit hendak mintak kenal dan mintak akui jadi anak negeri ini!!!

Tetapi kita percaya jikalau sekiranya baliklah negeri ini miskin seperti dahulu iaitu umpamanya bijih timah dan getah tiada laku lagi, dan jalan-jalan raya dan kereta api tertutup, serta perniagaan habis binasa -- maka tidak siapa pun yang akan tinggal di negeri ini lagi melainkan Anak-anak Melayu Sumatera, Jawa, Bugis, Borneo dan Semenanjung seperti dahulu juga. Maka anak-anak Cina dan Keling yang termemek-memek mintak aku anak negeri sekarang ini akan mengangkat kaki mempusing pergi pula mengaku-aku "Anak Watan" dalam negeri yang lain.

Anak Negeri.