![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Aug 1930, p.156-157
Feature Article.
Pimpinan Bersatu Asuhan Berniaga.
Bangsa Melayu tidak pandai bersepakat dan tidak tahu berniaga. Sebab itu patutlah dimulai dari sekarang kita pemimpin kanak-kanak sekolah kepada bersatu ikatan muafakat dan diasuh supaya memahirkan kepada pekerjaan berniaga. Jalan pimpinan dan pintu asuhan yang hendak dimasuk itu seperti berikut:
((1) Diadakan suatu tubuh perkongsian, ikatan Persekutuan Perniagaan, dinamakan dia "Persekutuan Perniagaan Anak-Anak Melayu" iaitu anak-anak sekolah bangsa Melayu laki-laki dan perempuan semuanya di Semenanjung Tanah Melayu, termasuk bersama-sama segala pulau-pulau yang dinamakanya hak Melayu aslinya. Hendaklah dipanggil atau diseru akan dia masuk ke dalam Persekutuan perniagaan itu.
((2) Wang modal buat perniagaan ini: tiap-tiap seorang anak itu -- lelaki dan perempuan -- hendak berbayar yuran sepuluh sen sebulan pada tiap-tiap bulan, hingga beberapa bulan ke hadapan mulai dari Januari 1931. Hendaklah dibayar kepada Pejabat Persekutuan ini. Maka Pejabat Persekutuan ini mengandung beberapa orang Jawatankuasa ((Committee)). Maka daripada Jawatankuasa inilah yang dipilih seorang daripadanya diangkat menjadi kepala atau ketuanya yang besar, iaitu General Managing Director yang akan memberi perintah. Kalau tak salah faham saya, yang eloknya akan menjadi General Managing Director ini maulah bangsa Inggeris. Yang terutamanya dipilih Ketuan* Besar Sekolah-Sekolah Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu. Dan berkehendak pula seorang lagi bangsa Eropah akan menjadi Penasihat kepada Persekutuan Perniagaan ini, dan ialah juga Pemeriksa Kira-Kira ((Auditor)) iaitu dipilih orang yang mahir dalam hal perniagaan. Yang demikian itu terlebih besar harapan akan kesempurnaan dan kemajuan perjalanan Persekutuan ini. Ketahuilah Tuan-Tuan sekalian bahwa yang menyebabkan tidak jaya tiap-tiap pekerjaan itu: pertama-pertamanya diatur oleh orang yang tidak mahir atau tiada biasa dalam perkara itu. Keduanya khianat atau tiada amanah atau pemalas ataupun sememang bodoh pegawai-pegawai yang memegang pekerjaannya. Maka hal-hal yang tersebut inilah wajib sangat-sangat dijaga dengan sekerasnya-kerasnya. Ada pun tujuan mengadakan Persekutuan perniagaan ini ialah kerana hendak melatih bangsa Melayu yang ke hadapan. Jika sekiranya pekerjaan Persekutuan perniagaan ini tidak teratur dengan sempurna, tertukarlah tujuan yang dikehendaki itu diganti oleh pengecut serik dan perit yang membawa bangsa Melayu mundur ke belakang setiap-setiap masa selama-lamanya: tambahan pula senantiasa didesak, dihimpit oleh bangsa-bangsa asing yang datang itu.
((3) Persekutuan perniagaan ini hendaklah didirikan di atas landasan perdirian Company Limited dan diatur mengikut peraturan gudang-gudang Company Limited bangsa Eropah. Maka pegawai-pegawai yang memegang pekerjaan Persekutuan ini dipilih daripada anak-anak sekolah bangsa Melayu yang telah lepas sekolahnya mengikut darjah kepandaian, amanah, setia, dan tabiat perangainya masing-masing.
((4) Wang modal yang dipungut daripada anak-anak sekolah itu maulah disimpan di dalam bank sehingga cukup banyaknya boleh menjalankan perniagaan. Barulah pada masa itu dimulai dijalankan perniagaan -- janganlah tergopoh-gopoh menjalankan perniagaan dengan ketiadaan cukup modalnya. Yang demikian kelak jadi gendala di tengah-tengah perjalanannya.
((5) Barang-barang yang diperniagakan itu terutama
((a) pakaian kanak-kanak sekolah,
dan lain-lain perkakas yang digunakan di dalam sekolah,
((c) perkakas pergunaan ofis iaitu yang berkenaan dengan tulis-menulis,
((d) barang-barang yang wajib bagi rumah tangga, sama ada makanan, pakaian, perhiasan dan lain-lain lagi.
((6) Persekutuan perniagaan ini hendaklah dipecahkan cawangannya pada merata-rata tempat di mana ada sekolah atau pejabat kerajaan di pekan atau di kampung-kampung yang banyak penduduknya.
((7) Harus Persekutuan ini memohon kepada kerajaan dalam jalan bermenaja, umpama permintaan anak kepada ibu bapanya, iaitu diminta kewajipan membeli barang-barang daripada kedai-kedai Persekutuan ini, barang-barang mana yang perlu buat pergunaan ofis atau lain-lainnya. Pada agak saya, tiadalah keberatan bagi pihak kerajaan menolong dengan demikian itu bahkan terlebih suka lagi kerajaan hendak melihat bangsa Melayu supaya segera majunya dalam medan perusahaan perniagaan dan ekonomi!
((8) Hendaklah Persekutuan ini membuat ketetapan dengan ibu bapa anak-anak sekolah sekaliannya -- sebarang apa yang dikehendaki hendaklah beli pada kedai Persekutuan ini -- jangan dibeli pada tempat lain -- tentulah kedua ibu bapa anak-anak sekolah itu terlebih suka membeli di kedai Persekutuan ini kerana keuntungan yang akan didapati itu ada bahagian hak anaknya pula. Demikian jua guru-guru sekaliannya mahulah membeli apa-apa barang yang dikehendakinya di kedai Persekutuan murid-muridnya itu. Hendaklah guru-guru itu memandang sekalian murid-muridnya itu seperti anak sendiri sebenarnya ibu bapa beranak kepada anaknya itu jasadnya sahaja, tetapi tentang ilmu kepandaian dan budi pekerti si murid itu diperanakkan oleh gurunya, maka dengan ilmu kepandaian dan budi pekerti itulah yang menyelamatkan murid-murid itu dunia dan akhirat. Dan dengan ilmu kepandaian dan budi pekerti si murid itulah juga menghidupkan nama gurunya sehingga beberapa zaman. Meskipun tubuh badan Guru itu telah hancur menjadi tanah tetapi namanya masih kekal juga hidup sampai kepada akhir dunia. Satu daripada Hadis Nabi: Tiap-Tiap seorang itu apabila matinya, putuslah amalannya melainkan barangsiapa meninggalkan salah satu daripada tiga perkara: satu daripadanya ialah meninggalkan ilmu yang memberi manfaat kepada manusia yang telah diajarkan kepada muridnya pada masa hidupnya. Maka muridnya itu nanti diajarnya pula kepada muridnya ... begitulah berhubung-hubung tidak putus-putusnya beberapa lama. Maka pahalanya pun mengikut tidak putus-putus juga.
((9) Buat penutup rencana ini: saya tidak sanggup apa saya tulis ini semuanya betul belaka, tetapi saya mengaku apa saya tulis ini sebenarnya terbit daripada hati yang suci dan lebih kepada bangsa saya ((Melayu)). Oleh sebab dhamah* saya akan sebagaimana bangsa Melayu, maka saya cuba membuka pintu, kerana apa yang saya tulis ini sekadar membentangkan dihadapan Tuan-Tuan yang bijaksana oleh akan dia, bahwasanya jauhari itulah yang mengenal batu atau kaca. Maka terpulanglah kepadanya akan menilai harganya.
Tuan-Tuan sekalian! Terutama Tuan-Tuan Guru! Terlebih mustahaklah berusaha di atas perkara ini, sebetul Guru itu bukan hanya mengajar membaca, menulis dan berkira sahaja, bahkan wajib dan tertanggung jua di atasnya pada menjaga dan membawa murid-muridnya itu kepada segala kebajikan zahir dan batin, dan begitu perjalanan mereka itu daripada menyeberang kepada jalan yang merbahaya. Bagaimanakah Guru itu penjaga roh manusia? Bukan saya ingin mengajar budi, hanya sekadar ingatan kenang-mengenang jua. Maka diharapkan perbanyak ampun dan maaf jua kiranya serta diiringi dengan bil-khairi wasalam Tuan-Tuan pembaca sekalian dan lebih-lebih lagi kepada Jawatankuasa Majalah Guru adanya.
top |