Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1930, p.11-12

Feature Article.

Kebebasan Surat Khabar dan Majalah Melayu.

Jikalau suara surat khabar bebas dan ditujukan bagi ilmu, alamat menunjukkan segala gerak-gerak kemajuan sesuatu negeri itu ada berjalan dengan sihat. Tetapi jikalau sebaliknya, maka kemajuan negeri itu dalam bahaya.

Semenjak dari sedikit tahun yang lalu, telah zahir beberapa surat-surat khabar dan majalah-majalah di Semenanjung ini, yang kebanyakan tujuannya ialah semata-mata membincangkan perkara-perkara agama. Setengan fikiran-fikiran yang dikeluarkan oleh surat-surat khabar itu tidak sekali-kali dipersetujui oleh orang yang telah biasa memikirkan dirinya betul. Demikian jua fikiran-fikiran orang yang dikatakan "Kuno" atau "Cara Tua" itu oleh surat-surat khabar sekarang ini pula tidak sekali-kali dipersetujui oleh penulis-penulis dan pembaca-pembaca yang dikatakan "Cara Baru".

Selagi kebebasan surat-surat khabar itu dibenarkan, tentulah kedua-dua pihak fikiran ini dapat berkepanjangan berjuang berbahas menunjukkan kepada ramai akan kebenaran masing-masing. Maka puak yang ramai sedia memerhati dan menimbangkan kedua jenis jalan dan fikiran yang sama-sama dikatakan beralas kepada al-Quran dan Hadis itu.

Maka di medan surat-surat khabar itulah mereka boleh mencurahkan segala ilmunya buat faedah orang yang ramai. Sesuatu fikiran itu, baik benar baik tidak, dapat disaksikan oleh pembaca-pembaca yang beribu-ribu bilangannya.

Tetapi jikalau suara dan kebebasan surat-surat khabar itu ditutup dan dihilangkan, haruslah orang-orang ramai akan meraba balik semula di dalam gelap-gelita kejahilannya, seperti bagaimana mereka telah meraba beberapa lama sebelum ada surat khabar dahulu.

Bagi orang yang memegang teraju atau tadbiran perintahan sesuatu negeri itu, mahulah membenakan kebebasan surat khabar dan fikiran ramai, iaitu sama jua seperti ia boleh membenarkan berbagai-bagai bangsa dan agama diam di dalam negerinya.

Jikalau sebenarnya agama Islam itu agama yang amat bersih dan agama yang amat benar, tak dapat tiada kebenarannya itu akan bersinar jua bertambah-tambah terang dan tampak apabila dibawa ke tengah terang dihadapan ramai, seperti di medan surat-surat khabar dan majalah.

Kita menulis ini kerana telah ada kita dengan risik-risikan di dalam negeri-negeri Melayu setengah daripada ahli Mesyuarat Negerinya telah mencadangkan hendak mengadakan undang-undang menahan segala kitab-kitab dan surat-surat khabar "Cara Baru" itu daripada masuk mendapat langganannya, kerana kononnya pada fikiran mereka itu, bahwa fikiran-fikiran "Cara Baru" itu boleh merosakkan iman dan perasaan orang-orang Islam yang dalam negerinya.

Mereka itu nampaknya suka dan cukup puas hati jikalau orang-orang negerinya mendapat pengetahuan hanya daripada Haji-Haji dan Lebai-Lebai yang tidak boleh tahan uji itu.

Boleh ditahan keluarnya surat-surat khabar atau majalah itu jikalau isinya akan menerbitkan huru-hara dan kacau di dalam negeri. Tetapi pada pemandangan kita, bahwa tujuan dan isi surat-surat khabar dan majalah-majalah di Tanah Melayu itu jauh sekali daripada yang demikian itu. Karangan-karangan di dalamnya tidak pernah menghasut orang-orang suruh membuat kacau, tetapi senantiasa membawa perbahasan yang boleh mendirikan kebenaran dan menumbangkan kepalsuan.

Orang-orang yang telah suka menahan surat-surat khabar dan majalah-majalah sampai ke negerinya itu sama seperti orang yang suka dalam negerinya tiada bersurat khabar. Tiap-tiap negeri yang tiada memakai surat khabar itu ialah negeri yang meraba di dalam kejahilan dan negeri yang mengikut kehendak hawa nafsu orang yang berkuasa sahaja.

Orang-orang yang menjadi ketua atau pemerintah atau ahli Mesyuarat Negeri itu mahulah tahan dan sabar mendengar segala jenis fikiran orang-orang di dalam negerinya. Ada pun orang yang tidak mahu sekali-kali mendengar fikiran orang ramai, orang yang tidak suka mendengar fikiran yang berlainan daripada fikirannya sendiri, dan orang yang sentiasa mencari jalan hendak menunjukkan kuasa dan kekuatannya sahaja, itu ialah orang yang selalu berjalan senget dan tidak betul.

Sekarang ini segala surat-surat khabar dan majalah-majalah yang berbincangkan perkara ugama di dalam Tanah Melayu ini semuanya ditulis dalam Bahasa Melayu huruf Jawi, dan boleh dibaca oleh segala orang, segala Imam, segala Kadhi dan segala Guru-Guru dan Murid-murid madrasah.

Jikalau ada apa-apa yang didapati oleh mereka itu tidak bersetuju dengan fikirannya, maka mereka itu ada mempunyai cukup kebebasan boleh membacanya. Jikalau sebenar mereka itu pandai dan betul, silalah keluarkan fikirannya. Tetapi umpama melaga ayam seekor diikat dan seekor dilepaskan, disuruh mencatuk dan memukul, tentulah tiada patut. Danlagi, jikalau sesuatu akhbar atau majalah itu umpamanya, keluarannya di Negeri Selat dan dibaca oleh orang merata-rata negeri Selat, hingga ke Sumatera, Jawa dan lain, tetapi ditahan tidak boleh masuk ke negeri-negeri Melayu -- adakah fikiran orang yang hendak menahan itu boleh jadi sesat Islam orang Negeri Selat dan boleh jadi selamat Islam orang yang negeri-negeri Melayu dengan sebab ditahan itu?

Yang sebenarnya, jikalau pihak yang tidak bersetuju dengan fikiran setengah daripada surat-surat khabar dan majalah itu, ada rupa boleh mengeluarkan fikirannya dan pengetahuannya. Bolehlah pula keluarkan surat khabar dan majalah sendiri: bahas dan hentam apa yang tidak dipersetujui itu. Tetapi jikalau tidak berupaya jangan mencuba hendak membunuh upaya orang lain.

Umpama berlawan bola, jikalau diri kita lemah tiada terlawan pihak musuh, kita janganlah dipecahkan bola. Dan jangan dipatah-patahkan tiang gol. Dan jangan diberhentikan permainan. Kerana perbuatan yang demikian itu bukan "sporting" dan tidak munasabah bagi zaman kemajuan ini.

Tetapi jikalau surat-surat khabar dan majalah-majalah itu ada mengandungi perkara cerca atau nista yang tepat, bolehlah jalankan bagaimana peraturannya serta berjumpa mengadu kebenaran di mahkamah keadilan yang ada dalam negeri ini.

Anak Negeri.