Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1930, p.14

General Article.

Melatih Kanak-Kanak Berniaga,

Tak usahlah cakap-cakap juga lagi! Mulailah membuat pekerjaan yang boleh memajukan anak-anak bangsa kita. Kemudian perhatikan: maju atau tidak?

Buat pencubaan! Inilah dibentangkan suatu jalan dengan seringkas-ringkasnya kepada sekalian Encik-Encik Guru, iaitu mulailah suatu pakatan kepada sekalian murid-murid dalam serendib sekolah masing-masing mengeluarkan modal qadar seringgit seorang pada awal buka sekolah lepas cuti Puasa dan Hari Raya tahun ini. Wang yang terkumpul itu jadikan modal pembeli papan batu, buku-buku kosong, kertas, pensel, dakwat, kayu pembaris, biskut, air batu sirap, kain baju, dan lain-lain lagi mana yang perlu bagi kanak-kanak sekolah.

Kemudian dijual balik kepada murid-murid itu juga dengan harga sama seperti harga jualan yang biasa di tempat lain ataupun gudang sedikit.

Jadikanlah budak-budak yang cerdik "committee-committee"nya dan budak yang pandai jadi penjualnya, dengan jagaan guru-guru dalam tiap-tiap sekolah. Siasat dan perhatikan pada tiap-tiap hari pergerakkannya, serta digalakkan dan diberangsangkan lagi hati murid-murid itu, kerana semua murid-murid itu lekas bersetuju dan sepakat menerima syor dan syarahan gurunya yang sedap dan berfaedah itu. Lepas dia tiga bulan cuba periksa: maju atau tidak?

Saya fikir tentu maju -- kanak-kanak nanti pandai berniaga dan dapat pula keuntungannya dan akan merasa terkenyam berniaga pada masa mereka itu sudah besar kelak.

Dalam setahun, iaitu kita dengan bulan Puasa, diadakan sekali lagi membahagikan keuntungan masing-masing supaya dapat kanak-kanak itu membeli kain baju yang agak lawa sedikit dan dapat belanja yang boleh menyukakan hatinya. Yang demikian ibu-bapanya pun tak payah berkedut kening lagi mengenangkan untuk pembeli pakaian anak-anaknya dalam masa Hari Raya ((Hari Besar Melayu)) yang memang untuk hari melawa itu adanya.

Cubalah pada tahun ini supaya dapat kita tengok pada tahun hadapan: ada maju atau tidak? Jikalau maju, tentu semua ibu bapa kanak-kanak itu menerima kasih kepada sekalian guru-guru.

Hamas.

((Di Negeri Sembilan telah ada dua tiga puluh buah sekolah yang telah mengadakan perniagaan atau kedai syarikat kanak-kanak ini dari semenjak empat lima tahun dahulu. Pada tahun pertama dan kedua, ada berjalan dengan majunya, iaitu mendapat keuntungan kira-kira empat lima puluh ringgit setahun. Tetapi sekarang nampaknya tidak begitu banyak lagi sekolah-sekolah yang masih ada kedai syarikat murid-murid itu. Sebabnya maka terhenti atau jatuh itu ialah barangkali guru-gurunya tiada berusaha lagi ataupun agaknya ada yang berlaku "pecah harapan" -- Pengarang))