![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Jun 1930, p.113-115
General Article.
Pertunjukan Barang-Barang Perusahaan Tanah Melayu di Kuala Lumpur.
Dalam pertunjukan atau "Exhibition" yang telah diadakan di Kuala Lumpur dari 19 hingga 21 April lalu, dapat diperhatikan di antara barang-barang yang banyak dipertunjukan itu adalah juga pelbagai benda dan barang-barang perusahaan orang Melayu sendiri yang datang dari beberapa tempat dalam Tanah Melayu ini.
Dan di antara barang-barangnya itu adalah beberapa daripadanya yang telah mendapat kemenangan dari pilihan kerana hadiah-hadiah iaitu dari Nombor 3 hingga ke "Special Prize", sedang yang mendapat Diploma, Medal-Medal Mas dan Perak pun ada juga. Maka tentang ketukangan atau barang-barang perbuatan tangan itu selain dari mendapat hadiah-hadiah itu banyak jua yang menerima kepujian kerana bagusnya.
Dalam surat-surat khabar Inggeris sengaja ramai diperbincangkan dengan sebutan yang panjang lebar berhubung dengan kejayaan "Show" itu. Maka tiap-tiap bahagian yang disediakan dalam tempat pertunjukan itu banyaklah orang daripada serba bangsa yang sudi memasukan berbagai-bagai jenis benda-benda yang akan dipertunjukkan di situ, buat mengiklankan atau memashyurkan barang-barang perbuatan dan perusahaannya; baik tentang ketukangan anyam-anyaman, tanam-tanaman, bela-belaan, pendapatan baharu, dan sebagainya.
Begitulah juga menambahi lagi keramaian penonton-penonton ((public)) pada menjayakan "Show" itu supaya memajukan siasat dan ikhtiar akan membesarkan dan meluaskan lagi segala etika perniagaan dan perusahaan di dalam negeri-negeri Melayu ini.
Memang cita-cita dan maksud tujuan kerajaan mengadakan pertunjukan itu ialah berkehendakan supaya negeri-negeri Melayu ini boleh jadi semakin bertambah-tambah makmur dan terkaya daripada kedatangan perniagaan atau dagangan negeri asing, terutama sekali ialah barang-barang makanan bagi isi negeri ini, buat kesenangan rakyat semuanya.
Dalam "Show" inilah juga suatu daripada peluang-peluang yang boleh kita meluaskan pandangan dan berfikir lebih jauh pada tentang berikhtiar bagaimananya jalannya hendak memajukan perusahaan orang-orang Melayu untuk dikemukakan pergerakan kita bersama akan mencapai kemajuan faedah bangsa dan negeri. Dan di situ juga patut kita menyusur-menyiasati ikthiar dan menghampiri orang-orang yang empunya barang-barang itu dengan memberi pertolongan nasihat dan syor dan cadangan supaya mereka meneruskan perusahaannya itu atau kekalkannya atau dibesarkannya lagi.
"Show" yang demikian ini bererti juga kepada orang-orang Melayu yang banyak duit atau mempunyai modal. Dan sekiranya ada kasihan ((sympathy)) kepada kaumnya, bolehlah diajak atau disyorkan mereka itu meneruskan perusahaannya itu kepada suatu cawangan perniagaan.
Jika demikian tentulah mereka-mereka yang telah membawa dan menunjukkan barang-barang perusahaannya itu lebih suka dan bersetuju dengan syor dan cadangan itu kerana akan mendatangkan faedah dan kelobaan baginya.
Jadi kedatangan mereka membawa barang-barang itu bukanlah semata-mata dengan tujuan kerana berharap hendak mendapat "Prize" sahaja, atau kepujian dari mulut dan surat-surat akuan. Atau pun kerana hendak melihat permainan dan temasha orang ramai. Tetapi ada harapan yang lain yang lebih besar artinya. Bagi mereka yang tiada mendapat hadiah atau kepujian apa-apa pun, tiada akan menyesal atau berfikir yang penenatan sia-sia sahaja. Dan ulu [?] yang mendapat-mendapat hadiah itupun jika dikirakan belanja kepada kedatangannya dan masanya yang terbuang selama pertunjukan itu adakah memadai?
Mana-mana perusahaan seperti pertukangan dan sebagainya yang dibuat oleh orang-orang Melayu itu patut benarlah orang-orang Melayu jua yang menjadi tauke pemborongnya.
Yang demikian, jadilah dua perusahaan: satu mengadakan atau membuatnya dan satu lagi berniaga atau menjualkan -- tidaklah berlaku lagi seperti sekarang ini; segala benda-benda perusahaan Melayu kepunyaan Melayu, perbuatan Melayu, pencarian Melayu ... habis diborongkan kepada bangsa Tionghua atau bangsa asing.
Dalam bahagian-bahagian pertunjukan bakul-bakul, tongkat-tongkat, dan gambar-gambar lukisan tangan di "exhibition" itu, ada satu "section" pertunjukan perkakas-perkakas besi dan sedikit daripada pesawat-pesawat yang dijagai oleh anak-anak Melayu, iaitu murid dari Trades School Kuala Lumpur. "Student"2 itu mengiklankan pekerjaan dan pelajaran yang telah didapatinya dari sekolahnya itu dan juga menceritakan peri kegunaan dan keelokan perkakas-perkakas buatannya itu bagi motokar-motokar dan enjin-enjin.
Di sini nampaknya sentiasa dikerumuni oleh pelawat-pelawat seperti bagaimana mereka itu mengerumuni bakul-bakul dan tongkat-tongkat itu juga.
Murid-murid yang sedang berlatih di sekolah perniagaan itu bukanlah berani kesemuanya sekali nanti akan mendapat peluang masuk bekerja dengan kerajaan apabila mereka telah keluar dari sekolah itu kelak, sebab nampaknya tiada banyak istimewa pula apabila sekolah itu telah dibesarkan lagi, dan murid-muridnya semakin ramai dan bertambah setiap tahun datang dari negeri-negeri Melayu ini. Tentulah peluang mereka hendak bekerja dengan Government itu semakin sempit dan bertutup. Oleh itu, sayogia benarlah orang-orang kita Melayu mengadakan "Show" atau tempat membaiki dan membetulkan enjin-enjin dan motokar yang rosak dalam pekan dan bandar-bandar negeri Melayu ini supaya budak-budak itu mendapat peluang masuk bekerja di dalamnya. Yang demikian, datanglah dua perusahaan atau pekerjaan orang Melayu, satu jadi tuan punya atau ahli syarikat yang mendirikan "Show" itu dan satu lagi anak-anak Melayu yang telah belajar di Trades School itu pun dapat pula pekerjaan.
Syahdan, manakala telah ada "shop-shop" kepunyaan Melayu pada pekan-pekan dan tukang-tukang yang bekerja di dalamnya pun daripada anak-anak Melayu juga, tetapi jika tidak juga enjin-enjin Melayu, motokar-motokar Melayu, dan drebar-drebar Melayu, mahu hendak membaikinya ke dalam "show" Melayu itu? Apa boleh buat? Pulang di situlah! Tetapi janganlah lagi memekik dan menjerit-njerit dalam surat-surat khabar menyuruh memajukan perusahaan Melayu! Biarlah bangsa kita senantiasa didesak, dihempit, dipicit, dan dicekikkan oleh bangsa-bangsa yang datang adanya.
top |