Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1930, p.5

Surat Kiriman.

Berjalan ke Pahang.

Al-Mukarram Saudara saya Encik "Pemuda Baru",

Surat saudara dalam Lembaga Melayu bertarikh 5 Ramadhan telah saya baca. Nampaknya saudara tidak mengerti akan tujuan saya menulis itu dan dengan sebab kurang siasat, maka saudara telah menincang menyingsingkan kain dan mencurahkan sambal petai dan tempoyak di halaman Lembaga Melayu.

Saya seorang yang tidak mebezakan di antara rakan atau negeri dengan negeri lain negeri dalam Tanah Melayu ini, bahkan hingga ke gugusan pulau-pulau Melayu pun. Sekalian Melayu Islam kaya dan miskin, cerdik dan bodoh, malas dan rajin, ada ambition tak ada ambition, semuanya bangsa saya dan kaum saya.

Jikalau saya menulis dan menceritakan darihal kampung saya sendiri pula apabila tiba pada tentang perkara ketenangan hati, kesenangan hidup dan ambition, tentulah saya menulis demikian jua.

Saya tidak sekali-kali ada mengatakan anak Pahang tiada ambition. Yang mengatakan demikian itu hanya angan-angan tuan yang kotor dan fikiran tuan yang keladak itu sahaja. Bahkan saya memang banyak sahabat-sahabat daripada anak-anak Pahang jati yang berpelajaran seperti jua banyak sahabat-sahabat saya daripada anak Perak Selangor negeri sembilan Johor Singapura pulau pinang dan Melaka, dan lain-lain yang cukup tinggi ambition dan cita-citanya.

Maka yang saya katakan tiada ambition itu ialah orang-orang seperti yang saya berjumpa duduk-duduk di tepi jalan termenung mimpi mengadah langit atau memandang awan yang berkisar-kisar pada banjaran gunung-gunung dan bukit-bukit yang di kelilingnya.

Maka bukan pula tujuannya itu tertentu bagi orang-orang yang saya terjumpa di tepi jalan masa di Pahang itu sahaja, tetapi pembaca-pembaca sekalian boleh memikirkan begitulah keadaan hampir-hampir semua Melayu di kampung yang di kelilingi oleh alam yang cantik dan kehidupan yang senang lenang.

Jikalau saya menceritakan kejernihan air sungai Pahang dan keindahan ikan-ikan yang bermain di dalamnya, bukannya maknanya saya memuji empat lima ekor ikan yang bermain-main di dalam airnya dihadapan saya itu sahaja.

Buangkanlah segala fikiran yang rendah dan kotor dan perasaan yang cemburu yang menyangka-nyangka orang lain hendak membusukkan nama awak.

Saya tahu apa yang saya tulis dan saya kasihkan negeri Pahang, negeri saya, bahkan semua alam Melayu barangkali lebih daripada Tuan sayangkan kerongkong dapur Tuan. Bahkan dengan sebab hati kasih yang tidak putus-putus inilah saya dengan beberapa orang sahabat saya telah mengorbankan masa saya dan tenaga saya dari semenjak beberapa tahun yang lalu mengadakan persekutuan guru-guru, mengeluarkan Majalah Guru dan menulis membantu mengisi Majalah Guru pada tiap-tiap kali keluarannya hingga sampailah masa ini -- itulah ambition dan cita-cita saya dan apa-apa yang saya cita sedang saya buat dan saya jalankan. Tetapi jikalau sudah demikian pun kita buat, ada jua daripada kaum kita yang tiada mengerti dan yang boleh memberi bukannya terima kasih, tetapi maki dan nista, apa boleh buat! Kita terimalah dia seperti seorang kaum kita jua -- bangsa kita jua!

Muhammad Yusuf bin Ahmad.