Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1930, p.48

Feature Article.

Rampai-Rampaian oleh Anak Negeri. Negeri-Negeri Melayu bukannya Crown Colony!

Beberapa kali sudah seorang penulis yang bertanda tangan "Klein Street" ((lorong tempat pejabat loyar-loyar di Kuala Lumpur)) telah menulis dalam "Malay Mail" membahas kuasa-kuasa pegawai Kerajaan yang tiada berhad berkenaan dengan beberapa peraturan Undang-Undang dalam negeri ini terutama pada tentang Undang-Undang yang memberi kuasa kepada Kerajaan boleh merampas hak orang yang memegang kuasa harta iaitu apabila si pemegang kuasa itu tiada betul jagaannya. Seorang penulis yang lain bertanda tangan "A Briton" ((seorang anak British)) telah menjawab menyuruh orang yang tidak puas hati seperti "Klein Street" itu menjalankan sebagaimana yang dibenarkan oleh Undang-Undang, iaitu boleh mendakwa Kerajaan ataupun mengirim petisyen kepada Menteri Bagi Jajahan-Jajahan Takluk British di England, atau kepada Yang Maha Mulia Baginda King sendiri. Kemudian kata penulis itu pula lagi:

"Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu selalu dipanggil ‘British Malaya’, tetapi yang sebenarnya bukan ‘British Malaya’. Adapun bahagian Tanah Melayu yang sebetulnya dipunyai oleh British ialah Negeri-Negeri Selat. Maka negeri-negeri Melayu yang bersekutu itu dipunyai oleh Raja-Raja Melayu masing-masing negeri. Negeri-Negeri itu hanya bernaung, dan kerajaannya serta pemerintahannya pada suatu masa yang akan datang ((jika aturan dan tujuan Kerajaan British tidak berubah)) akan dipulangkan balik kepada Sultan-Sultan atau Datuk-Datuknya dengan aturan perintahan seperti negeri-negeri yang ada berRaja dalam dunia sekarang ini ((Constitutional Government))."

Di negeri-negeri itu tanah hanya dipajak daripada Raja-Raja itu mengikut peraturan yang tetap yang dituliskan mengikut Undang-Undang kontrak. Dan peraturan-peraturan itu tidak boleh diubah melainkan dengan persetujuan kedua pihak. Tidak berfaedah bagi ketua-ketua pemerintahan di negeri itu mengatakan orang yang memajak itu ((orang yang punya geran tanah)) boleh berkuasa memberi persetujuannya, kemudian daripada Ahli-ahli Mesyuarat Federal Council yang bukan jawatan itu telah bersetuju mengadakan Undang-Undang yang merampas daripada orang-orang yang memajak.

Itu hak-hak yang tertentu, kerana hak-hak itu orang yang memajak itu telah membayar "premium" kepada tuan punya tanah yang sebenar, iaitu Raja-Raja negeri itu, siapa jua yang membenarkan tiap-tiap Undang-Undang yang dikeluarkan dalam negerinya.

Kewajipan Kerajaan British itu ialah mesti memperoleh yang negeri-negeri Melayu itu mengikut seperti bagaimana perjanjiannya dengan rakyat-rakyat British, tetapi tidak boleh ia membuat apa-apa jika ada aduan. Kerajaan British tidak memandang kepada surat-surat perjanjian itu seperti "kertas buruk yang tidak terpakai" sahaja.

Tiap-tiap rakyat British dalam negeri-negeri yang bernaung ada berhak boleh mengirim petisyen terus kepada Yang Maha Mulia Baginda King, ataupun dengan melalui Menteri Bagi Jajahan-Jajahan British, iaitu jika sesuatu yang tidak puas hati.