Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1930, p.203-205

General Article.

Bertambah Bahasa Majulah Bangsa.

Berhubung dengan apa yang telah saya tulis dalam bulan yang lalu yang berkepalakan "Kemajuan Sesuatu Bangsa", bolehlah kita perhatikan bahwa tiap-tiap bangsa yang maju di dalam dunia ini mestilah mengambil dan meniru beberapa jenis perkara daripada bangsa-bangsa lain yang telah maju lebih dahulu. Bahasa-bahasa Latin ((Rum)) dan Greek ((Yunani)) yang tua dan sangat tinggi kemajuannya pada zaman dahulu itu boleh didapati sekarang ini bertaburan dipakai dan digunakan dan telah dijadikan bahasa sendiri oleh segala bangsa yang tengah maju di Eropah dan Amerika Syarikat sekarang ini kerana nenek moyang mereka itu pada zaman purbakala telah berdamping dengan bangsa-bangsa yang telah maju itu. Maka sebagai menunjukkan kemajuan bangsa Melayu yang masih terjumlah kepada kaum yang lagi meniru dan mengambil kemajuan bangsa-bangsa asing itu bolehlah pula kita perhatikan apa-apa dia yang telah tinggal bekasnya dari perdampingan kita dengan orang Hindu ((India)) zaman dahulu dan orang-orang Arab dari semenjak lebih kurang 500 tahun lalu dan jua orang-orang Eropah sekarang ini.

Bagi kita di sini, beberapa banyak perkataan-perkataan Inggeris yang telah kita ambil dan pakai menjadi bahasa kita seperti pensel, ofis, motokar, jel, sigaret, paip, kaptan, gol, telegraf, telefon, stesyen, kolej, universiti, librari, enjin, tayar, tiub, lesen, raket, gitar, piano, mandolin, harmonium dan ... beratus-ratus perkataan yang lain lagi -- sekaliannya itu akan menjadi tarikh menunjukkan apa-apa dia yang telah kita ambil dan tiru daripada Hindu atau Arab!

Daripada perkataan-perkataan dan bahasa yang telah kita tiru dan ambil dari bahasa "Sanskrit" iaitu seperti "Raja", "Mahkota", "Istana", "Cahaya", "Angkasa", "Masa", "Permaisuri", "Guru", "Menteri", dan lain-lain lagi itu, dapatlah kita ketahui bahwa sebelum kita berdamping atau berkenalan dengan orang-orang India tua itu dahulu, belumlah lagi ada perkara-perkara itu kepada kita. Pendeknya, jikalau kita fikirkan lebih jauh lagi adalah kaum kita yang belum tahu beraja, bermahkota, bermenteri, berguru, dan bangsa kita yang belum lagi tahu apakah dia cahaya dan angkasa atau sentosa, sebelum orang-orang dari India tua membawakan sekaliannya itu kepada nenek moyang kita zaman dahulu itu -- samalah keadaannya mereka pada masa itu seperti kaum Sakai atau Orang Asli yang kita lihat masih liar di dalam hutan rimba kita sekarang ini. Bukannya sahaja pada tentang aturan beraja-raja yang dimaknakan oleh perkataan itu yang telah kita ambil dan tiru daripada mereka itu, tetapi pada tentang kepercayaan dan adat-adat pun telah kita tiru jua. Dari darjah orang Sakai atau orang liar telah sampailah kita kepada darjah yang lebih maju oleh sebab perdampingan kita dengan orang-orang India purbakala itu. Kebesaran dan kemajuan orang-orang dari India itu sangat kuat pada zaman dahulu bahkan hingga bekas-bekasnya dapat kita lihat dan saksikan hingga sekarang ini seperti yang ada di Tanah Jawa dan lain-lain tempat itu, samalah keadaannya mereka pada masa itu seperti kaum Sakai atau Orang Asli yang kita lihat masih liar di dalam hutan rimba kita sekarang ini. Bukannya sahaja pada tentang aturan beraja-raja yang dimaknakan oleh perkataan itu yang telah kita ambil dan tiru daripada mereka itu, tetapi pada tentang kepercayaan dan adat-adat pun telah kita tiru jua. Dari darjah orang Sakai atau orang liar telah sampailah kita kepada darjah yang lebih maju oleh sebab perdampingan kita dengan orang-orang India purbakala itu. Kebesaran dan kemajuan orang-orang dari India itu sangat kuat pada zaman dahulu bahkan hingga bekas-bekasnya dapat kita lihat dan saksikan hingga sekarang ini seperti yang ada di Tanah Jawa dan lain-lain tempat itu.

Meskipun perkataan-perkataan seumpama kolej, universiti, librari, dan lain itu ada di dalam bahasa Arab, tetapi benda-benda itu dibawakan kepada kita oleh orang-orang Inggeris dan bukan bangsa lain. Perkataan-Perkataan dagang ini akan bertambah-tambah tibanya kepada bangsa kita mengikut kemajuan kita dalam percampuran dan perdampingan kita dengan bangsa-bangsa asing yang lebih maju. Jikalau lama lagi kita berdamping dengan orang-orang Inggeris dan apabila sampai masanya orang-orang Melayu kita akan mengetahui ilmu-ilmu yang lebih dalam daripada yang kita ketahui sekarang ini, maka perkataan-perkataan seperti Botani ((Botany)), Kemistri ((Chemistry)), Jiologi ((Geology)), Ekonomi ((Economy)) Aljibra, Jiometri, dan lain-lain lagi akan diketahui dan digunakan pula oleh bangsa kita iaitu seperti mereka telah menggunakan perkataan-perkataan sekeru ((screw)), spanar, horn magnet, bal bering ((ball-bearing)) sekarang ini. Jikalau bangsa kita rapat dengan bangsa Perancis atau German, tentulah banyak perkataan mereka itu yang kita pinjam tiru.

Dari darjah yang seperti itu, sampailah pula kita kepada mereka yang dibenci oleh orang-orang yang pandai Arab atau Melayu sahaja. Demikian jua jikalau orang-orang yang pandai Arab bercakap-cakap atau menulis apabila dicampurkannya bahasa Arab di dalamnya. Maka meluat pula orang yang pandai Inggeris dan Melayu sahaja mendengarnya. Yang demikian itu fikiran kita kurang molek. Eloknya kedua-dua atau ketiga-tiga pihak ((yang pandai Melayu sahaja, yang pandai Inggeris sahaja dan yang pandai Arab sahaja)), mahulah mengemarkan atau sekurang-kurangnya membiarkan satu dengan lain. Lama-kelamaan kelak pada zaman anak cucu kita dapatlah bahasa kita itu bertambah lebih luas oleh mendapat curahan ilmu dari dua bahasa yang kaya dan terbilang dalam dunia ini.

Bahasa-bahasa dagang itu sekarang ini seumpama nasi, yang tengah menggelegak ((mentah lagi)) di dalam periuk bangsa kita. Setenghnya seperti "peon", pensel, motokar, dan beberapa yang lain lagi itu telah masuk ((tidak jelantah lagi)) menjadi banyak lagi buat kemajuannya sungguhpun kita rasa perkataan-perkataan "proof" dan "ekonomi" itu telah jadi bahasan hari-hari di antara orang-orang Melayu yang berjinak-jinak dan berdamping dengan surat-surat khabar Melayu dan Indonesia zaman ini. Sebaliknya pula apa benarlah eloknya hendak bergantung dengan kuat kepada menyalinkan perkataan-perkataan dagang atau bahasa asing itu kepada bahasa Melayu asalnya. Jikalau begitu mengapa tidak diterjemahkan perkataan Portugis "meja" atau dahulu kepada "papan berkaki empat" atau "lantai bertiang empat" dan sebagainya?

Kita memang sangat gemar dan suka jika ada orang-orang Melayu kita yang suka mencari dan membentuk bahasa-bahasa asing itu dipinda ke dalam bahasanya, kerana yang demikian itu akan menambahkan banyak bilangan perkataan kita!

Tetapi kita tidak bersetuju jika sesuatu perkataan yang belum dapat Bahasa Melayunya yang terpakai ramai oleh orang-orang Melayu itu -- seperti "proof" dan "ekonomi" dan "kamera" dan lain-lain itu -- ditolak sama sekali! Jika sekalipun dapat bahasa Melayunya yang bersetuju tetapi perkataan-perkataan asal daripada bahasa asing itu akan tinggal jua difaham oleh orang ramai seperti "football", "goal keeper" dan sebagainya.