Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1930, p.211-216

Feature Article.

Federal Council Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu yang Bersekutu ((atau Negeri Persekutuan)) yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 6 haribulan Oktober yang lalu, beberapa perkara yang penting atas hal-hal Negeri Persekutuan diterjemahkan semuanya sekali akan memenuhi dua kali pengeluaran Majalah Guru ini, dengan tidak memuatkan perkara-perkara yang lain lagi. Tetapi memadailah kita ambil mana-mana yang difikirkan lebih patut dan wajib pembaca-pembaca kita ((yang tiada tahu Inggeris)) mengetahuinya. Setengah daripadanya ialah:

((1) Kejatuhan harga Getah dan Bijih Timah.

Yang telah menyebabkan sangat kurang pendapatan kerajaan. Kejatuhan harga getah telah menjadikan kesusahan besar kepada kuli-kuli kilang. Tidak ada kuli-kuli baru diterima datang ke negeri ini lagi dan dalam tahun ini 13,360 orang daripada mereka itu telah dihantar balik ke negerinya dari Port Swettenham dengan belanja kerajaan.

Kejatuhan harga Timah pula telah menyusahkan kuli-kuli Cina dan 1421 orang daripada mereka itu telah dihantar balik ke negerinya dari negeri-negeri Melayu yang Bersekutu. Beberapa banyak lagi mereka itu yang sedia menanti minta menghantarkan balik ke negerinya. Bilangan yang balik ke negerinya telah dikirai lebih daripada yang datang.

Mengikut perkiraan pada tahun dahulu, adalah wang pendapatan negeri persekutuan bagi tahun 1930 ini telah dianggarkan 83 milyun ringgit, tetapi sekarang ini tidak diharapkan lagi pendapatan itu boleh lebih daripada 68 1/2 milyun ringgit.

Oleh itu, negeri ini akan terpaksa meminjam wang dan menambah cukai-cukai. Wang wajib dicari bagi membuat beberapa pekerjaan akan menahan dan memberi pekerjaan kepada kuli-kuli yang pandai supaya mereka tinggal tetap di dalam negeri ini.

Yang demikian, sangat wajib, kerana jika kuli-kuli yang pandai itu dibiarkan keluar dari negeri ini, apabila perniagaan maju balik semula, maka masa itu kuli-kuli yang pandai itu sangat-sangatlah dikehendaki di dalam negeri ini.

Lebih baik lagi diberi mereka itu pekerjaan yang akan memberi faedah kepada negeri daripada membelanjakan wang dengan sia-sia atas memberi mereka itu makan dengan percuma atau menghantarkan mereka itu balik ke negerinya ataupun mengadakan khemah tempat menolong mereka itu. Atas perkara ini, telah berlaku perbahasan yang panjang lebar .... Kesemuanya sekali ahli-ahli mesyuarat yang bukan jawatan, tidak bersetuju akan peraturan hendak menambah cukai-cukai itu terutama pada masa kesempitan dan kesusahan seperti sekarang ini.

Yang Berhormat Tuan Ingman hingga siapa yang menjadi Champion pihak ahli-ahli mesyuarat yang bukan jawatan itu telah mengeluarkan fikirannya yang panjang. Ia tidak bersetuju tentang wang yang sebanyak 5 1/2 juta yang dicadangkan bagi pekerjaan-pekerjaan yang khas akan memberi pekerjaan kepada kuli-kuli itu dicari dengan jalan menaikkan cukai-cukai di dalam negeri-negeri ini, kerana hal itu -- katanya -- menjadi sangat keberatan kepada seiisi negeri. Tetapi jikalau perbelanjaan itu diambil daripada wang pinjaman yang akan dibayar balik dalam tempoh 25 tahun, tidaklah akan menjadi keberatan atas isi negeri ini. Ia memikirkan yang negeri ini patut berjimat atas perbelanjaannya.

Tuan J. S. Arthur telah menyokong fikiran Tuan Ingman hingga itu dan berkata bahwa boleh lagi negeri-negeri berjimat-jimat atas beberapa perbelanjaan yang lain bagi memajukan pekerjaan-pekerjaan yang khas yang tersebut itu. Ia memikirkan bahwa patut benar disiasat atas perkara menjimatkan perbelanjaan yang lain itu.

Kemudian daripada telah disiasat oleh suatu committee akan jalan mengurangkan perbelanjaan itu, dan apabila dimulakan balik mesyuarat pada hari Arbaah 8 Oktober yang lalu, maka telah didapati akan perbelanjaan dalam perkara-perkara yang berkenaan dengan keretapi itu boleh dapat dikurangkan sebanyak $1,548,251 dan kemudian daripada telah dikurangkan itu telah didapati jumlah perbelanjaan bagi semuanya sekali dalam tahun hadapan 1931 sebanyak $90,900,666. Oleh sebab itu, cukai yang berkenaan dengan minyak Liquid Fuel and Lubricating Oil yang dibawa masuk ke dalam negeri ini sebagaimana yang telah dizahirkan dalam Gazette Negeri-Negeri Melayu yang Bersekutu Nombor 7241 bertarikh 1.10.30 itu telah dibatalkan.

Ahli-ahli mesyuarat yang bukan jawatan itu masih jua tidak bersetuju hendak membenarkan cukai-cukai yang lain dan mereka itu berfikir patut ditinggalkan pekerjaan-pekerjaan khas yang mana tidak terbelanjakan dari wang pinjaman. Tetapi ahli-ahli mesyuarat pihak kerajaan tidak bersetuju hendak meninggalkan pekerjaan-pekerjaan khas itu sebab katanya yang demikian itu akan menambahkan banyak lagi orang-orang yang tiada bekerja dalam negeri ini.

Tuan Ingman Higgs telah mencadangkan supaya diadakan suatu committee yang khas buat menyiasat lagi atas mengurangkan perbelanjaan itu dan ia berkata mustahil boleh dihabiskan pekerjaan menyiasat yang hendak mengurangkan lagi sebanyak 4 milyun ringgit itu dalam satu petang!

Yang Terutama Tuan High Commissioner telah mengesyorkan supaya cukai-cukai yang lain itu diterima oleh mesyuarat itu dan suatu committee yang khas akan diadakan dengan segera buat menyiasat perkara mengurangkan belanja lagi seperti yang dikatakan oleh Tuan Ingman. Hingga itu, supaya menetapkan bolehkah atau tidak dibatalkan semuanya sekali ataupun separuh daripada cukai-cukai yang baru itu? Yang Berhormat Raja Sir Chulan Raja di Hilir Perak bagi pihak ahli-ahli mesyuarat yang bukan jawatan telah menerima akan syor Tuan Yang Terutama itu, dan Tuan Ingman Higgs pun telah menarik balik fikirannya berkenaan dengan cukai-cukai itu.

Federal Council Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

((2) Queen Scholarship.

Yang selalu dikemukakan oleh Yang Berhormat Mr. Cheah Cheng Lim telah dibuka balik semula dalam Negeri-Negeri Yang Bersekutu. Dua scholarship akan diadakan tiap-tiap tahun iaitu satu daripadanya dikhaskan bagi anak-anak Melayu sahaja dan satu lagi terbuka kepada semua bangsa. Murid-murid yang berlawan kerana mendapat scholarship itu dibenarkan laki-laki atau perempuan dengan syarat hendaklah mereka rakyat Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ataupun rakyat Inggeris. Maka setengah daripada syarat-syarat atau peraturan bagi mendapat Queen's Scholarship itu ialah seperti berikut:

1. Murid itu hendaklah diperanakkan dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu atau dalam Negeri-Negeri Selat, ataupun anak atau saudara yang hampir kepada orang yang diam dalam negeri-negeri yang tersebut itu tidak kurang dari tujuh tahun lamanya dahulu daripada peperiksaan kerana Scholarship itu.

2. Murid itu hendaklah daripada murid yang telah mengaji di sekolah atau kolej dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu sekurang-kurangnya tujuh tahun lamanya dahulu dari tarikh diadakan peperiksaan itu.

3. Murid itu hendaklah orang yang telah mendapat Sijil Senior Cambridge buat melepaskan ia daripada peperiksaan yang diadakan bagi hendak masuk ke dalam Universiti di Oxford atau Cambridge.

4. Murid itu hendaklah berumur tidak kurang dari 17 tahun pada 15 haribulan iaitu dalam bulan yang diadakan peperiksaan kerana Scholarship itu tetapi tidak pula boleh lebih dari umur 20 tahun pada hari yang tersebut itu. Suatu salinannya surat beranak dari pejabat yang mendaftarkan orang beranak ataupun lain keterangan umur yang memberi puas hati hendaklah ditunjukkan.

5. Tiap-Tiap murid yang masuk berlawan kerana mendapat Scholarship itu hendaklah sihat badannya dan baik tabiat perangainya. Suatu surat keterangan dari Tuan Medical Officer boleh diterima menunjukkan yang ia cukup sihat badannya dan lagi suatu surat keterangan dari Ketua Sekolahnya yang menunjukkan tabiat kelakuannya boleh diterima. Maka keputusan timbangan Tuan Penguasa Pelajaran atas kelayakan murid itu masuk dalam peperiksaan itu tidak boleh dirombak lagi.

Lain-lain peraturannya itu tentulah akan dicapkan dan boleh didapati kemudian kelak dari pejabat-pejabat pelajaran. Peperiksaannya yang pertama akan diadakan di dalam bulan Oktober tahun 1931. Nama murid-murid yang hendak masuk peperiksaan itu serta dengan surat-surat keterangan yang dikehendaki seperti yang tersebut di atas itu serta keterangan yang menyatakan jenis pelajaran yang hendak dituntut oleh murid itu hendaklah sampai kepada Tuan Penguasa Pelajaran tidak lewat daripada seharibulan Mei pada tiap-tiap tahun. Pendeknya, apabila diketahui sahaja keputusan peperiksaan Senior Cambridge dalam bulan March, hendaklah murid-murid itu meminta kepada Tuan Nazir Sekolah-Sekolah dalam negeri-negeri masing-masing melalui Guru Besar atau Ketua Sekolahnya.

Kita bagi pihak Majalah Guru senantiasa berharap yang anak-anak Melayu akan mecuba dengan sehabis daya belajar dengan rajin dan menunjukkan kelayakannya masuk bertanding dalam pilihan kerana peperiksaan hendak merebut Queen's Scholarship itu. Bukannya sahaja kita harap anak-anak Melayu yang di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu akan mencuba dapatkan Scholarship yang telah dikhaskan baginya itu, tetapi jua kita tidak putus-putus harap supaya anak-anak Melayu yang dalam Negeri-Negeri Selat akan mencuba dengan seberapa upaya merebut dua Queen's Scholarship dalam Negeri Selat yang terbuka kepada semua bangsa itu.

Federal Council Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

((3) Beberapa Perkara Yang Lain.

Beberapa perkara yang lain telah dibawa ke dalam mesyuarat itu. Diantaranya beberapa soal atas hal pelajaran telah ditanya oleh Yang Berhormat Sir Raja Chulan Raja di Hilir Perak dan jua oleh Yang Berhormat Datuk Abdullah Undang Rembau. Kemudian Yang Berhormat Sir Raja Chulan telah menyatakan bahwa negeri ini tengah di dalam kesusahan pada tentang wang. Ia memikirkan bahwa adalah beberapa perkara yang dalam "Estimate" itu yang boleh dikurangkan terutama sekali yang berkenaan dengan pelajaran. Ia tidak menahan perbelanjaan yang berkenaan dengan sekolah-sekolah anak negeri, tetapi ia memikirkan tidak patut menambah lagi perbelanjaan yang berkenaan dengan sekolah-sekolah Inggeris terutama perbelanjaan berkenaan dengan pelajaran itu telah bertambah banyak dan masih bertambah jua lagi.

Ia tidak tahu apakah tujuan kerajaan berkenaan dengan pelajaran dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu? Ia telah membaca suatu petikan daripada karangan yang telah terjumpa olehnya menyatakan fikiran-fikiran yang bersetuju dengan fikirannya demikian bunyinya:

Hendaklah kita menjauhkan daripada kesalahan-kesalahan yang telah dibuat di dalam bahagian lain yang di dalam dunia ini. Tawarikh telah menunjukkan kepada kita bahwa "Kurang Pelajaran" itu tidak berapa merbahaya kepada negeri seperti "Lebih Pelajaran", terutama sekali pelajaran yang tidak boleh memberi orang muda-muda pekerjaan.

Dan lagi, ia telah juga membaca suatu petikan lain demikian katanya:

Pelajaran yang seperti itu ialah memberi harapan yang kosong kepada orang-orang muda-muda iaitu pelajaran yang memberi akan dia fikiran-fikiran yang tidak tersampaikan oleh darjat hidupnya dan menjadikan mereka itu orang yang tidak puas hati hendak mendapat jawatan-jawatan kerajaan. Murid-murid yang seperti itu lebih baik diberi pelajaran perniagaan yang boleh mendatangkan kepada mereka itu lebih wang daripada yang boleh didapati dengan pelajaran ((Bahasa Inggeris)) yang mentah dan sedikit.

Yang Berhormat Tuan Arthur telah bercakap jua mengatakan bahwa Pejabat Keretapi itu satu daripada pejabat-pejabat yang boleh dijimatkan lagi perbelanjaannya. Ada jua lain-lain pejabat lagi -- katanya -- yang patut diperiksa dan disiasat.

Satu daripadanya ialah Pejabat Pelajaran.

Boleh dikatakan adalah orang-orang pekerja yang telah belajar menjalankan dan menjaga enjin itu lebih ada mempunyai harapan akan mendapat pekerjaan yang beruntung daripada budak yang telah keluar dari sekolah kita yang sempit yang didapatinya dari buku-buku. Tetapi, katanya, ia barangkali tiada betul. Dan lagi, katanya, Pejabat Ubat-Ubatan itu patut boleh berjimat lagi dengan jalan dikurangkan pekerjaan yang patut dibuat oleh doktor-doktor yang berniaga. Barangkali jua dalam perkara itu ia boleh salah tetapi ia berharap suatu siasat patut benar dijalankan atas segala perbelanjaan pejabat-pejabat kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Doktor R.O. Winstedt, Penguasa Pelajaran telah menjawab ucapan Yang Berhormat Sir Raja Chulan tadi, katanya, ia suka menengar fikiran Raja Sir Chulan. Jikalau begini, katanya lagi, fikiran kaum bangsa Yang Berhormat itu dan juga jika demikian fikiran-fikiran orang-orang Asiatik dalam Tanah Melayu dalam masa yang sepuluh tahun lagi, maka pelajaran itu akan menjadi suatu perkara yang tiada berapa susah memikirkannya seperti yang didapati pada hari ini. Fikiran-fikiran orang-orang Melayu yang ramai itu sangat ingin hendak masuk ke sekolah Inggeris lebih 2,090 anak-anak Melayu dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu yang didapati belajar dengan percuma ((tiada bayaran)) di sekolah-sekolah Inggeris iaitu dengan perbelanjaan $6,000 sebulan atas kerajaan. Ia tidak tahu, katanya lagi, apakah perkaranya di dalam "Estimate" itu yang merunsingkan fikiran Yang Berhormat Raja Sir Chulan itu, tidak memikirkan yang Ipoh itu seperti suatu pekan yang terlebih wajib mendapat perbelanjaan yang lebih! Satu daripada perbelanjaan pelajaran itu ialah atas Sekolah Anderson ((Anderson School)) di Ipoh, dan sepanjang pengetahuannya negeri Perak telah berkuat benar meminta sekolah itu dalam beberapa tahun yang lalu.

Pelajaran, kata Tuan Doktor itu, ialah sangat berat belanjanya dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan masih jua bertambah-tambah kuat lagi. Pada hal, wang pendapatan negeri ini tidak sampai seperti wang pendapatan Negeri-Negeri Selat. Satu daripada tanggungan yang berat sekali yang dibawa oleh Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ialah pelajaran di sekolah-sekolah Melayu bahkan perbelanjaan inilah yang besar sekali di dalam daftar perbelanjaan yang berkenaan dengan pelajaran.

Federal Council Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.

((4) Setengah daripada perkara-perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat itu seperti di bawah ini:

Mengikut perkiraan yang mula-mula adalah pendapatan dalam tahun 1930 akan berjumlah $83,150,992 dan perkiraan mula-mula atas perbelanjaan tahun 1930 berjumlah $86,957,661. Perkiraan pendapatan itu telah dikurangkan hingga $68,520,180 iaitu terkurang sebanyak $14,630,812 dan perkiraan perbelanjaan itu telah dikurangkan juga hingga $84,705,670. Maka kelebihan perbelanjaan dari pendapatan itu terpaksa dinaikkan dari perkiraan $3,806,669 yang mula-mula itu hingga kepada $16,000,000.

Suatu daripada tanda yang lekas sekali menunjukkan kekurangan pendapatan kita ialah oleh sebab kekurangan harga getah dan bijih timah itu. Bolehlah didapati daripada jadual pendapatan di Pejabat Kastam. Daripada perkiraan-perkiraan yang mula-mula sebanyak $3,400,000 harga assets ((harta dan kepunyaan kerajaan)) pada akhir tahun 1929, ada berlebih dari liabilities ((tanggungan perbelanjaan)) nya sebanyak $80,018,574 dan telah difikirkan lebih ini akan kurang hingga $61,333,084 pada 31 haribulan December tahun 1930 ini. Dan wang tunai kerajaan akan kurang pada akhir tahun ini hingga $20,100,000. Adapun kelebihan assets itu bukannya menunjukkan yang wang tunai sebanyak itu ada sedia atau boleh dapat pada bila-bila masa pun melainkan hanyalah menunjukkan kelebihan Harga Kepunyaan daripada Tanggungan.

Harga perniagaan dalam negeri ini dalam setengah tahun 1930 itu ialah sebanyak $221,251,041, iaitu kurang $56,405,580 atau 20 percent apabila dibandingkan dengan harga perniagaan dalam awal setengah tahun 1929.

Dalam awal setengah tahun 1930, adalah luas tanah padi yang boleh ditanam ialah sebanyak 178,187 ekar dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu tidak termasuk 3,000 ekar yang ditanam dalam dua jajahan negeri Pahang. Musmim panas telah mengurangkan buah padi di sebelah Utara. Dalam setengah mukim di Kerian padi tiada menjadi betul sebab lewat menanamnya.

Beras yang dibawa masuk ke dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dalam setengah tahun 1930, iaitu beras putih sebanyak 113,255 tan, dan beras cargo, 3,991 tan. Bandingkan dengan banyak beras yang dibawa masuk pada awal setengah tahun 1929 iaitu beras putih sebanyak 112,980 dan beras Cargo 4,616 tan. Luasnya Tanah tanaman yang lain seperti di bawah ini:

Kelapa Sawit ((Oil Palms)) dianggarkan 22,554 ekar. Teh dianggarkan 591 ekar. Kopi dianggarkan 9.018 ekar. Ubi Kayu dianggarkan 4,364 ekar. Nipah dianggarkan 8561 ekar. Pisang dianggarkan 7,213 ekar. Gambir dianggarkan 1,670 ekar. Nanas dianggarkan 2,477 ekar.

Suatu kumpulan belalang telah dijumpai dalam Negeri Sembilan dan pekerjaan menahankan dia supaya jangan merebak telah dijalankan.

Lombong.

Jumlah kuli yang dipakai melombong pada akhir bulan June 1930 ialah 80,755 orang. Iaitu kurang 23,713 orang dari bilangan pada akhir tahun 1929. Dalam Perak, bilangan kuli itu kurang 190,000 orang dan daripada bilangan itu di antara 3,500 dan 4,000 orang yang tiada bekerja pada akhir bulan June.

Yang selebihnya itu telah dapat pekerjaan menjadi kuli pejabat raya atau berkebun sayur. Dalam Selangor bilangan kuli yang bekerja kurang sebanyak 4,000 orang tetapi yang tiada dapat kerja yang lain tiada berapa banyak. Di Negeri Sembilan dan Pahang, kuli-kuli yang dipakai dalam lombong kurang sebanyak lebih kurang 850 orang dan daripada bilangan itu dianggarkan 500 orang yang tiada dapat apa-apa pekerjaan.

Emas. Hasil daripada Emas yang dapat dalam awal tahun 1930 berjumlah 14,920 ounces. Bandingkanlah dengan 13,382 ounces yang didapati pada awal setengah tahun 1929. Maka 11,207 ounces mas itu datang dari Australian Gold Company di Raub dan selebihnya itu didapati daripada celah-celah lombong-lombong bijih timah dalam Tanah Perak.

Arang Batu: arang batu didapati dalam setengah tahun 1930 dari Company Malayan Collieries sejumlah 324,282 tan, bandinglah dengan 317,623 tan bagi awal setengah tahun 1929. Arang batu itu telah dipakai seperti di bawah ini:

Dijual pada pejabat-pejabat keretapi negeri Melayu 91,814 tan. Dipakai oleh pejabat keretapi negeri Melayu di luar negeri Persekutuan 27,240 tan. Dijual kepada lombong-lombong dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu 127,064 tan. Dijual kepada lain-lain dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu 63,358 tan. Dijual keluar dari Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu bagi kegunaan yang lain 68 tan. Dipakai oleh Company Malayan Collieries itu sendiri 15,668 tan. Jumlah 324,232 tan.

Syarikat-Syarikat Bekerjasama: yang telah didaftarkan dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pada Jun 1930 berjumlah 150 dan ahlinya ((membernya)) berjumlah sebanyak 29,064 orang. Maka jumlah wang yang dijalankan termasuk Reserve Fund sebanyak $2,836,734.

Suatu Factory membuat dan menyediakan getah telah dibangunkan di antara orang-orang Melayu di Ulu Gombak dan getah-getah yang telah dikeluarkan dari situ didapati daripada jenis getah nombor satu iaitu jenis yang baik sekali.

Pejabat Polis: adapun atas kesalahan-kesalahan yang boleh ditangkap dalam awal setengah tahun 1930, berjumlah 4,476 dibandingkan dengan bilanga aduan sebanyak 3,982 dalam awal setengah tahun 1929. Orang-orang yang salah itu telah didapati seramai 2,433. Ada 50 aduan fasal membunuh iaitu bertambah 3 dari awal setengah tahun 1929. Dari bilangan itu 7 perbunuhan telah berlaku dalam perkara samunan. Adapun atas samunan dan menyamun dengan beramai-ramai berjumlah 30 dan 40 bandingkan dengan 12 dan 33 dalam awal setengah tahun 1929. Tidak ada kumpulan penyamun yang besar telah berlaku dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dari Januari hingga Jun. Dua kumpulan yang kecil telah berlaku dalam Kinta dan telah dipecahkan dengan memberi puashati. Dan lagi, ada 567 aduan fasal pecah rumah, dan 2,125 aduan fasal curi dan lima kesalahan fasal persekutuan yang menyalahi undang-undang.

Jagaan ((Patrol)) yang kuat dengan menggunakan motorcar telah dapat menahankan berlaki kesalahan-kesalahan yang besar dengan memberi puas hati. Bilangan orang yang masuk bekerja menjadi mata-mata didapati memberi puas hati tetapi bilangan orang-orang Melayu yang meminta pekerjaan itu telah didapati tidak cukup ramai seperti yang dikehendaki.

Jel: pada 1 January 1930, ada 1086 orang salah di dalam jel Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu. 3,255 orang telah masuk dalam awal setengah tahun 1930 dan pada 30 Jun ada lagi 1,137 orang salah yang tinggal dalam jel. Bilangan orang yang dalam jel apabila dibandingkan dengan isi negeri didapati 208 pada tiap-tiap 100,000 iaitu kurang 23 percent dari bilangan pada 30 Jun 1929. Jumlah perbelanjaan banyaknya $253,121. Mengikut hitungan panjang adalah 103 orang salah tiap-tiap hari dengan perkiraan belanjanya $34 seorang pada sebulan. Seorang telah dibunuh ((digantung)) dalam jel Taiping dan seorang lagi di dalam Jel Pudu ((Kuala Lumpur)).

Keretapi: jalan keretapi di sebelah Timur ((bahagian ke Kelantan)) telah dimajukan lagi. Bahagian dari sempadan Kelantan ke Gua Musang dan dari Manik Urai ke Kuala Garis telah dibuka. Ada lagi tinggal 44 batu jaraknya di antara hujung jalan yang telah siap di sebelah Utara dan Selatan.

Federal Council Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.

Ucapan-Ucapan dalam Federal Council.

Setelah mesyuarat ditamatkan oleh Yang Berhormat Tuan Chief Secretary beberapa orang ahli mesyuarat yang bukan jawatan telah mengambil peluang bercakap.

Yang Berhormat Raja Sir Chulan Raja di Hilir Perak iaitu seorang ahli mesyuarat bukan jawatan yang telah berkata berkenaan dengan perusahaan bertanam padi. Pada fikirannya adalah perkara yang menahan keluasan sawah itu ialah oleh sebab anak-anak negeri ini kuat ditarik oleh nafsu hendak bertanam getah.

Jika tidak dihadkan atau ditahan kemahuan bertanam getah ini, katanya, tidaklah ada harapan yang orang Melayu itu boleh mencari kehidupannya dengan bertanam padi. Oleh itu, patutlah kerajaan mencari jalan supaya memperoleh akan tujuan itu. Sekolah-Sekolah Inggeris yang dibuka dalam tempat-tempat yang ada bertanam padi itupun kata Yang Berhormat itu boleh jua mengurangkan tanaman padi itu. Kerana orang muda-muda yang telah tahu sedikit-sedikit bahasa Inggeris di sekolah-sekolah itu tidak mahu lagi membuat pekerjaan nenek moyangnya itu.

Maka orang-orang yang diam berhampiran dengan pekan tidak mau berusaha bercucuk tanam apabila dilihatnya orang-orang muda-muda daripada bangsa-bangsa lain mendapat pekerjaan semata-mata dengan pelajaran inggerisnya.

Sekiranya kerajaan menahan atau mengurangkan memberi tanah buat bertanam getah dan memberi tanah-tanah yang banyak kerana bertanam padi, serta jikalau boleh ditolong pula tentang menaikkan air ke sawah-sawah ia percaya bahwa tanaman padi di negeri ini akan bertambah maju.

Berkenaan dengan kerani-kerani Melayu di dalam pejabat keretapi, sebagaimana pertanyaan pada bulan Jun yang lalu, telah didapati bahwa daripada 2072 orang kerani bangsa Asiatik yang telah bekerja dalam tahun 1929 di pejabat itu hanya ada 95 orang-orang sahaja kerani Melayu Kelas III. Apabila difikirkan bilangan anak-anak Melayu yang ramai lepas daripada sekolah-sekolah Inggeris dalam beberapa tahun yang lalu, yang mana patut mendapat jawatan kerani, maka bilangan anak-anak Melayu yang sangat sedikit dalam jawatan keretapi itu tidaklah menyenangkan hati.

Ia sukacita hendak mengetahui akan peraturan memberi jawatan pertukaran dan naik pangkat di situ dibiarkan mengikut sepandai-pandai kerani-kerani besar di situ sahaja.

Ia percaya bahwa sangatlah sedikit peluang bagi anak-anak Melayu dalam pejabat itu kerana kerani-kerani yang kanan di situ ialah daripada bangsa Keling dan Cina. 50 tahun lagi barulah ada kerani-kerani Melayu yang kanan dan pada masa itu peluang barulah anak-anak Melayu itu kurang sedikit galangnya daripada yang ada seperti sekarang ini. Yang Berhormat itu mengesyorkan supaya pegawai-pegawai Orang Putih menyiasat dengan betul tentang peraturan memberi peluang yang lebih baik kepada anak-anak Melayu. Perkataannya yang di atas itu katanya terhadap jua kepada Pejabat Raya ((PWD)) sungguhpun ia tiada mengetahui berapa bilangan kerani-kerani di situ seperti yang diketahuinya berkenaan dengan Pejabat Keretapi itu. Ia telah menyebut jua bahwa orang-orang Putih yang tiada bekerja disebabkan oleh kejatuhan harga getah itu patut juga ditolong akan dia supaya apabila harga getah telah naik semula, maka mereka itu boleh digunakan balik membuat pekerjaan-pekerjaan yang sangat berfaedah bagi negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Abdullah Undang Rembau telah berkata bahwa daripada 10 orang anak-anak Melayu yang telah lulus dalam peperiksaan Standard 7 di sekolah Inggeris Seremban pada tahun 1929 yang lalu telah dinaikkan ke Darjah Junior Cambridge, tetapi kemudian daripada empat bulan apabila diadakan peperiksaan percubaan yang pertama maka 8 orang daripada mereka itu telah diberhentikan. Maka sebab-sebabnya itu ialah umurnya telah lebih tidak ingat akan pelajarannya dan tidak lulus dalam ujian yang pertama. Mereka itu telah naikkan darjah dengan percubaan mengikut permintaannya sendiri, iaitu jika diberi peluang mereka belajar di dalam kelas itu maka mereka boleh mendapat peluang yang lebih baik bagi mendapat pekerjaan. Datuk itu telah bertanya adakah iaitu aturan sekolah itu membuang murid-murid dalam Junior Cambridge apabila mereka tiada lulus dalam ujian yang pertama?

Pada fikirannya aturan itu menyusahkan murid-murid yang tidak berapa pandai, sepatutnya, kata Datuk itu, ditimbangkan hal murid itu kemudian daripada telah diadakan ujian yang kedua kalinya. Ia berharap supaya murid-murid dalam darjah Junior Cambridge itu diberi peluang masuk peperiksaan tahun yang pertama apabila telah dibenarkan mereka belajar dalam kelas itu. Dan dengan jalan itu dapatlah mereka itu peluang pada mencuba mendapat Sijil yang akan memberi faedah yang besar kepadanya. Pada fikiran Datuk itu sangat wajib di atas guru yang mengajar darjah Junior Cambridge itu menolong dan melatih murid-muridnya supaya meluaskan mereka di dalam peperiksaan yang akhir.

Yang Berhormat Mr. Cheah Cheng Lim telah mengucapkan kepujian kepada Tuan Yang Terutama High Commissioner dan kerajaan kerana telah mengadakan balik Queen's Scholarship setengah daripada sahabat-sahabat kita Orang Melayu, katanya, barangkali tidak bersetuju atas kewajipan menguntukkan satu scholarship itu khas bagi anak-anak Melayu sahaja. Tetapi, katanya, apabila telah ditimbangkan dengan cukup maka didapati ada sebab-sebabnya maka dibuat seperti itu. Ia percaya dalam masa yang tidak berapa lama lagi anak-anak Melayu itu akan memintak haknya yang khas itu supaya dijadikan terbuka kepada sekalian bangsa iaitu apabila dirasainya yang ia telah boleh bertanding dengan anak-anak bangsa lain. ((Pandai sungguh Yang Berhormat kita Towkay ini bercakap! P.))

Yang Berhormat Mr. S.N Veerasamy menyatakan kedukaan orang-orang Asiatik apabila telah diketahuinya yang Hospital baru di Kuala Lumpur itu tidak dapat didirikan pada tahun hadapan dan Yang Berhormat Mr. S.O. Wing telah menyokong akan dia.

Yang Berhormat Tuan J.S. Arthur telah bercakap panjang di atas hal kekurangan harga getah dan orang-orang yang tiada mendapat pekerjaan dan juga tentang hal cukai-cukai yang baru di atas wayang-wayang gelap itu. Yang Berhormat Tuan H.J. Galenster telah bercakap juga dengan panjang menyatakan fikirannya berkenaan dengan hal perusahaan melombong bijih timah. Ia berharap supaya kerajaan mengadakan suatu siasat bagi memajukannya dan mencari jalan melakukan bijih itu.

Yang Berhormat Tuan L.T. Williams telah berkata berhubung dengan hal membayar cukai tanah kebun getah dengan beransur-ansur itu. Ia menyatakan lagi: orang-orang Cina yang tiada bekerja itu nampaknya tiada mau balik ke negerinya di mana hal-hal kesusahan berlipat ganda besarnya daripada di negeri ini. Mereka itu tak akan ada pergi ke India atau ke Jepun atau pun ke Amerika. Nampaknya jikalau mereka yang pandai bekerja dalam masing-masing cawangannya tidak dapat mencari pekeraan yang telah memang diketahuinya, patutlah mereka mencuba menbuat pekerjaan yang belum diketahuinya mengikut gaji dan bayaran yang berpadan dengan kurang pandainya dalam pekerjaan yang baru itu.

Yang Berhormat Col. Cecil Ray dalam percakapan yang panjang jua itu telah menyatakan fikirannya di atas tempat orang yang terkena penyakit kusta di Sungei Buluh itu. Di antara lain-lain katanya ia telah melihat beberapa tempat orang-orang sakit kusta itu di tempat-tempat lain dalam dunia ini termasuk yang di dalam jagaan orang Amerikan. Tetapi tempat yang dibuat di Sungei Buluh itu, katanya, tidaklah boleh menjadikan kita malu. Tempat orang kusta di Sungei Buluh itu dicadangkan bagi 900 orang. Sekarang ada 1065 orang telah diam di situ. Ia berharap yang tempat itu tidak digunakan bagi syurga orang-orang dagang yang akan datang ke negeri ini. Ia memikirkan patut disediakan empat itu bagi orang-orang bangsa kita daripada mereka yang telah memang jadi penduduk negeri ini. Tetapi ia takut kalau-kalau Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu ini mengadakan tempat itu bagi faedah seluruh benua Asia!

((Jawapan ahli-ahli mesyuarat pihak kerajaan tiada dapat dimuatkan lagi kerana ruangan telah sempit. P.))

Anak Negeri.