![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Oct 1930, p.174-175
Surat Kiriman.
Cawangan Pekerjaan Anak-Anak Melayu.
Al-Mukarram Tuan Pengarang Majalah Guru, Dengan kesejahteraannya, Di Seremban.
Saya tersangat suka cita membaca karangan berkepala "Kelas-Kelas Malam" yang ditulis oleh "Anak Negeri" di dalam MG bilangan bulan Ogos yang baru lalu itu, terutama pada tentang katanya, "kelas-kelas malam itu memang diuntukkan bagi orang yang tinggal dan mencari kehidupan di dalam pekan sahaja, maka bagi anak-anak Melayu yang diam di kampung, kebanyakan mereka itu patut dan mesti tinggal di kampung jua memajukan kebun dan sawah padinya. Dan mana-mana yang tidak terhadap hatinya kepada pekerjaan kampung itu patutlah bekerja menjadi mata-mata menjaga keamanan negeri ini ....
Tentang jawatan Polis pun suka saya menumpang memperhuraikannya untuk kaum bangsa dan tanah air kita.
Sebenarnya, jawatan Polis itu dari beberapa tahun yang telah lalu serasa saya, sangat kekurangan anak-anak Melayu yang memasukinya, dalam report Tuan Commissioner of Police bagi hal-hal jawatan Polis dalam tahun 1929 itu di antara lain-lainnya katanya sungguhpun harga getah dan bijih timah tersangat jatuh, tetapi anak-anak Melayu tersangat kurang juga memintak jawatan Polis. Lagi-lagi bangsa Punjabi dari India itulah juga yang semakin bertambah-tambah banyak bilangannya". Dari kenyataan yang pendek ini dapat kita mengetahui apa-apa dia maksudnya.
Anak-anak Melayu yang tiada berpekerjaan yang bersinggah merata kaki lima dan berlonggok-longgok dalam kedai-kedai kuli itu semuanya patut menjadi mata-mata. saya merasa hairan memikirkan mereka itu tiada suka bekerja, pada hal badannya tegap dan kuat! Kebanyakan daripadanya telah keluar atau tamat daripada sekolahnya ((sekolah Melayu)) satu atau tiga tahun lalu. Bolehkah memadai dengan pencarian oleh dua tiga kati getah sehari? Atau dari kemenangan judi? Ditanggung oleh ibu bapa selama-lamakah?
Saya sangat berterima kasih melihatkan segala orang-orang Polis Melayu aman yang ada itu keluar dari Depot semenjak tahun 1929, beratus mata-mata yang sudah tahu membaca dan menulis rumi, kira mengira, karang mengarang, dan sedikit ilmu melukis, ilmu alam dan sebagainya. Tidaklah seperti mata-mata pada tempoh yang telah lalu lagi -- buta kayu kerana kebanyakan mereka itu tiada bersekolah langsung ataupun keluar dari sekolah hanya tamat darjah satu atau dua sahaja. Alangkah beruntungnya orang muda-muda yang tiada berpekerjaan itu masuk dalam jawatan Polis pada masa ini, istimewa mereka yang telah tamat darjah yang kelima di Sekolah Melayu itu. Kerana membaca, menulis, berkira-kira, ilmu alam dan lain-lainnya lagi pelajaran di Sekolah Melayu itu telah dipaskannya dan tentang berquad ((berbaris)) pun telah diketahuinya juga sedikit-sedikit.
Di antara beratus-ratus anak Melayu yang telah berjawatan Polis itu kebanyakan datangnya dari Negeri Sembilan dan Perak. Maka dari Selangor tersangat sedikit bilangannya, padahal di negeri Selangor inilah boleh dikatakan tempat yang tiada bersawah padi. Juga di dalam negeri itulah terbangunnya Polis Depot. Di Negeri Sembilan sebenarnya kebanyakan orangnya bersawah padi belaka, dan anak-anak kampung dari negeri itulah yang tiada berputusan datang ke Depot memintak jawatan Polis. Sebenarnya seperti kata "Anak Negeri", bahkan pekerjaan Polis mesti dipandang oleh tiap-tiap anak Melayu dengan pandangan "Mulia" bukannya bagi anak-anak Negeri Sembilan sahaja!
Perkara ini patutlah sekalian Encik-Encik, Guru-Guru, Melayu lebih-lebih lagi yang mengajar di kampung-kampung itu menjawab menolong memberi nasihat kepada anak-anak muda di kampungnya yang mana tiada pekerjaan itu dan kepada anak-anak muridnya yang akan khatam darjah lima yang tidak ada harapannya lagi atau yang sudah terlepas peluangnya masuk ke sekolah Inggeris atau masuk dalam jawatan lain ataupun yang tiada cenderung hatinya kepada pekerjaannya kampung itu supaya tertarik hatinya kepada pekerjaan Polis. Mereka itu sekalian tiada akan membuang masanya di dalam pergaulan hidup.
Ingatlah zaman kemajuan ini tiap-tiap orang berkehendakan maju, fikirlah apa-apa yang dikatakan kemajuan itu? Tiada boleh maju suatu bangsa itu selagi ia belum mau bekerja sebarang apa jua pekerjaan -- tiada memilih!
Baik kerja sendiri maupun untuk orang lain. Bangsa-bangsa yang telah maju itu segala-segala pekerjaan di dalam tangannya -- dari pun yang serendah-rendah dan sehina-hina pekerjaan seperti mencuci jamban, menitik batu di jalan raya hingga kepada setinggi-tinggi dan semulia-mulianya -- semua di dalam tangannya sendiri. Tetapi kebanyakan orang Melayu memandang dan menyangkakan adalah pekerjaan Polis itu pula pekerjaan yang kurang baik -- pak pacak katanya -- tiada pula bangsa kita menerimanya! Adakah pekerjaan yang boleh mendatangkan keamanan negeri, memeliharakan negeri, menjaga tanahair sendiri boleh dikatakan pekerjaan itu hina?
Kita sekalian patut sangat berbanyak-banyak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang maha adil atas timbang rasa kepada bangsa kita, kita juga yang tiada berapa menghargakannya. Kalau sekiranya kerajaan membukakan jawatan Polis ini kepada sebarang bangsa asing tengoklah! Saya percaya dalam sehari berpuluh-puluh orang Cina sahaja yang datang mintak pekerjaan itu. Tidakkah kesudahannya orang Cina kesemuanya yang menjaga keamanan tanah air kita. Pada masa itulah agak baru kita merasa bagaimana pahit maungnya dan kepedihannya.
Had inilah saya sudahi dengan berbanyak-banyak menerima kasih kepada Tuan Pengarang MG kerana ruangannya. Wasallam.
top |