Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Oct 1930, p.189-191

Feature Article.

Kemajuan Sesuatu Bangsa.

Bahwa kemajuan sesuatu bangsa di atas dunia ini boleh diperhatikan dan didapati daripada perkara-perkara yang tersebut di bawah ini:

1. Kitab-kitab, karangan-karangan, dan surat-suratan atau tulisannya :

2. Perkakas-Perkakas perusahaannya :

3. Bangunan-bangunan dan bekas-bekas pertukangannya :

4. Bahasa dan adatnya dan kepercayaannya.

Bangsa-bangsa yang ada dan telah ada di dalam dunia ini terbahagi dengan tiga bahagian

1. Bangsa-bangsa yang telah maju :

2. Bangsa-bangsa yang tengah maju :

3. Bangsa-bangsa yang belum maju jua dan masih meniru kemajuan bangsa-bangsa lain.

Di antara empat perkara yang pertama di atas itu kita dapat menyaksikan kemajuan dan kebesaran bangsa-bangsa yang telah maju pada zaman dahulu kala seperti bangsa Mesir ((zaman Firaun)), bangsa Greek ((atau Yunan)), bangsa Roman, bangsa Cina, bangsa Hindi, bangsa Indian ((Amerika)) dan lain-lain, masing-masing mereka itu ada belaka meninggalkan bekasnya dalam perkara-perkara yang tersebut di atas itu; iaitu bekas-bekas pekerjaannya dan perusahaannya yang menghairankan hati orang-orang zaman ini. Maka di antara beberapa bangsa yang telah mempunyai kemajuan di zaman yang telah lalu itu kita ambillah bangsa yang telah meninggalkan bekasnya kepada kaum kita Melayu Indonesia ini, iaitu bangsa Hindu, buat menunjukkan contoh sahaja.

Adalah kemajuan orang-orang Hindi ((atau Hindu)) zaman dahulu kala itu boleh dapat kita saksikan apabila kita fikirkan dan siasat tentang kepercayaan, adat dan bahasa mereka itu yang telah menjangkit kepada kita hingga masa ini pun.

Lain daripada itu boleh kita tengok sekarang beberapa buah rumah atau bangunan agama ((seperti Candi Borobudur dan lainnya)) di Tanah Jawa. Bahasa mereka itu yang telah kita ambil, adat dan kepercayaan mereka itu yang telah kita tiru dan bekas-bekas pertukangan mereka itu yang telah tinggal tertunggup dihadapan mata kita sekarang ini, boleh menolong akan kita kepada berfikir bagaimanakah besarnya dan tingginya darjat kemajuan mereka itu dari zaman yang telah jauh tinggal di belakang?

Daripada sekiannya itu bolehlah pula kita berfikir bagaimanakah besarnya dan tingginya kemajuan bangsa seperti kaum Cina yang telah meninggalkan bekas-bekas seperti Tembok Besar ((The Great Wall of China)), tembok yang mana hingga zaman ini menjadi satu daripada tujuh atau delapan perkara yang hairankan oleh dunia. Bagaimanakah besarnya bangsa Mesir purbakala yang telah meninggalkan binaan-binaan batu seperti Pyramid; bangsa Greek yang telah meninggalkan bekas-bekas ajarannya, dan bangsa Roman yang telah meninggalkan bahasanya serta tulisan dan bekas-bekas pertukangan bangsa-bangsa Eropah sekarang ini.

Kemudian jika kita tilik pula akan hal-hal kemajuan bangsa-bangsa yang telah maju sekarang ini seperti bangsa-bangsa Eropah, Amerika dan Jepun, maka tiadalah akan terlintas pada fikiran kita bahwa bekas-bekas kemajuan mereka itu sekarang ini seperti bangunan-bangunan, adat-adat, bahasa dan perkakas-perkakas perusahaannya dan lainnya itu akan tinggal pula sebagai tanda kemajuannya hingga beberapa ribu tahun yang akan datang. Meskipun setengah daripada perkakas-perkakasnya itu barangkali akan didapati oleh orang-orang yang kemudian telah terbenam di dalam tanah, atau terdampar di dasar laut, ataupun terhimpun di dalam muzium.

Dari semenjak beberapa ratus tahun yang telah lalu bangsa-bangsa yang tengah maju sekarang ini telah membangunkan beberapa buah gereja, istana, kota-kota, pekan-pekan mereka itu, dan pada masa ini hingga beberapa ratus tahun yang akan datang, mereka itu akan berkepanjangan jua menambah dan membuat perkara-perkara yang akan tinggal menjadi bekas atau tapak tukal zaman mereka itu. Terusan Suez dan Panama yang telah dipotong dan digali oleh mereka itu, kota-kota dan kapal perang yang telah dibuat oleh mereka itu dan lainnya ... akan tinggal buat menghairankan orang-orang di zaman yang belakang.

Adapun bekas-bekas kemajuan mereka itu bukannya sahaja akan ditinggalkannya di dalam negerinya tetapi juga di mana-mana negeri yang diperintahkannya bertaburan pada seluruh dunia ini, umpama bekas-bekas mereka itu yang akan tinggal di Tanah Melayu ini berapa ribu tahun lagi seperti pejabat-pejabat kerajaan, istana raja-raja kita, kota, kapal perang, jambatan-jambatan, dan lainnya yang mana terbit pelannya daripada otak fikiran mereka itu. Semuanya akan menunjukkan bekas kepandaian dan tinggi kemajuan mereka itu kepada orang-orang yang di belakang.

Kemajuan bangsa yang negerinya beribu-ribu batu jauhnya dari negeri ini dan telah berlayar memerintahkan hampir-hampir sebelah dunia ini, mana lautan yang tidak dilayarinya, mana daratan yang ditempuhnya dan gunung mana yang tidak didakinya. Maka sebagaimana bangunan-bangunan dan bekas pekerjaan mereka itu, begitulah jua akan tinggal dan menjangkit kepada Melayu yang akan datang beberapa adat, bahasa, ilmu, dan kepandaian mereka itu.

Kekuatan rempuhan sesuatu kemajuan dan tamadun yang dibawa oleh bangsa-bangsa yang telah tinggi kemajuannya itu memang tidak dapat ditahan-tahan! Siapakah yang telah dapat menahan adat-adat bahasa dan kepercayaan orang-orang Hindu dahulu itu daripada menjangkit kepada bangsa yang mendiami seluruh Semenanjung dan pulau-pulau Melayu ini? Siapakah yang telah dapat menahan fikiran dan kepercayaan bangsa Arab yang telah maju itu daripada ditiru dan dipakai oleh orang-orang kita hingga pada zaman ini, dan hingga ada beberapa zaman yang akan datang? Dan siapakah pula yang akan dapat menahankan kemajuan, adat, aturan, bahasa dan lainnya yang dipunyai dan dibawa oleh orang-orang Eropah sekarang ini daripada menjangkit kepada bangsa Melayu Semenanjung dan pulau-pulau Melayu? Orang-Orang yang hidup di masa seribu tahun di belakang akan dapat menyaksikan beberapa adat, bahasa, pakaian, cerita-cerita, karangan, dan lainnya yang diajarkan pula orang-orang Eropah dan ditiru oleh bangsa kita ini.

Bangsa-bangsa yang belum maju ((iaitu bangsa yang belum boleh meninggalkan sesuatu bekas atau ajaran kepada bangsa lain di muka bumi ini)) seperti bangsa Melayu Indonesia, bangsa-bangsa hitam di benua Afrika dan bangsa-bangsa orang liar yang bertaburan di seluruh muka bumi ini, akan bertalu-talu menerima dan meniru beberapa jenis perkara baru daripada bangsa-bangsa lain yang telah maju.

Kita menerima dan meniru beberapa perkara daripada orang-orang Hindu, daripada orang-orang Arab, dan sekarang daripada orang-orang Eropah. Penerimaan kita pada tentang agama dan kepercayaan yang berkait-berkait dan memberi bekas kepada adat, fikiran dan perbuatan kita itu belum habis lagi sungguhpun telah lima ratus tahun lebih kurang kita telah berkenal-kenalan dengan ajaran kitab-kitab dan fikiran mereka itu. Tiruan dan penerimaan kita itu jika diperhatikan daripada tarikh segala bangsa yang telah lalu di dalam dunia ini memang tidak boleh cukup dan habis, dan mana-mana yang dapat kita ambil dan tiru itu pula mengambil masa yang sangat panjang sebelum ia menjadi sebati dengan darah daging kita.

Dari semenjak seribu tahunlah yang telah lalu, kita telah menerima dan meniru juga beberapa jenis kemajuan iaitu dari sana sedikit, dan dari sini sedikit, dan sedikit-sedikit penerimaan kita dari orang-orang India, Cina, Arab, orang-orang Eropah dan lainnya itu akan dicampurkan pula menjadi hak kita yang sebati dalam masa yang lanjut dan lama, maka bangsa-bangsa yang tidak mahu meniru sedikit pun dari dahulu hingga sekarang boleh kita dapati seperti Sakai, Semang dan lain-lain orang liar. Sekalian mereka itu tidak mahu menerima dan berdamping dengan bangsa-bangsa yang telah maju; maka akan tinggallah mereka itu dengan keadaan begitu-begitu jua, atau pun akan pupus dan hilang mereka itu sama sekali dari muka bumi ini.

Berapa banyakkah lagi kemajuan dan pengetahuan yang akan kita ambil dan tiru daripada bangsa-bangsa lain sebelum kita sampai kepada darjat yang boleh menjadi tiruan dan contoh tauladan pula kepada bangsa-bangsa yang kurang maju?

Belumlah kita dapat ketahui, tetapi satu perkara yang tetap sekali ialah sekalian itu akan mengambil masa yang lanjut dan lama. Berapakah lamanya itu bergantung di atas bagaimana derasnya kita menyalin kemajuan mereka itu. Dalam hal yang demikian tidak jua kita lupakan undang-undang kejadian Tuhan. Bahwa hutan kepenuduk yang kecil yang biasanya mengambil masa beribu tahun buat menyampaikan darjat hutan rimba itu wajib pula bergantung kepada beberapa perkara yang lain seperti keadaan tanah, hawa, panas dan hujan, maka yang wajib bagi kita sekarang ialah membaja, menyiram dan menggemburkan tanam-tanaman yang lambat besarnya oleh sebab kurang usaha kita!

Kemajuan kita di dalam masa sepuluh dua puluh tahun yang lalu tersangat deras rasanya, tetapi sebaliknya jika difikirkan adalah bangsa yang lima puluh tahun dahulu hanya tahu membuat bangsal atau pondok tiang buluh yang berentangkan daun, tidakkah dapat dengan serta-merta hendak dijadikan pembina bangunan-bangunan yang besar seperti Piramid di negeri Mesir atau seperti tembok batu yang panjang beribu-ribu batu di negeri Cina, ataupun Taj Mahal di negeri India, dan tidakkah dapat hendak dijadikan dengan serta merta seperti kaum yang boleh membangunkan bandar-bandar yang besar seperti Paris dan London atau New York; ataupun pembikin kota kapal perang ((Naval Base)) seperti di Singapura itu; barangkali boleh dijadikan oleh mereka itu kuli pengangkat batunya atau pengangkat tanahnya. Samalah seperti bagaimana boleh kita jadikan Sakai-Sakai itu kuli pengangkat barang-barang makanan pergi ke Cameron Highland.

Tetapi ketinggian otak fikiran yang menyediakan pelan dan mengaturkan pekerjaan seperti jalan tembok di Selat Johor, atau mengadakan tempat-tempat peranginan seperti di Brastagi ataupun lainnya yang aman terpaksa lebih dahulu mempunyai kemajuan bangsa yang tinggi itu tidak akan dapat disalinkan ke dalam tempurung kepala bangsa yang baru seratus tahun tahu hanya membuat tali air ataupun parit yang kecil ataupun perigi tanah yang cantik; dan yang baru seratus tahun dahulu hanya tahu membuat rumah kayu beratapkan rimba dan seumpamanya.

Tetapi jikalau kita belum boleh menyediakan pelan dan membuat sesuatu perkara yang besar seperti yang tersebut di atas itu, maka menjadi kuli pengangkat batu atau menjadi orang yang bekerja memasukkan besi dan pakunya sahaja pun jadilah dahulu. Bahkan had itupun sudah boleh dikatakan suatu darjat yang lebih tinggi sedikit daripada kehidupan kita sekarang ini adanya.

Anak Negeri.