Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Apr 1931, p.63-64

General Article.

Melayu Semenanjung dengan Dunia Surat-Surat.

Surat-surat, kitab-kitab, akhbar-akhbar dan majalah-majalah termasuklah di dalamnya ilmu tulis menulis dan membaca, memang tidak boleh bercerai lagi dengan tiap-tiap manusia yang berkehendakan kemajuan pada zaman ini. Bandingkanlah bangsa-bangsa dunia yang maju sekarang dengan bangsa-bangsa orang liar yang tidak tahu-menahu menulis dan membaca selama hidupnya. Dapatlah kita mengetahui bezaan di antara kedua pihaknya.

Kewajipan ilmu tulis menulis dan membaca pada zaman ini telah menjadi sama kuatnya dengan kewajipan makanan, pakaian, dan bercukup-cukup. Kekurangan dalam salah satu perkara ini samalah seperti suatu kekurangan wang menjadikan lemah dan tempang perjalanan hidup itu.

Seseorang yang kekurangan makanan itu boleh kurus, sakit dan mati; kekurangan anggota itu boleh menampakkan seseorang kudung dan capik. Kekurangan kitab-kitab, surat-surat dan pengetahuan baca-membaca itu samalah seperti kekurangan akal yang boleh menjadikan tumpul, madal dan bodoh sebarang perbuatan di dalam hidup kita.

Dengan tidak payah saya bercakap lebih jauh, biarlah saya teruskan perkataan saya yang bermaksud menunjukkan kekurangan kitab-kitab ilmu dan bahasa kita dan kekurangan gemar orang-orang Melayu kita pada tentang membaca kitab-kitab dan majalah-majalah yang ada di dalam bahasanya. Berapa keratkah orang-orang Melayu kita yang gemar akan buku-buku dan kitab-kitab yang suka berbelanja membeli dan menyimpan kitab-kitab di dalam rumahnya serta membaca akan dia?

Berapa ramaikah daripada bangsa kita yang ada menyimpan khutub khanah atau almari buku-buku dan kitab-kitab di rumahnya sendiri? Baik yang tahu Arab atau Inggeris atau Melayu sahaja? Di antara bilangan yang tahu Inggeris yang beribu-ribu itu berapa banyakkah yang suka berdamping dengan kitab-kitab dan menyelam atau meminum akan ilmu-ilmu yang di dalam yang telah dirasanya sedikit titiknya itu? Di antara guru-guru Melayu yang telah pandai dalam bahasanya sendiri itu berapa orang kah yang gemar berdamping dengan buku-buku bahasanya yang tercap di Semenanjung dan Indonesia lain daripada membaca dengan sekali dua guling akan suratkhabar-suratkhabar yang dibelikan oleh

kerajaan bagi sekolahnya?

Perkataan saya di atas itu bukannya bermaksud mengatakan bangsa kita telah undur dalam kemajuan dunia surat-suratan. Bahkan anak-anak Melayu sekarang ada bertambah-tambah gemar dan suka akan kitab-kitab dan suratkhabar-suratkhabar dengan lekas dan

pintas.

Hal keadaan sepuluh tahun dahulu ada berlainan sekali dengan hal keadaan sekarang dan hal keadaan sekarang akan berbeza benar dengan hal keadaan dalam tahun 1940 atau tahun 1950. sungguhpun demikian, lekas majunya tetapi kita sekarang masih jauh tertinggal dalam dunia surat-suratan di belakang bangsa-bangsa yang telah maju.

Sungguhpun sekarang anak-anak Melayu pangkat yang muda-muda ada membanting tulang dan memerah otak mengeluarkan buku-buku dan kitab-kitab mengeluarkan suratkhabar-suratkhabar dan memenuhi suratkhabar-suratkhabar

itu dengan salinan-salinan dan terjemah-terjemah

dari ilmu surat-suratan Arab dan Inggeris yang luas itu, tetapi kita patut sangat-sangat sedar yang kita masih jauh terkuit-kuit di belakang.

Orang Melayu yang ramai itu masih belum berupa sangat menoleh memperdulikan pekerjaan mereka meskipun ada setengahnya telah berpaling memandang-mandang dan meninjau-ninjau dari jauh. Kita patut sedar akan hal ini dan kesedaran itu akan menggegar* dan mengunjung semangat kita supaya bangkit dan bertambah kuat kemajuan kita pada menuntut kemajuan di alam surat-suratan bagi faedah bangsa kita. Apakah dia kekurangan kita?

1. Rumah-Rumah Melayu belum banyak mempunyai kitab dan buku-buku menunjukkan banyak Melayu yang masih tiada gemar membaca melainkan masanya habis kosong sahaja.

2. Orang Melayu-Melayu kita belum ada mempunyai persekutuan perjumpaan kitab-kitab ((khutub khanah)) baik di dalam pekan atau di kampung-kampung yang besar, di mana anak-anak Melayu itu ramai diam berkedudukan. Belum ada pakatan mereka itu tentang mencari jalan menambahkan pengetahuannya dengan kitab-kitab dan buku-buku. Padahal, jangkanya jikalau tiada terdaya atau tidak kuasa hendak membeli buku-buku sendiri eloklah bermuafakat sama sendiri mengadakan tempat membaca kitab-kitab dan suratkhabar-suratkhabar. Di kelab-kelab

Melayu, masih belum ada kemahuan pada tentang membanyakkan

buku-buku ini nampaknya.

3. Perhimpunan kitab-kitab yang baru dicuba di sekolah-sekolah Melayu itu belum maju nampaknya. Buku-bukunya yang ada itu hanyalah buku-buku yang dibelikan oleh kerajaan dan itupun jarang-jarang berbaca nampaknya oleh murid-murid dan guru-guru.

4. Madrasah-madrasah dan surau-surau tempat orang-orang Melayu selalu berhimpun dan belajar agama itu tiada mempunyai perhimpunan kitab-kitab bacaan, baik dalam bahasa Melayu ataupun Arab, iaitu kitab-kitab bacaan yang boleh menolong menajamkan akal fikiran mereka tentang mengetahui aturan jalan bahasanya. Sekurang-Surang kamus, tawarikh-tawarikh Islam, kitab-kitab Hadith, Tafsir-Tafsir Quran dan kitab-kitab agama yang dikarangkan oleh orang Melayu-Melayu zaman ini patut dibeli dan disimpan buat bacaan sesiapa yang gemar di situ. Bukannya dengan berpada mengendung seseorang sebuah kitab sahaja yang tiada pernah dibaca dan disemak bila telah terpaling muka guru-guru.

5. Guru-Guru Melayu sendiri ((baik guru agama atau guru sekolah pagi)) belum ramai yang tahu "sumbangkan" buku-bukunya atau kitab-kitabnya. Mereka belum tahu malu jikalau didapati orang di rumahnya tiada mempunyai lebih daripada dua tiga buah kitab buku yang terselit-selit di atas kepala tiang.

6. Bilangan Orang Melayu-Melayu yang ada kemahuan dan suka menterjemahkan kitab-kitab dari bahasa Arab atau Inggeris ke Bahasa Melayu atau dari suratkhabar-suratkhabar Inggeris kepada

suratkhabar-suratkhabar dan majalah Melayu sedang beransur-ansur banyak tetapi mana yang

ingin menterjemahkan boleh jadi tumpul pula hatinya kerana tiada laku buku-bukunya atau tiada ramai orang-orang yang akan membacanya sebab belum ramai orang yang gemar dalam perkara membaca-baca.

Sekaliannya itu tentu akan berubah jikalau sebenarnya Melayu akan maju -- barangkali lambat dan barangkali dengan lekas apabila perubahan itu telah berlaku kelak barulah pada masa itu orang-orang kita Melayu bertambah-tambah mahir ((Cultured)) dalam serba cawangan ilmu pengetahuan dan fikiran dan apabila telah bertambah baik pengetahuan dan fikiran barulah boleh semangatnya itu memberi bekas keluar baik pada tentang usahanya maupun pada tentang perbuatanannya dan kelakuannya.

Maka pada masa itu latihan-latihan yang boleh dapat diterima oleh anak-anak kecil Melayu di rumah pun barulah dapat mencari lebih baik daripada sekarang.

Sekarang ini kebanyakan anak-anak Melayu yang tiada maju pelajarannya di sekolah-sekolah Inggeris atau lain itu ialah oleh sebab kosong rumah tangganya dan kosong orang-orang yang lebih tua ada di kelilingnya daripada pengetahuan-pengetahuan dan fikiran yang menghaluskan perjalanan hidup bangsanya.

Beberapa kali Orang Melayu-Melayu kita dari pun wakil-wakil Melayu dalam majlis mesyuarat negeri hingga kepada ibu bapa yang bodoh pun telah menyalahkan sekolah-sekolah dan kerajaan sebab tiada maju pelajaran anak-anaknya.

Tetapi beberapa kali pula telah dipintakkan ke telinga Melayu oleh ketua-ketua pejabat pelajaran bahwasanya kesalahan-kesalahan itu terbit daripada ibu bapa dan Orang Melayu-Melayu sendiri iaitu sebab daripada kurang asuhan kurang latihan dan kurang percontohan yang baik pada masa kanak-kanak itu di luar sekolahnya.

Dalam sekolah pelajaran-pelajaran yang diajarkan kepada Cina, Benggali, Keling, Nasrani dan Melayu itu serupa sahaja dan itulah jua tetapi mengapa Melayu boleh lembap dan mengapa anak-anak Melayu itu lekas sahaja menjadi madal [?] dan jemu hatinya hendak belajar. Pada hal anak-anak bangsa asing itu tekun dan bersungguh-sungguh sehingga sampai dapat hajat dan maksudnya?

Udara kehalusan perangai hidup di antara orang-orang Melayu itu belum sampai seperti darjah udara kehalusan hidup orang-orang Cina atau Orang Putih. Hawa kegemaran orang-orang Melayu akan kitab-kitab dan ilmu atau majalah dan suratkhabar-suratkhabar belum sampai begitu

tebal seperti yang ada pada bangsa-bangsa asing.

Anak-anak Melayu itu tiada mendapat contoh di rumahnya dalam perkara ketekunan ibu bapanya membuat sesuatu pekerjaan, dan kekurangan tekun itu disebabkan oleh hatinya yang mudah berubah-ubah seperti hati kanak-kanak. Iaitu hati dan fikiran yang belum banyak mendapat asuhan atau didikannya dan kemahiran daripada beberapa jenis perusahaan yang mana boleh didapati pada zaman ini daripada kitab-kitab dan buku-buku. Jikalau hendak dinantikan kemajuan fikiran sesuatu bangsa itu bertambah dan menjalar dengan sendirinya seperti orang-orang di zaman belum tahu menulis dan membaca dahulu.

Maka tentulah perkara yang boleh dibuat sekarang di dalam 50 tahun tidak boleh diperoleh dalam masa 500 tahun.

Bahwa sebenar-benar Universiti zaman ini ialah perhimpunan kitab-kitab, kata Carlyle, seorang pengarang Inggeris yang terbilang. Perkataan itu belum ada siapa pun yang berani menyangkalnya.

Maka selagi orang Melayu kita belum mau berdamping dengan ilmu dan pengetahuan ((terutama)) buku-buku dan kitab-kitab)) dan selagi orang-orang kita Melayu memandang ilmu yang sangat dikuatkan oleh Nabi kita menuntutnya itu dengan pandangan "bina tak bina". Maka selama itulah pula orang-orang Melayu kita akan tinggal dalam kehidupan yang hidup segan mati tak mahu, iaitu layu seperti rumput yang latam-latam orang di tepi jalan.

Satu daripada jalan yang telah dicuba oleh pejabat-pejabat pelajaran sekarang ini buat memajukan dan menanamkan perasaan gemar akan surat-surat dan kitab-kitab itu ke dalam hati Melayu ialah peraturan mengadakan perhimpunan kitab-kitab ((khutub khanah)) di sekolah-sekolah Melayu bagi melatih anak-anak Melayu laki-laki dan perempuan yang berpuluh ribu bilangannya itu supaya mereka suka membaca cerita-cerita dan buku-buku yang berguna.

Tetapi suratkhabar perhimpunan kitab-kitab di sekolah Melayu itu cuma berharapkan wang bantuan dari kerajaan sahaja iaitu dengan mengumpulkan buku-buku cerita terjemahan dari Kolej Sultan Idris Tanjung Malim yang empat lima bulan terbit sebuah itu.

Ibu bapa Melayu yang tiada mengerti akan tujuan perhimpunan kitab-kitab itu apabila di pinta buruan atau bantuan melalui anaknya sebanyak lima sen atau sepuluh sen sebulan biasanya mereka itu bengis dan marah. Sungguhpun beberapa kali diingatkan kepada mereka itu yang anak-anaknya mendapat pelajaran, buku-buku guru-guru dan lain-lain itu dengan percuma ((iaitu dengan tanggungan dan daya upaya kerajaan semata-mata)) dan oleh sebab itu patutlah pula mereka menolong atas kadar yang boleh memajukan lagi tujuann-tujuan sekolah Melayu itu.

Tetapi payahlah nampaknya mereka itu mengerti! Kesusahan hendak membalikkan hatinya dan perasaan itu lebih kurang sama payahnya dengan kesusahan hendak membalikkan seorang Keling daripada agama Hindu kepada agama Islam!

Jikalau semuanya ibu bapa Melayu itu mengerti dan mau menolong menambahkan kitab-kitab bacaan dalam khutub khanah di sekolah-sekolah Melayu itu, tak usahlah dahulu mereka membuat khutub khanah sendiri -- kita percaya bahwa di dalam sepuluh dua puluh tahun lagi akan beratus ribu bilangan anak-anak Melayu yang akan gemar kepada kitab-kitab buku-buku dan suratkhabar-suratkhabar.

Kita tidak putus harap kepada Encik Guru-Guru Melayu sekalian supaya jangan jemu daripada mencuba mencuba mencuba lagi menjalankan usahanya dengan baik sabar dan perlahan-perlahan. Biar lambat -- undur jangan!

Anak Negeri.