Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Aug 1931, p.157

General Article.

Kenyataan Jawatankuasa Memajukan Tanaman Padi di Semenanjung.

Suatu kenyataan yang panjang yang telah di"sain" oleh Tuan P.H. Timpani [?] ((Pengerusi)), Yang Berhormat Tuan Andrew Caldecott C.M.G., Yang Berhormat Datuk Abdullah I.S.O. ((Undang Rembau)), Tuan C.N. Maxwell, Yang Berhormat Tuan Heinz [?] ((Penasihat Kelantan)), Yang Berhormat Mr. Tan Cheng Lock, dan Tengku Mansur ((Kedah)) telah dizahirkan kepada pengetahuan ramai pada hari kemudian daripada Mesyuarat-Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu yang bersekutu pada 13 hari bulan Julai yang baharu lalu. Di dalam kenyataan itu telah didapati beberapa orang daripada ahli-ahli jawatankuasa yang tiada bersetuju fikiran berkenaan dengan perkara hendak memajukan dan meluaskan perusahaan bertanam padi di antara orang-orang dagang, terutama Cina dan Indian.

Pati kenyataan itu yang penuh dengan arti sekali ialah katanya,

"Kami memikirkan bahwa dalam sebarang peraturan hendak meluaskan tanaman padi itu kehendak-kehendak orang Melayu dalam negeri-negeri Melayu yang bersekutu iaitu sekarang maupun dalam masa yang akan datang, patutlah ditimbangkan dengan cukup hormat dan hak-hak mereka itu patutlah dijaga dengan cukup dan selamat oleh keputusan-keputusan negeri dalam masing-masing negeri."

Kemudian daripada cadang-cadangan hendak menarik orang-orang dagang seperti dari negeri Cina dan lain buat bertanam padi itu telah dibahaskan, maka kenyataan itu berkata pula,

"Setelah ditimbangkan dengan halus, kami tidak sekali-kali bersetuju mengadakan peraturan hendak menarik-narik orang dagang dari negeri-negeri asing. Tetapi yang demikian itu bukan maknanya yang kami tiada nampak akan faedah dan keuntungan yang didapati oleh perusahaan padi di Tanah Melayu, yang telah disebabkan oleh orang-orang Melayu dagang siap bertambah-tambah datangnya dari bahagian-bahagian gugusan pulau-pulau Melayu, iaitu dengan suka hatinya sendiri. Tambahan pula, sangat mustahak bahwa kawasan tanah padi yang cukup patut disimpan buat dibuka bagi faedah isi negeri semenanjung sekarang ini. Bilangan mereka yang akan bertambah sendiri dan perusahaannya patut akan memajukan hasil padi iaitu lebih baik dari mengadakan suatu ketetapan menarik orang-orang dagang dari luar negeri."

Dua keputusan yang tersebut di atas itu kita dapati 4 orang di antara ahli-ahli jawatankuasa itu berlainan fikirannya. Yang berhormat undang Rembau dengan kuat dan selantas-lantasnya telah berkata "Oleh kerana beberapa sebab, maka sangatlah wajibnya bahwa sekalian tanah-tanah yang difikirkan boleh mengeluarkan hasil padi di dalam negeri-negeri Melayu itu patut dijadikan tanah kawasan Melayu ((Malay Reservations))".

Yang Berhomat Tuan Heinz kemudian daripada menyatakan fikirannya yang panjang telah menyebut juga bahwa tanah-tanah seperti itu patut dijadikan tanah kawasan Melayu. Yang Berhormat Mr. Tan Cheng Lock, "Tidak bersetuju sekali-kali" dengan dua keputusan di atas itu ((apalagi dengan fikiran dua orang yang telah dinyatakan itu)) dan sertakannya pula dengan suatu kenyataan yang panjang lebar mengemukakan fikiran-fikirannya buat memajukan orang-orang Cina dan Indian yang bertanam padi.

Tuan C. N. Maxwell pula berkata berkenaan dengan kenyataan nombor satu dan nombor dua itu, "Ia tidak sekali-kali hendak menahan atau mengurangkan orang-orang Melayu itu datang ke sini. Adapun tawarikh Negeri Sembilan dan Melaka itu menunjukkan orang-orang dari Minangkabau yang telah datang dengan sendiri dan aman. Di dalam Perak, harus 50 percent daripada orang-orang Melayunya ialah orang yang telah datang dari luar ataupun keturunannya. Kemakmuran dan keselamatan orang-orang Melayu di sini akan bertambah kuat dan kekal oleh kedatangan orang-orang dari keturunan kampung yang tegap siap pada tentang negerinya dan bangsanya sama atau sedarah dengan orang-orang Melayu di Semenanjung ini."

Daripada pati kenyataan yang sedikit kita ambil itu nampaklah kepada kita bahwa pada batinnya Yang Berhormat Datuk Abdullah Rembau, Yang Berhormat Tuan Heinz, Penasihat British Kelantan dan Tuan C.N. Maxwell Perak ((saudara kepada Yang Berhormat Sir George Maxwell, bekas Chief Secretary Negeri-Negeri Melayu yang Bersekutu)), ketiga-tiganya bersetuju pada tentang menjaga keselamatan bangsa Melayu Semenanjung, sungguhpun keputusan tentang menimbangkan dan menjaga dengan secukupnya akan keselamatan dan hak-hak Melayu itu akan dipulangkan kepada keputusan-keputusan Mesyuarat masing-masing negeri ((State Council)). Maka oleh sebab ahli-ahli Majlis Mesyuarat masing-masing negeri itu kebanyakan Melayu, maka percayalah kita bahwa hak-hak dan keselamatan Melayu itu akan ditadbirkan dengan secukup-cukupnya dan seluas-seluasnya mengikut sebagaimana fikiran ahli Melayu di dalam jawatankuasa yang tersebut di atas.

Kita tidak sekali-kali terperanjat atau harian mendengarkan yang Yang Berhormat Mr. Tan Cheng Lock "Tidak sekali-kali bersetuju" itu, kerana adalah fikirannya itu sebagai wakil dari orang-orang Cina, sangat berlawanan dengan fikiran orang-orang Melayu, bahkan cenderung pula nampaknya ia hendak memunggah ahli-ahli peladang padi Cina itu supaya datang menunjukkan perusahaannya yang sangat dipuji-pujinya itu ke Tanah Melayu ini.