Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1931, p.127

General Article.

Perhimpunan Ahli-Ahli Pengarang.

((Oleh Anak Negeri.))

Di Tanah Semenanjung sekarang ini telah banyak surat-surat khabar dan majalah dan ramai pula bilangan ahli-ahli pengarang. Baik pengarang buku-buku, maupun pengarang-pengarang yang menghantarkan karangan-karangannya di dalam surat-surat khabar atau majalah. Dalam "Saudara", kita telah menulis sedikit di atas kewajipan anak-anak Melayu yang berniaga itu supaya berhimpun atau bersekutu buat memajukan segala hal yang berkenaan dengan perniagaannya, dan di sini kita cadangkan pula kepada sekalian Tuan-Tuan Pengarang dan penulis-penulis yang budiman di Semenanjung ini supaya sekurang-kurangnya setahun sekali mereka itu mengadakan perhimpunan sama sendiri.

Katalah seperti mengadakan suatu jamuan dan berucap-ucapan serta bertukar-tukar fikiran di antara satu sama lain. Yang demikian itu, sangat besar faedahnya -- bukannya sahaja bagi membaiki perasaan di antara seorang dengan lain, atau di antara suatu akhbar atau majalah dengan yang lain, tetapi jua bagi kemajuan surat-surat khabar, majalah-majalah dan kitab-kitab yang sangat berfaedah bagi umat Melayu.

Meskipun perhimpunan yang seperti itu barangkali dapat dihadiri oleh hanya bilangan sepuluh lima belas orang sahaja dahulu, tetapi tentu sekali perhimpunan itu teramat besar faedahnya dan akan bertambah-tambah ramai dari setahun ke setahun dalam masa yang akan datang.

Pada masa ini oleh sebab tiada perhimpunan yang merapatkan ramah mesra seperti itu maka setengah daripada surat-surat khabar atau penulis-penulis itu tidak lain kerjanya melainkan menghentam dan mengasak saudara-saudaranya yang lain yang tentu sekali tidak mendatangkan kebajikan umum. Akhirnya, terkadang-kadang hingga sampai berbulan-bulan dan bertahun-tahun masing-masing mengisikan kekarutan dan keburukan masing-masing yang disangkakan oleh setengah daripada mereka itu bagi faedah umum, pada hal yang sebenarnya hanya untuk memuaskan nafsunya masing-masing sahaja.

Tiap-Tiap surat khabar atau majalah itu dikeluarkan atau tiap-tiap penulis atau pengarang itu menghantarkan karangannya kepada suatu akhbar atau majalah itu tentulah dengan tujuan yang pertama sekali buat faedah ramai. Maka bukannya tidak boleh jadi perbahasan oleh sebab timbul berlain-lainan fikiran di antara satu dengan lain. Tetapi walau bagaimana pun dijalankan perbahasan, tidaklah patut dilupakan tujuan yang mula-mula dan yang besar sekali iaitu sekalian perbahasan itu biarlah faedahnya terpulang kepada kaum dan orang ramai. Maka sebaik-baik jalan buat menahankan perbahasan itu menjadi perkelahian untuk guna seorang berdua sahaja itu, ialah dengan aturan diadakan perhimpunan sekali setahun buat berkenal-kenalan dan damai, serta merapatkan muhibbah di antara satu dengan lain. Berlain-lainan fikiran itu tentu ada dan mesti akan ada dan sedemikian dipandang seperti suatu kesuburan hidup bangsa Melayu dan bukannya seperti suatu musuh yang patut dibunuh atau dijatuhkan!

Mengarang dan menulis itu memanglah suatu jalan kehidupan ((Profession)) iaitu sama jua seperti beberapa jalan kehidupan yang lain umpamanya menjadi doktor, engineer, berniaga atau lainnya. Tak usahlah kita memandang lebih jauh keluar negeri, di Tanah Melayu ini sahaja pun orang-orang yang ada mempunyai jalan kehidupan serupa seperti doktor atau engineer atau lainnya masing-masing ada belaka mempunyai persekutuan atau perhimpunan setahun sekali.

Selalu kita baca dalam surat-surat khabar Inggeris: wakil-wakil atau ahli-ahli dari kumpulan doktor itu berhimpun berjumpa berjamu-jamuan dan berucap-ucapan di atas hal kejayaannya pekerjaannya atau lainnya. Demikian jua orang-orang yang menjadi engineer, mereka itu berhimpun setahun sekali. Maka dengan perhimpunanannya itu dapatlah mereka itu bercakap-cakap di atas segala bagi yang berkenaaan dengan pekerjaannya masing-masing serta memandang balik ke belakang akan apa-apa pekerjeaan atau bangunan-bangunan dan jalan-jalan raya yang hebat yang telah maju diperbuatnya.

Maka buat ahli-ahli pengarang dan penulis-penulis Melayu patut pula tidak boleh ketinggalan daripada menurut langkah peraturan yang molek dan berguna itu. Untuk sekarang ini kita tidak tahu siapakah yang ada menyimpan rekod dan daftar ingatan di atas segala kemajuan surat-surat khabar atau majalah-majalah di atas bilangan buku-buku cerita atau lain-lainnya yang telah dizahirkan oleh pengarang-pengarang di Semenanjung alam Melayu ini.

Dengan sebab tiada perhimpunan yang boleh menggalakkan hati ahli daripada kita yang memikirkan apakah dia lagi kekurangan atau kesusahan yang terhadap kepada surat-surat khabar dan majalah-majalah atau pengarang-pengarang Melayu itu. Dan jarang daripada kita yang mengambil tahu atau menjaganya; barangkali dengan sebab memasukkan karangan-karangan penulis yang mencaci atau mencela ((bukan memberi fikiran)) sesuatu tujuan surat-surat khabar atau majalah lain itu boleh menjadikan akhirnya timbul perkara-perkara untuk perbahasan yang tiada berfaedah bagi ramai. Pada masa ini tiadalah pengarang-pengarang atau pengurus-pengurus surat-surat khabar atau majalah itu bermuafakat dan bertukar-tukar fikiran pada tentang bagaimana surat-surat khabar Melayu itu boleh jadi lebih berfaedah kepada negeri, kerajaan dan kepada perniagaan.

Kita percaya bahwa banyak benar keelokkannya yang boleh terbit daripada perhimpunan ahli-ahli pengarang. Oleh itu, kita hadapkan fikiran ini kepada Tuan-Tuan pengarang dan penulis-penulis sekalian, mudah-mudahan dalam masa yang tidak lama lagi dapatlah orang-orang yang telah dilorongkan Tuhan kesukaannya tentang karang-mengarang itu berhimpun, berkenal, bertukar-tukar fikiran dan berasa sombong akan pekerjaannya. Dan dengan jalan itu dapatlah anak-anak Melayu yang ramai, lebih-lebih lagi memperoleh faedah dan kemajuan daripada mereka itu.