Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jun 1931, p.103

General Article.

Bahaya Kuning di Tanah Melayu. Berbagai-bagai fikiran dan Pendapatan Orang Asing yang mesti diingat oleh Melayu.

Dalam rencana pengarang akhbar Straits Times bertarikh 3 haribulan March yang lalu ada menyatakan suatu fikiran yang berkepala "Tanah Melayu dalam masa yang akan datang" katanya, Mr. Arnold J. Townby [?], iaitu seorang ahli tarikh dan Professor dalam bahagian tawarikh bangsa-bangsa di University London, dalam sebuah kitab yang baru dikarangkannya bernama "Perjalanan ke Negeri Cina atau hal-hal yang nampak", itu ada berkata demikian, "Adakah benua Asia yang baru diperanakkan semula itu akan membiarkan orang-orang British duduk berkepanjangan atau selama-lamanya di Singapura? ... patutlah diingat bagi faedah British Empire, bahwa nampaknya tidak jauh lagi masanya yang orang-orang Cina itu boleh menjadikan Semenanjung Tanah Melayu itu jajahan yang ke19".

"Fikiran seperti itu bukannya baru", kata Tuan Pengarang ST itu, Mister D. C. Somerville, dalam kitabnya yang bernama "British Empire" itu telah ada jua menunjukkan pemandangannya di atas nasib Tanah Melayu ini yang lebih kurang seperti itu. Sesungguhnya pemandangannya itu, nampaknya lebih jauh masanya lagi daripada pemandangan Mister Townby. Katanya, "Sebenarnya negeri itu bukan dikalahkan dengan peperangan tetapi negeri itu di bawah naungan British, iaitu maknanya orang-orang di Tanah Melayu itu dinaungi daripada orang-orang Cina. Meskipun demikian kita tidak boleh membuat apa-apa yang boleh mengubahkan anak-anak Melayu itu daripada perlahan-perlahan kalah dan undur, dan orang-orang Cina itu semakin bertambah-tambah mara dan jaya dalam segala jenis perusahaan. Orang-Orang Tanah Melayu itu tiada suka bekerja pada hal orang-orang Cina itu tidak pernah letih nampaknya. Orang-Orang Cina di Tanah Melayu itu sekarang bilangannya 2,000,000 iaitu telah lebih daripada Melayu dan orang-orang yang bukan anak Eropah.

Di Singapura dan di pelabuhan-pelabuhan yang lain hampir-hampir semuanya orang-orang Cina dan Indian. Barangkali jua orang-orang Melayu itu sudah genap harinya dan cukup bilangannya ((sampai ajalnya)), tetapi ajalnya itu bukannya datang daripada kita, ialah daripada musuhnya bangsa Timur yang lebih kuat dan rajin. Sebanyak yang telah kita perbuat, kita telah memperbaiki kehidupan mereka itu".

Major Elliot ((Member Parliament)) telah menulis pula kepada surat khabar Times dalam tahun 1929, di antara lain-lain katanya, "Pada masa ini, orang-orang Cina dan British sedang membuka dan memajukan negeri itu ((Tanah Melayu)) bersama-sama kerana ... orang-orang Cina yang datang ke Tanah Melayu itu bukannya semata-mata daripada kaum kuli. Mereka itu daripada yang tingginya hingga kepada bangsa yang rendah dan daripada orang-orang yang bijak, ahli sains dan lain-lain ...."

Tuan Pengarang Straits Times nampaknya tidak bersetuju dengan fikiran-fikiran seperti di atas itu kerana katanya, "Beberapa banyak lagi air yang akan mengalir dari hulu pada serata-rata anak Sungai Kelang yang lembut itu sebelum dunia ini melihat seorang wazir ((Viceroy)) Cina diletakkan di Kuala Lumpur, atau sebelum negeri-negeri sekarang ini dipanggil British Malaya membayar Bunga Emas tiap-tiap tahun kepada Kerajaan yang berkedudukan di Nanking atau di Peking itu!".

Tuan itu tidak percaya yang pangkat dan mutu bangsa Melayu telah sampai kerana katanya kerajaan British dalam negeri-negeri Melayu itu sekarang ada menuju bangun seberapa daya buat menetapkan yang mereka itu ((Melayu)) tidak akan hapus atau jatuh tertiarap dengan tiada melawan. Kemudian katanya pula, "Penulis-Penulis itu menjalankan siasat-siasatnya di pekan-pekan yang besar sahaja di mana orang-orang Melayu itu tidak nampak dengan sebaik-baiknya ... " Kemudian katanya lagi, "Katalah barangkali orang-orang Melayu itu akan alah dan pupus -- sungguhpun kita harap dan yakin yang mereka itu tidak akan jadi demikian -- dan katalah bahagian British dalam perkara memajukan negeri ini akan semakin susut sehingga orang-orang Cina itu lebih pada serba-serbinya dan katalah peraturan politik yang telah memuaskan hati kita itu jahanam oleh orang-orang yang sibuk hendak mengubah pemerintahan dengan peraturan suara ramai iaitu peraturan yang mana tidak layak dan dikehendaki oleh orang-orang ramai.

Akan tetapi British Malaya tidak sekali-kali akan jadi jajahan Cina yang ke19! Kerana jikalau sungguh Cina-Cina peranakan Selat dan anak-anak cucunya pandai benar hingga maju seperti yang diagakkan oleh Mister Townby itu, maka mereka itulah yang akhir sekali suka akan negeri ini diperintah dari Nanking."

Dr. Wu Ching Yeoh ((Dr. Wu Lien-The)) iaitu seorang Cina peranakan Tanah Melayu pada masa dalam perjalannya hendak ke Cina menjadi seorang ahli bagi pihak negeri Cina dalam Persekutuan Bangsa-Bangsa di sana apabila ditanya di dalam suatu majlis perhimpunan dipersekutuan "Ho Yeu Seoh" [?] di Pulau Pinang sedikit hari dahulu, iaitu adakah ia masih seorang rakyat British ataupun rakyat Cina? Maka ia telah menjawab katanya, "Perkara itu berkenaan di atas seorang diri, tetapi biarlah saya jawab yang seseorang boleh diperanakkan dalam jajahan takluk British, tetapi apabila ia balik ke negeri Cina ia menjadi rakyat Cina."

Sir Austin Chamberlain ((yang dahulunya menjadi Menteri Bagi Perkara-Perkara Luar di England)) telah menerangkan: "Sesungguhnya orang-orang Cina yang diperanakkan dalam jajahan takluk British itu rakyat British, tetapi ia boleh mengubah bangsanya apabila ia meninggalkan negeri itu."

Bersetujuanlah perkataan Tuan Yang Amat Berhormat ini dengan perkataan Tuan Granville Robert -- yang dahulunya menjadi pengarang majalah "Review of Malaya" di Singapura -- iaitu katanya, "Orang Cina itu seperti Mister Jekyll dan Hyde, iaitu boleh bersalin-salin kulit, malam lain, siang lain. Di negeri tempat ia diperanakkan ia hendak menjadi rakyat negeri itu serta menuntut segala hak sebagaimana rakyat sejati negeri [tersebut?], tetapi bila ia balik ke negeri Cina, akan menjadilah ia rakyat Cina totok betul-betul!"

Kemudian dipintakkan lagi oleh Tuan itu, dengan katanya, "Jikalau engkau mau berniaga dan senang makmur dalam negeri ini, baik diam-diam dan jikalau mau berpolitik dan menuntut hak, engkau boleh balik ke negeri Cina, iaitu engkau punya Tongsan!".

Melayu.