Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Dec 1932, p.343-345

General Article.

Kemajuan Siapa Yang Patut di Tiru?

Dekat nak jemu kita mendengar leteran setengah daripada tuan-tuan penulis bangsa kita yang telah bertempik dan bersorak menegahkan kaumnya supaya jangan sekali meniru tamadun atau kemajuan cara Barat ?!!! .... kerana katanya akan merosakkan tamadun timur ((yakni tamadun Melayu yang dipunggak-punggakkannya pada masa sekarang ini)).

Tambahan lagi di dalam sepanjang huraian rencananya itu, tidaklah pernah kita berjumpa yang ia ada menghadkan atau menerangkan had mana .... atau tentang mana tamadun dan kemajuan Barat itu tidak boleh ditiru? .... melainkan diborongnya sahaja dengan pukul rata sama sekali tidak boleh ditiru ....! dan ada pula setengah penulis mengata pakaian Barat itupun tidak juga boleh ditiru! .... ((agaknya pakaian Barat itulah yang dikatakannya kemajuan yang tidak boleh ditiru itu gamaknya?!))

Maka manakala kita perhatikan tujuan ((menghalang)) yang seperti ini jika dibiarkkan akhirnya akan menjadi suatu penyakit yang amat besar yang akan menimpa dan merosak serta menjahanamkan fikiran anak-anak bangsa kita yang akan datang. Maka dengan sebab itulah memberanikan kita berkata-kata pada hari ini walau dihadapan siapa-siapa sekalipun, kita mesti kata "Tujuan orang yang menyekat kemajuan bangsanya itu amat salah" samalah ibaratnya "seperti mematikan pokok yang hendak bertunas" atau boleh juga dikata "berspeech membuangkan baja yang hendak menyuburkan bibit tanaman kaum bangsanya".

Betapa tidak ? .... sila baca dan fahamkan sedikit huraian saya yang tersebut di bawah ini: "jikalau kita tidak meniru tamadun atau kemajuan orang Barat sekarang ini, kemajuan siapakah lagi yang patut kita tiru? Kemajuan Arabkah? Kemajuan datuk nenek kita dahulukah? Kemajuan Melayu yang ada sekarang inikah? Kemajuan yang ditunjukkan oleh pak-pak lebai kita masa inikah? Atau pun patutkah kita duduk berdiam diri sahaja menengok nasib menantikan Hari Kiamat? .... Kalau sudah sekata semua sekali kaum bangsaku seperti yang demikian itu hatinya, apa boleh buat? .... duduk diam-diam sahajalah lagi .... janganlah mengeluh dan mengata susah juga pada sepanjang hari ...!!!"

Tidakkah tersangat pelik kita memikirkan sepatah kata yang dilafazkan oleh tuan penulis yang petah itu ((katanya jangan meniru tamadun orang!)) pada hal jika kita siasat kepada diri mereka yang berkata itu sendiri nescaya dengan senang kita boleh dapati yang mereka itupun seorang ahli yang kuat meniru cara Barat juga. Betapa tidak ... cuba lihat:

1. Tidakkah ada ia memakai dan menggunakan kain dan baju potongan Eropah ((cara Barat!))

2. Tidakkah ia memakai dan menggunakan kereta dan lain-lain perbuatan ((yang tidak pernah dijumpai oleh datuk nenek kita dahulu yang dibuat oleh orang Barat?))

3. Tidak adakah ia merokok atau meminum susu, atau memakai jam .... dan lain-lainnya yang diperbuat oleh orang Barat?

4. Atau pun katalah ‘Style’ mengayakannya sekarang ini menteladani daripada gaya siapa? ... ((cuba renungkan dengan renungan yang dalam sedikit!))

Memadailah kita terangkan dengan sedikit dalil yang di atas itu buat penunjuk akan peri serba bencana orang yang menegahkan bangsanya meniru itu. Kerana sudah memang diketahui tiap-tiap orang yang ada barang sepalit akalnya yang sempurna nescaya taulah mereka itu di atas hal keadaan kita sekarang ini. Jika tidak hidup dengan meniru, nescaya haruslah kita boleh dikatakan bukannya daripada bangsa yang berkemanusiaan lagi. Atau pun boleh juga dikatakan kita akan berbalik semula hidup seperti bagaimana rupa adat sahabat-sahabat kita yang masih ada di dalam hutan-hutan Semenanjung Tanah Melayu sekarang ini.

Oleh itu, patut sangatlah kita tidak boleh melupakan jasa orang Barat .... dan lagi janganlah ditegahkan juga kaum bangsa kita ini daripada meniru walau sebarang apa kemajuan sekalipun yang boleh jadi guna kepadanya. Bahkan kalau mereka mau meniru berkemajuan tamadun barat, utara, selatan sekalipun tirulah!

Kerana tiap-tiap bangsa di dalam dunia ini tidak boleh maju jika tidak meniru kemajuan bangsa-bangsa yang lebih maju daripadanya.

Ingatlah sepatah kata yang dikatakan "Kemajuan itu ertinya: mengandungi segala sesuatunya yang boleh memberi-guna" dan "Faedah kepada manusia" .... ". Tetapi bukanlah ertinya kemajuan itu meniru segala kejahatan .... kelakuan yang celaka ... perangai yang tidak baik .... pakaian yang mengaibkan bangsa .... dan lain-lain perkara yang akan menjahanamkan manusia" ((jikalau begitu bukanlah kemajuan namanya ... iaitulah yang dinamakan sebenar-benar celaka dan kemunduran yang akan merosakkan nama dan bangsa manusia yang memperbuat akan dia)).

Adapun setengah daripada yang dikatakan kemajuan itu ialah mengandungi:

Maju perniagaan :

Maju pertukangan :

Maju pelajaran :

Maju pengetahuan :

Maju perusahaan :

Maju pencarian :

Maju keselamatan negeri :

Maju, maju! Dengan perbuatan tangan sendiri sekalipun ahli-ahli tarikh dan ulama-ulama agama kita tempik mengatakan kemajuan Barat yang ada sekarang ini berasal ((atau ditauladani)) kemajuan Islam pada zaman purbakala .... akan tetapi bagi pihak kita sekarang ini tidak guna bermegah-megah dengan sebutan yang seperti itu juga lagi.

Kerana kita sudah hanyut dekat beribu tahun lamanya ke belakang daripada kemajuan yang tersebut itu.

Hanya yang patut kita lakukan pada masa ini .... kita mesti hidup dengan meniru serta menauladani segala kemajuan orang yang maju di dalam alam ini. Dan kita mesti bekerja dengan bersungguh-sungguh hati ... walau sebarang apa pekerjaan dan kemajuan yang boleh memberi guna kepada kita, dan boleh pula ia menimbulkan nama, kekayaan, kerehatan dan kesentosaan kepada sekalian kaum bangsa kita.

Janganlah memilih kemajuan bangsa sendiri juga lagi! ... melainkan asal ada kemajuan itu boleh memberi guna kepada bangsa kita ... tirulah akan dia! Walau kemajuan itu terbitnya daripada pihak kutub utara atau kutub selatan sekalipun ... "Tirulah!" ... jangan takut!