Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Dec 1932, p.372-374

Feature Article.

Perhatian Zaman Ini.

Adapun zaman ini bolehlah dikatakan zaman berperhatian akan bangsa dan tanah airnya. Lihatlah di dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah, penuhlah dengan isi-isi yang berperhatian dengan berbagai-bagai rupa dan gaya, kesemuanya itu mengandungi pati kemajuan bangsanya. Tetapi di dalam sementara itu, tidak pula kosong daripada isi-isi yang kurang penting, al-maklumlah, seperti kata orang tua-tua, kalau banyak udang, banyak garamnya. Banyak orang, tentulah pula banyak ragamnya. Di dalam pada itu, hendaklah kita perhatikan benar-benar supaya kita termasuk di dalam kumpulan orang-orang yang sempurna akal, mudah-mudahan berjasa kita kepada negeri dan bangsa sendiri, barangkali jua bangsa-bangsa lain memerhati. Menyesalnya zaman ini orang-orang lebih gemar membaca karangan-karangan yang penting-penting dan besar faedahnya ialah dalam secara negeri dan menahankan rebutan bangsa-bangsa dagang dan bagaimana secara menahannya hendaklah kita mengetahui pula halnya. Adakah boleh ditawar atau dijampi kepada sirih pinang atau berkaul kepada tok-tok keramat, atau memanggil pawang-pawang Melayu di ulu-ulu sungai? Sebab itulah dikehendaki kita mengetahui perhatian zaman ini.

Adapun setengah daripada setengahnya kaum kita zaman ini masih leka dengan fikiran dan perhatian secara kuno lagi. Mereka itu belum sedar yang kedudukan kita masa ini dihimpit dan ditolongkan oleh bangsa-bangsa kaum Malayan itu, ianya masih tertawa jua sesama sendiri dengan tidak mengirakan hari di belakang, dan tak mahu membalas budi serta membuat jasa kepada negeri dan kerajaannya yang telah memberi pelajaran pada anak-anak kaumnya sendiri yang mana diharapkan boleh membantu buat mendirikan hak kaum bangsanya dan tanah airnya. Kebanyakan jika ada satu dua anak-anak kaumnya yang agak celik sedikit dicarinya berbagai-bagai ancaman boleh merosakkan pergaulan mereka waktu mana sementara itulah kaum Malayan dapat berkumpul dan bermesyuarat sesama sendirinya buat merebut segala hak-haknya.

Suatu perhatian lagi yang kerap kali kita dapati masa ini, jika ada seorang bersuara di dalam surat-surat khabar dan majalah lebih kurang sedikit isinya iaitu mengikut keputusan hati buat menunjukkan jalan yang memberi faedah kepada bangsa, ghalibnya suara-suara yang semacam ini ada sahajalah yang mengintai-intainya supaya dapat ia lubang menghentamnya dan dengan jalan ini penulis itu pun terhenti serta takut hendak mengeluarkan karang-karangannya ke dalam surat-surat khabar dan majalah lagi walau biarpun tinggi hemah serta perasaan yang berguna ilmu, terpaksalah diperam sahaja dengan mengkal.

Rasmi yang semacam itulah patut dikakap dan diperiksa oleh tabib-tabib supaya dapat diubat dengan segera, mudah-mudahan dengan ubat itulah kelak kuman-kuman ini tidak akan kembang biak lagi. Diharapkan jua hapus sama sekali. Bahwa sekarang pengarang-pengarang surat-surat khabar dan majalah lebih berarti mengutibnya kerana dialah yang cukup ketahui akan perhatian kaumnya oleh sebab mereka tempat mengetahui segala rahsia bangsanya. Lihat sahajalah rencana-rencana yang dihantar oleh penulis-penulis; setiap hari itu tidak sedikit isinya membawa pertengkaran dan perbalahan sesama sendiri. Tetapi setengah-setengah pengarang yang bijak itu mana-mana yang tak layak pada fikirannya tidaklah dimasukkan melainkan dinotisnya sahaja mengatakan karangan-karangan si-anu tak layak dimasukkan, diberi sedikit sebabnya. Maka jadilah perhatian itu hanya di antara pengarang dengan penulis itu sahaja yang boleh menjadi pertengkaran. Maka dengan senang dapat diselesaikan, tidaklah berpanjang lebar. Maka apakala penulis itu hendak mengarang lagi dicarilah isi-isi yang berguna dan penting-penting supaya dapat dizahirkan oleh tuan pengarang surat khabar atau majalah itu. Dalam mana kita boleh memerhatikan isi surat-surat khabar kaum kita lebih-lebih baik dari sehari ke sehari, sementara itulah pembaca-pembaca semakin menarik hati kepada gemar membaca. Tentu pengarangnya tak sanggup hendak dijadikan medan perbahasan hawa nafsu dan menunjukkan ketajaman kalam masing-masing. Diharapkan isi-isi surat khabar dan majalah-majalah Melayu disegan dan dimuliakan oleh bangsa-bangsa asing. Apabila isi-isi surat khabar atau majalah dihormati dan dipandang mulia oleh kaum dagang, tentulah bangsa yang menulis itu disegan atau dihormati pula oleh mereka itu. Kerana isi fikirannya terletak dan dapat dilihat di surat-surat khabar dan majalah-majalahnya.