![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Feb 1932, p.38
General Article.
Majalah Guru dan Isinya.
Majalah Guru ini dikeluarkan sebulan sekali dan pembacanya bukan guru-guru dalam Persekutuan-Persekutuan yang mengeluarkannya sahaja, tetapi baik jua orang lain, di antaranya raja-raja, pegawai-pegawai kerajaan dan orang-orang yang berfikiran tinggi. Sebagai majalah bulanan maka dengan seberapa boleh hendaklah isinya daripada perkara-perkara atau hal-hal yang penting dan berfaedah disajikan kepada pembaca-pembacanya, iaitu rencana-rencana atau buah fikiran yang agak tinggi yang boleh jadi pengetahuan, tauladan, pemandangan, kemajuan, perbandingan dan sebagainya.
Tetapi yang kita terima kiriman daripada Encik-Encik guru yang di dalam Persekutuan-Persekutuan itu ialah karangan-karangan yang berkenaan dengan perkhabaran seperti perlawanan-perlawanan budak-budak sekolah, perlawanan badminton guru-guru, pasukan pengakap pergi berkhemah, tuan nazir melawat sekolah, guru-guru dengan murid-muridnya pergi masuk hutan mencari rotan, guru-guru dan murid-murid pergi bertemasha ke atas bukit atau ke tepi laut dan lain-lain seumpamanya. Panjangnya karangan-karangan itu menjela-jela dan isinya hanya sedikit sahaja. Jika dimuatkan ke dalam Majalah Guru tiap-tiap satunya itu akan memenuhi satu muka atau lebih -- iapun akan memenatkan kita lagi menghalusinya. Tetapi kalau gambar-gambarnya memang baik buat Majalah Guru, yang mana keterangan gambar itu hendak dengan ringkas. Kerap jua kita menerima perkhabaran yang sepatutnya dimuatkan ke dalam surat-surat khabar harian atau mingguan, umpamanya perkhabaran air bah, rumah terbakar, orang berkelahi, Keling mengamuk, sami tok ki Cina mati, melepaskan ikan dari tebat, harimau kena perangkap dan lain-lain sebagainya.
Perkhabaran yang seperti itu sudah tentu bukan tempatnya dalam Majalah Guru, yang keluar sebulan sekali. Kita mesti menjaga "standard" Majalah Guru, kalau boleh jangan kasi turun! Tetapi dengan sebab tidak kita memuatkan "karangan" yang serupa itu naiklah panas ke otak si pengirimnya. Dalam Majalah Guru sudah tentu dia tidak mendapat tempat buat melepaskan panas karangannya, tetapi ada pula surat-surat khabar yang kekurangan copy -- di situlah tempatnya.
Kita tidak silu memetik atau mengutip isi surat-surat khabar yang mana kita fikirkan ada baik dan berguna buat Majalah Guru, tetapi kita akan merasa kesal dan malu memuatkan "sampah" seumpama karangan-karangan atau perkhabaran yang melecet dan rendah sahaja fikirannya itu. Kita memetik itu dimaksudkan juga supaya siapa-siapa di antara guru-guru yang suka hendak membantu karangan-karangan buat isi Majalah Guru bolehlah lihat contohnya seumpama karangan-karangan yang dipetik itulah yang kita kehendaki.
Kita tidak peduli akan kata nista dari empat lima atau pun sepuluh dua belas orang yang di dalam persekutuan-persekutuan itu, selagi ketua-ketuanya atau yang 99 percent lagi itu masih suka dan baik dengan kita. Kita bukan tidak selalu mengaku -- dan semua orang pun tahu -- yang kita tidak juga pengetahuan dan bukan sebagai pengarang yang selayaknya, tetapi oleh sebab dengan persetujuan ramai meletakkan ke atas bahu kita bebanan yang kita rasa keberatan jua itu, telah kita pikul dengan seberapa daya dan telah kita sempurnakan kewajipan kita. Barang rupanya -- itulah yang setahu kita. Maka tiba-tiba sekarang telah ada rupanya orang yang cekap dan sanggup hendak mengilirkan kita, alangkah sukanya hati kita?
Kita memang suka dikritik kerana dengan sebab kritik itu kita boleh ingat dan sedar. Mana kurang baik, kita boleh baiki segera. Tetapi caranya mengritik itu hendaklah dengan ikhlas, lurus, lembut dan menyatakan fikiran dengan sebenar -- bukan menyimpang-nyimpang.
top |