Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1932, p.20

General Article.

1932 -- IX.

Tahun 1931 telah habis dan tamat -- lenyap tiada akan balik-balik lagi. Beberapa hal yang besar dan penting yang telah jadi dan berlaku di dalamnya akan menjadi kenang-kenangan, peringatan, dan tawarikh pada hari yang kemudian. Hari ini tibalah pula tahun 1932 menggantikannya. Maka kita sekalian pun melangkah pula masuk ke dalam golongannya di mana kita belum tahu apa-apakah hal dan perkaranya yang akan berlaku kelak? Tetapi tentulah tiap-tiap orang berkehendak dan mengharap-harap akan bahagia -- senang aman selamat mujur dan maju ... ((mudah-mudahan))

Majalah Guru pun dengan bilangan ini masuk pula dalam kandungan tahunnya yang ke sembilan, yang mana belum tahu juga betapakah halnya? Kita harap akan bertambah-tambah maju jua kiranya seperti yang sudah-sudah.

Selama tahun yang telah dikeluarkan Majalah Guru ini, selama itulah pula saya telah mengemudikannya. Saya telah bekerja dengan segenap tenaga saya, dan dengan segala daya upaya saya hingga masa saya yang sedikit lepas daripada pekerjaan sekolah itu telah saya gunakan dan saya korbankan buat Majalah Guru ini.

Barang rupanya itulah yang sedapat-dapat oleh saya. Belumlah ada satu kali pun terlambat keluarannya. Dan saya sedang memikirkan jua hendak membuat beberapa peraturan dan perubahan yang lebih baik lagi. Tetapi Encik Guru-Guru yang di dalam Persekutuan-Persekutuan Majalah Guru ini janganlah hendaknya berleter dalam surat-surat khabar tentang apa-apa kekurangan yang didapatinya pada majalahnya ini. Hendaklah diingat: saya bukan orang gaji! Dan saya tidak boleh diperintah oleh sesuatu persekutuan pun. Jika ada apa-apa hal yang tidak menyenangkan, berilah syor dan nasihat dalam surat yang bertutup.

Saya sedia bila-bila sahaja bahkan dengan segala senang hati saya hendak menyerahkan jawatan pengurus dan pengarang majalah ini kepada sesiapa jua yang sanggup. Di mana hendak dicapkan? Di Pulau Pinang? Di Melaka? Di Kuala Lumpur? Atau di Kelang? Di Kota Baru? Di Kuala Lipis?

Tetapi selagi saya jua yang mengukurnya, saya mesti ikut apa yang saya fikir patut dan saya boleh buat apa yang rasa baik.