Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1932, p.226

General Article.

Kemajuan Kebun Sayur di Kampung.

Dalam keluaran kita bulan itu, dapat kita menzahirkan suatu gambar kebun sayur di rumah dipunyai oleh Ahmad bin Abdul Hamid, Jeram Pantai, yang telah mendapat nombor satu dalam pertandingan kebun-kebun sayur di rumah dalam jajahan Kuala Selangor. Kebun ini telah mendapat hanya lebih semata markah daripada kebun Daud bin Ngah, murid Sekolah Assam Jawa. Dalam pertandingan yang telah dijalankan dan yang telah dihakimkan oleh Yang diHormati Datuk Penggawa Tua Selangor, Raja Shahrom, Pegawai Tanam-Tanaman Kuala Selangor dan Encik Ismail Guru Kumpulan Kuala Selangor. Perkara-Perkara yang tersebut di bawah ini telah ditimbangkan:

1. Pagar : Markah 10 :

2. Cangkulan dan Gemburan : Markah 10 :

3. Peraturan Batas : Markah 10 :

4. Memakai Baja : Markah 10 :

5. Jagaan atas musuh dan penyakit : Markah 10 :

6. Siraman air hari-hari : Markah 10 :

7. Tambahan markah bagi batas-batas yang banyak : Markah 10 :

Jumlah Markah : 70.

Gambar yang kita zahirkan itu bukanlah menunjukkan perkebunan murid-murid di rumah di Selangor itu, lebih maju dari kebun-kebun di rumah di lain negeri, tetapi ialah menunjukkan bahwa kebun-kebun kanak-kanak kampung itu telah menjadi suatu cawangan atau buah yang berfaedah besar yang telah diperoleh daripada latihan kebun-kebun sayur di sekolah.

Kita yakin dan percaya bahwa dengan bersungguh-sungguh dan bertekun, Guru-Guru Melayu sekolah-sekolah Melayu itu melatih dan mengajar anak-anak muridnya yang akan menjadi bapa itu, dapatlah kita sekalian melihat dalam masa yang tidak jauh lagi akan orang-orang kita di kampung-kampung itu menjalankan perusahaan pada tanahnya dengan aturan dan ilmu yang boleh menjadikan mereka itu makmur dan senang kehidupannya.

Kita telah ke Barat beberapa kali dan kita tidak akan segan berkata lagi bahwa jika orang-orang kampung itu tahu menghargakan tanah-tanahnya dengan memenuhi akan dia dengan segala jenis tanam-tanamnya yang berhasil, dari pun pokok-pokok seperti kelapa, buah-buahan tahun, kopi, teh, tembakau, buluh, rumbia, nipah, dan lain, iaitu mengikut padan dan persetujuan tempatnya, hingga kepada sayur-sayuran, maka tidaklah boleh sesiapa pun mengatakan orang-orang kampung itu akan merasa kepicikan dan kesusahan. Kepicikan dan kesusahan itu terbitnya tidak lain melainkan daripada semata-mata bergantung dalam beberapa perkara kepada orang lain.

Dalam pekerjaan melatih dan memajukan kanak-kanak berkebun di rumah ini, kita sangat-sangat memberi terima kasih kepada ibu bapa dan saudara-saudara kanak-kanak itu yang telah bersama menyingsing lengan memugar lalang-lalang dan rumput-rumput dan mendirikan pagar-pagar yang elok dan cantik dipandang, orang-orang Melayu kita dari zaman dahulu memang suatu bangsa yang gemar dan cenderung kepada bertanam-tanam cucuk. Mudah-mudahan dengan semangat yang baru bertiup dari Tanjung Malim, dari Pejabat-Pejabat Pelajaran dan dari sekolah-sekolah Melayu itu, diharapkan orang-orang Melayu kita di kampung akan bergembira betul mendirikan perusahaannya dan maruah bangsanya. Kita berharap akan dapat menzahirkan lagi beberapa gambar kebun kanak-kanak di rumah itu dari lain-lain tempat dan negeri.