![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Jan 1932, p.1
General Article.
Penulis dan Pengarang Melayu.
Penulis-penulis dan penarang Melayu sekarang telah banyak, tetapi sedikit sangat bilangannya yang tahu memenuhi segala maksud yang hendak dikatakannya dengan karangan yang pendek tetapi pada isinya.
Kebanyakannya suka berulang-ulang dan melambung-lambung merayu dengan tidak tentu hulu hilir sehingga maksudnya yang boleh dimuatkan dalam kira-kira seruang daripada akhbar dijela-jelakannya hingga sampai tiga empat ruang.
Setengah pembaca menyangkakan jikalau sesuatu akhbar itu penuh berisi dengan karangan-karangan yang menjela-jela dan kosong itu pada tiap-tiap kali keluarannya maka iaitulah kononnya surat khabar yang maju!
Seperti yang kita katakan di atas, belum ramai orang-orang Melayu kita yang boleh atau suka menulis pendek dan tepat. Jikalau kita memilih dan mengaturkan pengarang-pengarang kita yang ada sekarang yang tahu dan pandai memuatkan secukup-cukup kehendaknya dengan tidak memenatkan pembaca, nescaya kita aturkan seperti di bawah ini :
Itulah sahaja! Yang lain itu bila menulis perkara-perkara seperti politik, atau perusahaan, kelemahan Melayu, maka suka sangat mereka itu menggunakan berapa rangkaian ayat-ayat yang tinggi dan besar bunyinya, tetapi satu apa pun tidak isinya. Dengan berani kita berkata terus terang dengan tiada tujuan menyakitkan hati ((kerana sahabat-sahabat yang akan kita sebutkan ini tersangat hampir dan mesra rasanya kepada kita)) bahwa adalah pengarang-pengarang "Saudara" "Dewasa", "Bulan Melayu" "Lidah Benar", itu daripada kuat yang suka menjual kelapa yang sangat tebal sabutnya, tetapi sangat kecil tempurung dan isinya.
Semenjak Yang Terhormat Datuk Abdullah Rembau telah meminta kerajaan memerhatikan sekalian isi surat-surat khabar Melayu, bukannya sahaja kerajaan, tetapi jua surat-surat khabar Inggeris ada menterjemahkan karangan-karangan dari surat-surat khabar Melayu itu. Apa yang telah didapatinya? Ialah karangan-karangan yang cantik berdebum-debum bunyinya seperti gendang kepada telinga pembaca-pembaca Melayu, kebanyakan itu apabila disalinkan ke bahasa Inggeris, maka didapati maksudnya tidak terang ataupun tidak teratur dengan betul, seperti tulang bumbung dipakukan kepada tiang-tiang dapur diletakkan dihujung serambi dan seumpamanya. Dari situ kerajaan boleh nampak yang orang-orang Melayu itu baru ada mempunyai tunas-tunas fikiran yang terang-terang kabus ataupun baru ada mempunyai cita-cita dan maksud yang terpelanting ke sana ke mari sekeping.
Tentang penulis-penulis kepada akhbar-akhbar itu pulalah lagilah! Tengoklah cerita "Scout Group" atau Perkhemahan Pengakap dari Selangor atau khabar-khabar kampung dari Mersing, Batu Pahat dan lain-lain itu, hampir-hampir semuanya meleret-leret memenuhi ruang yang berharga!
Segala puji-pujian begitulah ditulis dengan pendek oleh Tuan Pengarang "Bulan Melayu" di atas Tuan-Tuan yang telah dijumpainya itu nampaknya speech dipanjang-panjang dan dilebar-lebarkan sehingga barangkali setengah orang-orang yang kena puji itu boleh kembang-kembang tengoknya ataupun bagi si-bajak wangkang boleh lebar lagi sengih mulutnya dan bertambah tinggi lagi lambung lonjaknya.
Tuan Pengarang "Dewasa" memikirkan tidak perlu dihulurkan pekerjaan menjadi askar, tetapi patut didahulukan anak-anak Melayu di dalam jawatan kerajaan! Apa menjadi askar dan pegawai-pegawai itu bukan memegang jawatan kerajaankah? Wang yang bermillion ringgit dibayar kepada soldadu Burma buat gajinya dan tambang pergi baliknya itu tidakkah lebih baik dibelanjakan di atas anak-anak Melayu? Jikalau mau menyeru anak-anak Melayu kepada perusahaan dan perniagaan, seru sahajalah, jangan merepet-repet kepada perkara yang ia tidak mengerti. Kerajaan nanti fikir beginilah rupanya fikiran pengarang Melayu.
Kita tidak hendak memintak pada masa ini sekalian karangan-karangan itu pendek dan kemas, tetapi apabila menulis di atas perkara-perkara seperti askar Melayu atau orang-orang Melayu dengan jawatan kerajaan atau seumpamanya yang tentu sekali diperhati dan diterjemahkan oleh kerajaan hendaklah dikeluarkan segala maksud-maksud itu dengan seterang-terangnya. Jikalau hendak mengarang cerita atau gurindam yang berkehendakan berayat-ayat melayang-layang itu, gasaklah! Hendak menceritakan matahari naik memancar-mancar sampai delapan kajang kertas pun hentamlah!
top |