Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jun 1932, p.103-104

General Article.

Diri Kita.

Pada hari ini Majalah Guru telah berpindah ke Kuala Lumpur, Selangor dengan memakai huruf yang kasar dan rupa yang lebih gemuk. Akan tetapi tidak pula mengaku lebih isinya daripada yang telah biasa. Kita memakai huruf kasar seperti ini barangkali hanya untuk tiga empat kali keluaran sahaja. Sementara huruf baru yang lebih molek dan halus -- tetapi kasar sedikir daripada huruf Majalah Guru dahulu -- akan sampai.

Pada tarikh ini Majalah Guru telah berumur 7 tahun 7 bulan. Iaitu semenjak kulitnya merah lagi, baru-baru diterbitkan pada 1 haribulan November tahun 1924 oleh tiga buah Persekutuan Guru-Guru Melayu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Persekutuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang telah masuk bercampur bersama-sama mempunyai dan mengeluarkan pada 1.8.1925, Persekutuan Guru-Guru Melayu Kelantan pada 1.6.1930, dan Persekutuan Guru-Guru Melayu Pahang pada 1.8.1931. Selama masa yang tersebut itu Majalah Guru telah melihat beberapa majalah dan akhbar yang diterbitkan. Maka di antara-antaranya beberapa pula telah layu, mati dan dikuburkan. Selama itulah juga Majalah Guru telah dididik dan dibela pelihara oleh pengarang kita yang dahulu, Encik Muhammad bin Datuk Muda dengan tidak sekalipun pernah lewat keluarannya ataupun kurang isinya. Kita tunduk memberi hormat dan menerima kasih serta mengucapkan puji kepada Encik pengarang yang tersebut itu dan kita tidak bermuka-muka memuji akandia. Apabila kita berkata dengan terus terang, bahwa dalam dunia ini ada banyak orang yang boleh bercakap atau mencecet sahaja, tetapi tidak begitu ramai yang boleh membuat pekerjaan dengan berhati-hati.

Majalah guru ini dari dahulu hingga sekarang tujuannya bukan hendak berniaga mencari untung tetapi hanyalah untuk menjadi tanda persatuan guru-guru Melayu dalam Semenanjung. Untuk tempat melepas dan mencanai fikiran guru. Untuk tempat guru-guru yang lebih pandai menunjuk dan mengeluarkan fikirannya kepada guru yang kurang pandai dan untuk menjadi bacaan-bacaan yang pendek sebulan sekali yang berfaedah bagi guru-guru murid-muridnya pun sama juga. Majalah ini dijalankan dan dijaga oleh guru-guru sekolah Melayu kerajaan yang sudah tentu penuh masanya dengan kewajipan-kewajipan pekerjaannya yang diletakkan di atasnya. Apa-apa diperbuat oleh guru-guru itu lain daripada menunaikan kewajipan sekolahnya, umpamanya mengadakan persektuaun dan mesyuarat sama sendiri dalam masing-masing negeri atau mengadakan majalah dan lainnya itu hanyalah dijalankan dengan sifat mereka itu manusia yang kasih akan pekerjaannya dan cinta kepada persatuan. Kelebihan dan keelokan mutu bangsa Melayu. Dengan sebab itu kita berkata-kata siang-siang yang kita tidak sekali-kali bersetuju hendak menjadi surat khabar harian atau mingguan atau dua mingguan sekali seperti yang dikeluarkan oleh orang yang bukan guru. Selama-lamanya Majalah Guru akan tinggal jadi Majalah Guru yang keluar sebulan sekali juga, dan dijalankan serta dikeluarkan oleh guru bagi faedah guru.

Bukan pula sebab kita bernama Majalah Guru tiap-tiap karangan guru-guru itu mesti kita terima mengikut sifat kita menjadi pengarang dan ahli jawatankuasa yang mentadbirkan keluaran dan pekerjaan majalah ini, yang telah diberi sepenuh-penuh kuasa oleh sekalian persekutuan-persekutuan guru-guru Melayu melalui wakil-wakilnya. Kita boleh menolak dan di mana-mana tempatnya yang patut, mana-mana karangan yang kita fikir tiada berguna, meskipun si penulisnya menyangkakan keselamatan dunia ini tergantung di atas karangannya itu! Kita sedia menerima dan membaca sekalian karangan-karangan daripada Encik guru-guru dan yang bukan guru. Hak memilih dan menimbangkan sekalian sebelum dihantarkan ke tempat cap semuanya terpulang kepada kita.

Pada akhirnya kita harap sekalian guru-guru Melayu itu di dalam zaman kurun yang kedua puluh ini telah cukup sedar dan tahu akan faedahnya bersekutu dan bersatu. Persekutuan-Persekutuan Guru-Guru Melayu dalam masing-masing negeri dan persekutuan bersama-sama mengeluarkan majalah ini bukannya sekali perkara yang boleh senang didapat atau dibuat seperti kanak-kanak membuat rumah pasir. Perkara dan hak yang telah kita jalankan dan buat sendiri dengan tidak ditolong-tolong orang seperti mengadakan persekutaun dan mengeluarkan majalah ini. Pengirang dan menjadi pemberangsang kepada tiap-tiap hati yang ingin hendak melihat supaya jangan selama-lamanya guru-guru Melayu khasnya dan orang-orang Melayu amnya berkepanjangan seperti kanak-kanak yang di dalam bedung, sentiasa disapukan pada serbi serbinya. Bersama-samalah kita menjaga persekutuan-persekutuan dan segala alamat-alamat persatuan kita. Bersama kita mencari jalan dan ikhtiar bagaimana boleh kita sekalian menambahkan lagi ikatan persekutuan kita supaya dengan berbetulan persatuan itu dapat kita menjadi kumpulan orang yang berfaedah kepada Raja, Kerajaan, Negeri dan Kaum kita.