Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jun 1932, p.108-111

General Article.

Perusahaan dan Kemajuan.

Segala perusahaan di dunia ini banyak, tetapi dihitung besar ialah kaum tani, kaum berniaga, kaum makan gaji dan kaum berusaha berjenis-jenis kemajuan. Sekalian itu ada belaka dengan faedahnya. Tak boleh berhasil tiap-tiap keuntungan pada perusahaan itu lamun tidak dipegang dengan dalil-dalil kemajuan yang boleh menerbitkan buah-buah kefaedahannya. Pendita-Pendita yang pandai telah berkata serta mengeluarkan beberapa rangkap perumpamaan yang bersesuai dengan jalan-jalan yang menyempitkan segala cita-cita perusahaan itu kepada faedahnya:

((a) Mencari wang dengan wang :

((b) Mencari perusahaan dengan usaha :

((c) Mencari kemajuan dengan tenaga :

semuanya kata-kata itu benar belaka. Mari kita ambil pada bahagian yang pertama -- mencari wang dengan wang -- itu. Sekarang misalkan sahajalah wang itu getah, manakan dapat borong kalau tidak dapat diikhtiarkan. Yang pandai bekerja wang seperti ini buat kaum di sebelah timur -- Pak Gondollah (( Chetty )) -- dari zahir ke dunia ibu bapanya menyediakan sekian-sekian wang anaknya yang akan dijalankan mencari keuntungan. Wang itu makin sehari semakin banyak, bila anaknya cukup tempoh boleh mengurus wang baru diserahkannya wang itu ke tangan si anaknya. Masa itu barulah mengerti anaknya itu bahasa wang itu besar pengaruhnya kemudian ia sendiri pula bertekun membiakkan pusaka wang. Di mana akhirnya kita boleh lihat tanah-tanah kepunyaan Melayu yang berharga habis di dalam genggaman chetty. Ada berlainan sangat tentang mengembangkan wang antara bangsa kita Melayu dengan bangsa lain. Kita tidak begitu cinta kepada wang, dapat keuntungan tidak sayang berperangai boros -- ini bukan pula hendak menyuruh orang kita Melayu makan bunga seperti chetty itu. Ada banyak jalan yang siang sesaing jalan pendapatan chetty. Wang boleh belikan share bersyarikat dan yang seumpama itu, seorang tak boleh hidup jika disimpan di dalam peti mati ataupun takut hendak melarikan ikhtiar keuntungan dengan mencongak keuntungan rugi -- kalau buat ini wang itu boleh untung, dan buat ini wang itu boleh rugi.

Mencari perusahaan dengan usaha pula. Itu ramai kita tahu, hutan teguh yang baru dibeli, kalau tak ditebang, ditebas, dan dicangkul, tak jadi guna, tak mengecap kefaedahan tanaman sekiranya tidak ditanam. Begitu juga berternak, malas kita mendidik dan membela, nescaya tidak boleh kita dapat bela yang banyak, tentang perusahaan berternak ini boleh kita lihat negeri yang bersungguh-sungguh membela dan mendidik hidup-hidupan seperti Belanda bagaimana keuntungan di dalam tiap-tiap setahun perolehnya. Daftar ini dihantar ke negeri Inggeris sahaja ((tidak dikira pada hantaran ke negeri yang lain)) keuntungan membela ternak sahaja,

Daging Lembu : £3,500,000 :

Susu Daripada Lembu : £2,400,400 :

Mentega : £1,400,000 :

Telur : £1,100,100 :

Keju : £900,000 :

Kalau dibandingkan harga ringgit di sini daging sahaja berharga $30,625,000 berapa banyaknya kalau dijumlahkan kesemuanya itu. Sekalian perusahaan ini berkait-berkait juga dengan wang maka jadi begitu besar faedahnya. Wang dijumlahkan sebagai persekutuan, kongsi bersama-sama memajukan perusahaan. Yakin berugi ((melabur)) wang dahulu. Barulah jadi sampai begitu pelik kita mendengar wangnya.

Kemajuan dengan tenaga -- itu ada berlainan daripada kata yang di atas. Tetapi walaupun begitu tergantung juga kepada bersungguh-sungguh ((berusaha)), maknanya bukanlah semata-mata maju itu kita baca-baca dengan lidah sahaja. Tak ada dalil-dalil yang dapat kita tunjukkan pada sudut ilmu Melayu kita. Melainkan dapat kita tilik kemajuan itu daripada negeri-negeri yang lebih maju. Baru-baru ini satu daripada surat khabar Inggeris ada menuliskan bagaimana kemajuan kaum ibunya tak usah kira kemajuan laki-laki, lebih kurang begini maksud:

Perempuan di Eropah kemajuan ada membawa berat kepada laki-lakinya mereka mengeluarkan fikiran di dalam surat khabar majalahnya hingga menggoncang sesuatu negeri -- menyuruh laki-laki dan perempuan sama-sama bekerja menjaga keselamatan negeri. Ada perempuan yang bersuara di dalam pemerintah negeri -- jadi ahli peperangan, jadi pegawai pengaman, bekerja di dalam fabrik-fabrik sebagai kemajuan laki-laki. Selalu menentang dengan fikiran laki-laki yang membawa huru-hara dan sebagainya.

Kalau dibandingkan dalam alam Melayu fikiran kaum ibunya jauh kecil pada darjah yang di bawah sekali. Betapa tidak? Hari-hari kita boleh membaca fikiran-fikiran kaum ibu kita merundingkan perkara masak nasi, gulai, dan sambal sahaja. Segagahnya memperancangkan hal keselamatan suami isteri, berkenaan nikah kahwin, pakaian emas, sirih dan suntil[?]. Tidakkah gelak hati bangsa asing melihat kita?

Tidak pula kita melarang tiap-tiap kaum ibu di alam Melayu -- khasnya di Semenanjung ataupun laki-laki mengemukakan fikiran itu. Ya! Itulah asas perdirian kemajuan kita, kerana satu daripada bangsa yang baru sedar akan diri. Tangga naik kita itulah tangga bongsunya. Lagi banyak yang akan kita tingkat. Sekarang ini patut kita meneladani pada kaum-kaum ibu yang lebih maju dari kita. Bukan pula kita tiru perkara yang membusukkan nama kaum. Tetapi kita pilih yang lebih baik seperti kata: yang elok buat teladan, yang buruk buat sempadan.

Patut dipuji penulis-penulis kaum ibu yang telah mengeluarkan fikiran dan menolak kuat atas perkara jahil memasak dan keselamatan suami isteri, nikah dan kahwin, perkara yang sangat wajib itu. Begitu juga penulis kaum bapa yang telah menegakkan kepada langkah persatuan. Seumpama kelab-kelab, syarikat-syarikat yang membawa kepada kemajuan perusahaan seperti yang ada sekarang. Sedikit hari lagi kita akan berjumpa menjadi bekas seruan-seruan itu kepada kaum kita. Serta bersalin rupa daripada tabiat dan resam yang lama-lama itu kepada yang baru.