Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1932, p.322-325

General Article.

Sekolah-Sekolah Melayu dengan Warta Malaya. Sedikit pemandangan kepada ilmu bacaan yang luas.

Kita tidak tahu berapa buah negerikah dalam Semenanjung ini yang sekolah-sekolah Melayunya telah dapat membaca Warta Malaya iaitu dari semenjak "Lembaga Melayu" yang tua dahulu telah diberhentikan dan mati.

Tiap-tiap guru yang telah membaca dan memerhatikan isi Warta Malaya itu tentulah terasa bahwa isi yang disajikan di dalamnya itu sangat-sangat berguna bukannya kerana Warta Malaya itu penuh berisi dengan karangan guru yang panjang kosong berela-rela, tetapi sekiranya dibaca dan difahamkan betul-betul boleh meluaskan fikiran dan pemandangan guru-guru.

Di dalam Warta Malaya kita tidak boleh berjumpa perbahasan atau pertengkaran ugama yang panjang berela-rela hingga berbulan-bulan, tetapi apa-apa petikan yang disiarkannya berkenaan dengan kemajuan ugama di negeri-negeri lain iaitu daripada qalam penulis-penulis Eropah atau Arab dan Mesir yang telah terbilang dan terkenal itu boleh menarik pemandangan pembacanya kepada suatu ilmu pengetahuan yang lebih tinggi.

Demikian jua oleh sebab ia itu dikeluarkan tiap-tiap hari dan sekalian perkhabaran-perkhabaran kawat dunia ada dizahirkan tidak lewat dari perkhabaran-perkhabaran yang tersiar dalam surat-surat khabar Inggeris. Maka dapatlah orang-orang Melayu yang tiada tahu bahasa Inggeris itu membaca dan menerima perkhabaran-perkhabaran pada masa yang sama dengan orang-orang bangsa asing yang membaca surat-surat khabar bahasa asing. Begitu jua Warta Malaya tidak ketinggalan daripada menyalinkan apa-apa fikiran atau kenyataan yang berhubung dengan hal-hal pemerintahan di Tanah Melayu.

Tuan pembaca sekalian terutama guru-guru patut mengetahui bahwa kerajaan sedang mencuba dengan berbagai-bagai ikhtiar hendak meluaskan fikiran dan pengetahuan orang-orang Melayu kerana tiada dapat dan tiada boleh dijalankan sesuatu perkara yang berfaedah di antara sesuatu kaum yang sentiasa sempit sudut fikirannya dan lemah hemah perasaannya. Jikalau guru-guru yang mendapat Warta Malaya dengan percuma itu memikirkan belanja dan harganya yang mahal itu dengan lanjut sedikit, tak dapat tiada tentulah tiba pada fikrannya bahwa tujuan surat khabar itu dihantar ke sekolah-sekolah Melayu ialah supaya dibaca dan difahamkan betul-betul oleh guru-guru dan murid-murid dan apabila mereka itu telah habis membaca dan memahamkannya, hendaklah sekalian salinan-salinan surat khabar itu dihadiahkan atau disiarkan kepada orang-orang di dalam kampung supaya berjangkit fikiran dan pemandangan yang luas yang telah dirasai oleh guru-guru itu kepada mereka.

Dalam pada itu janganlah pula guru-guru atau murid-murid di sekolah-sekolah Melayu itu berpuas-hati dengan membaca surat khabar yang disajikan oleh kerajaan sahaja. Guru-Guru patut bermuafakat sama sendiri berlanggan dengan surat-surat khabar lain seperti Majlis, Pengasuh, Saudara, iaitu mengikut mana-mana yang kuat hati mereka itu.

Guru-Guru yang telah lulus di Kolej Melayu itu jangan kecil hati jikalau mereka dipandang rendah oleh setengah orang-orang yang luas pengetahuan dan lebih luas medan bacaannya. Di dalam negeri-negeri yang maju di Eropah dan lain-lain seseorang yang tiada tahu apa-apa yang dibacakan dan dibincangkan oleh orang di dalam surat-surat khabar itu dipandang rendah seperti monyet dan lotong dan kera atau sekurang-kurangnya dipandang akan mereka itu tiada ada satu pun lebihnya daripada kaum Hottentot yang mendiami di tanah-tanah benua Afrika. Di dalam sesuatu perkumpulan atau perbualan jikalau seseorang itu jahil dan hanya tahu menganga sahaja di atas perkara-perkara yang dicakapkan ((yang kebanyakannya berasas dari surat khabar)) maka orang yang melopong itu dipandang seperti suatu kuman atau penyakit yang mencucuk dan merosakkan kesempurnaan perkumpulan atau perbualan itu.

Siapakah di dalam dunia ini yang gemar dan suka dihinakan bahkan orang kampung yang bangang itupun terasa bengis dan mahu menyingsing lengan jika diketahuinya yang dirinya dihina dan diejek-ejek oleh orang. Sehabis-habis hina ejekkan itu ialah ejekan yang tidak payah dibuat dengan memberong-berongkan bibir seperti kaum Hottentot yang terkelisit bibirnya tetapi ialah ejekan orang yang tamadun yang tiada dinampakkannya pada mukanya tetapi hanya dinampakkanya pada bahagian mata hitamnya dan pada hatinya. Oleh itu siapa yang tiada suka dihinakan dan dipandang rendah, eloklah dengan segera menjinakkan dirinya kepada surat-surat khabar dan buku-buku. Seseorang itu tidak sayang menghabiskan sekalian hartanya oleh kerana hendak membuangkan atau hendak menebus namanya yang keji dan hina tetapi tidaklah kehinaan dan kekejian seperti yang tersebut di atas itu sebenar-benar hina yang tidak dapat dibasuh dan dikikis melainkan dengan berbelanja sedikit membeli buku-buku dan surat-surat khabar?

Medan bacaan ((surat-surat khabar dan buku-buku itu)) sangat luas. Bahkan boleh dikatakan nombor dua luasnya jika dibandingkan dengan ilmu. Seseorang tidak boleh dapat melengkapi* segala cawangan ilmu bacaan tetapi sungguhpun demikian, seseorang yang dikatakan bertamadun itu diharapkan patut mengetahui serba sedikit tentang ketinggian fikiran berkenaan dengan ugama, politik, ekonomi, perniagaan, perusahaan dan tawarikh dan tahu pula sebanyak sedikit akan hal-hal yang jadi di dalam dunia dari sehari ke sehari. Seseorang yang cuma tahu "Alif" "Ba" "Ta" perbacaan ugama, politik dan ekonomi dalam Semenanjung yang kecil ini masih dibilangkan sempit dan kuno lagi fikirannya apabila dibandingkan dia dengan orang yang telah membaca hal-hal ugama, politik, ekonomi dunia.

Oleh sebab itu, jika seseorang itu hendak betul-betul mendapat gelaran orang yang maju tidaklah sahaja ia akan memikirkan atas perkara mencari pakaian yang cantik-cantik atau berbuat hendak mendapat pakaian atau panggilan Datuk yang disifatkan otaknya seperti otak Hottentot di dalam mana-mana majlis percakapan atau perbacaan. Tetapi patutlah jua ia berusaha dengan sehabis-habis dayanya meluaskan fikirannya dan pengetahuannya dengan membaca-baca. Kemajuan seseorang itu hendaklah sama serentap pada tentang pakaian badan, gerak geri fikiran dan perbuatan.

Jikalau hentapnya seperti orang yang baru keluar dari gudang di Bond Street London, tetapi otaknya dan keluasan fikirannya sama seperti orang bukit yang cuma tahu buah petai dan jering yang di dalam hutannya, maka sudah tentulah mereka itu jadi permainan dan orang yang boleh diperolok-olokkan di dalam bahagian mata hitam orang-orang yang lebih tajam pengetahuan dan pemandangannya.

Untuk yang tajam, fikiran yang luas dan perasaan yang tinggi akan menjadikan seseorang itu suatu kuat atau sesuatu kaum itu lebih kuat bekerja dan berusaha bagi faedah negeri dan bangsa.