Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Oct 1932, p.289-294

General Article.

Sifat-Sifat Kebangsaan Melayu.

Berbanyak-banyaklah kita menerima kasih kepada kerajaan British yang maha besar kerana menyelamatkan kerajaan dan hak-hak bangsa Melayu daripada kacauan bangsa-bangsa asing dan menyekat segala rupa himpitan bangsa-bangsa itu yang hendak menghapusi segala sifat kebangsaan bumiputera semenanjung ini. Oleh sebab keadilan dan teguh setia kerajaan Inggeris ini, terdengarlah jua kegagahan titah perintah sultan-sultan Melayu dan segala kehendaknya sama ada pada memajukan atau pun menyelamatkan bangsanya tak dapat tiada dihormati dan wajib diperkenankan oleh kerajaan negeri-negerinya, dan segala cita-cita pembesar-pembesar dan harapan bangsa Melayu pada mencapai kemajuan masih dapat lagi berhasil kelak.

Sekalian Sultan-Sultan kita itu jikalau dapat kita lihat qalbunya masing-masing, Tuhanlah jua yang amat mengetahui peri percintaannya kepada kemajuan dan keselamatan hamba rakyatnya. Sedikit daripada beberapa keterangannya dapat kita lihat yang junjungan kita itu sedang mengorbankan kuat kuasanya bagi menahan serangan bangsa-bangsa asing pada kuota-kuota hak kepercayaan Melayu dan sedang bekerja keras pada menzahirkan dan memeliharakan beberapa sifat kebangsaan Melayu. Sebagaimana percintaan pembesar-pembesar kita pada kemajuan dan keselamatan bangsanya, begitulah jua kita mendoakan payung naungan kita ini di dalam kepujian dan kebesaran selama-lamanya.

Satu daripada beberapa sebab yang menjatuhkan bangsa kita Melayu yang telah lalu ialah terlampau boros, dan oleh itu pula yang menyebabkan cita-cita dan ura-uraan bangsa kita pada membuat harta telah tertutup dan lenyap sama sekali daripada hatinya yang mana ura-uraan tentang keborosan itulah yang sangat dikemukakannya. Tetapi kita syukur kepada Allah kerana beberapa ramai di antara penganjur-penganjur bangsa kita di negeri ini sedang mengorbankan masanya membalikkan semangat dan kecenderungan bangsanya kepada berniaga dengan membuka beberapa pasar mingguan, di mana suatu tempat latihan bangsa Melayu yang pertama pada membina harta. Jikalau bangsa kita Melayu telah berhemat daripada pendapatannya yang satu dua sen itu, kita tentu harian maka mengapa pula yang bangsa kita Melayu cuai ia pada menyelamatkan hartanya yang berharga beratus-ratus dan beribu-ribu ringgit? Kita masih bergirang hati yang guru-guru Melayu sedang menjalankan tenaganya menanam benih-benih kebangsaan Melayu di hati anak-anak bangsanya yang akan menjadi ibu bapa Melayu kelak. Dan kita da harapan anak-anak Melayu yang akan menjadi bangsa Melayu kelak ialah suatu bangsa yang taat dan membuat kebaktian kepada tanahairnya. Di dalam serba sebagainya pimpinan Melayu telah bersatu hati dan berhaluan pada mencari kemajuan dan keselamatan bangsanya.

Bangsa kita Melayu ada berasa sombong kerana satu daripada sifat-sifat kebangsaan masih dapat lagi dilihat yang Sultan-Sultan Melayu masih bersemayam di atas takhta kerajaannya. Terdengarlah lagi suara titahnya dihormati dan disegani oleh bangsa-bangsa asing pemerintahannya dan bertuah lidah-lidahnya. Kerana lidahnya itu ialah suatu perumpamaan lidah-lidah umat-umat Melayu, besarlah untung tuah kita yang bangsa kita masih dapat bernaung di bawah panji-panji junjungan kita itu. Sekalian kebajikan yang ada pada pembesar-pembesar kita ialah alatan senjata bangsa Melayu bagi menyelamatkan hak-haknya daripada sambaran bangsa-bangsa asing yang di negeri kita ini.

Besarlah pengharapan kita yang bangsa kita Melayu wajib ingat yang Semenanjung ini masih lagi dipunyai oleh Melayu dan bangsa kita mesti memiliki beberapa hak dan faedah di negerinya. Kemajuan bangsa-bangsa asing pada hak-hak Melayu ialah perbuatan yang tiada patut sekali. Kita berharap yang Kerajaan Inggeris tidak membiarkan bangsa-bangsa asing ((Cina dan Keling)) merebut hak-hak Melayu daripada genggamannya. Dan begitu jua pengharapan kita ia menyokong pembesar-pembesar Melayu bagi menahan serangan bangsa-bangsa asing itu. Bangsa-bangsa asing yang di negeri ini telah menyangkakan Semenanjung ini suatu tempat menghisap darah faedah di bumiputeranya dan ia telah datang ke negeri Melayu ini dengan tujuan mencari kehidupan bangsa itu ada tanahairnya bagi mengorbankan dirinya dan ia berasa sombong di atas apa-apa pergerakan di dalam negerinya. Ia tidak akan mengorbankan dirinya bagi menyelamatkan negeri-negeri Melayu jikalau ada sesuatu kesusahan menimpa negeri ini. Dan berbaliklah ia ke negerinya seperti yang kita lihat pada masa kepicikan sekarang. Berterbanganlah ia dengan meninggalkan bangsa Melayu dan kerajaan Inggeris memikul kemalangan itu. Bangsa-bangsa asing yang di negeri Melayu tidak ada haknya di sini tuntutannya pada hak-hak yang dikatakannya itu ialah suatu perbuatan yang menginakan bangsa Melayu dan menghilangkan sifat-sifat kebangsaannya. Bangsa kita Melayu tentu tidak sedar dan tak dapat tiada berasa berang yang pembesar-pembesarnya dan pegawai kerajaan negerinya digantikan oleh Cina dan Keling. Tetapi bangsa kita Melayu tidak berputus asa yang kerajaan Inggeris menyokong bangsa Melayu pada menyelamatkan kerajaan dan hak-hak Melayu di negerinya itulah sifat-sifat kebangsaan yang wajib bangsa kita memeliharakan.

Setengah daripada sebab-sebab kerendahan bangsa kita Melayu pada sangkaan bangsa-bangsa asing ialah kerana kemiskinan bangsa kita pada harta benda, apatah lagi pada pelajaran. Kemiskinan kita pada harta itulah yang menjadi gelangan bangsa kita Melayu pada mencapai pelajaran yang tinggi-tinggi dan kemiskinan bangsa kita pada pelajaran itulah pula yang menyebabkan kelemahan fikiran kita dan cuai pada memeliharakan sifat-sifat kebangsaannya. Tuan-Tuan pembaca lebih mengetahui di dalam Legislative Council di Singapura tempoh hari dahulu bangsa-bangsa asing di negeri ini telah sekali lagi merempuh pekerjaan hak-hak Melayu dan telah bersuara dengan suara yang keras meminta bukakan kepada kerajaan negeri-negeri selat pintu kuota jawatan memerintah ((The Malayan Civil Service)) yang mana sekarang telah dibukakan kepada sekalian bangsa-bangsa Asia. Tetapi kita berdoa kepada Allah dan masih bertetap hati yang bahaya ini tidak menjadi atau sampai ke negeri-negeri Melayu kita ini, kerana pembesar-pembesar dan junjungan kita itu sedang bekerja keras mengimpit dengan himpit yang kuat kepada lidah wakil-wakil bangsa yang dengkikan pada hak-hak kita Melayu daripada mengeluarkan tuntutannya di negeri-negeri Melayu ini. Kita berharap yang bangsa kita Melayu sama-sama sedar dan sama menjalankan kewajipannya bagi melawan penyakit-penyakit kebangsaan Melayu daripada berjangkit dan berkembangan di negeri-negeri kita ini.

Kalau-kalau serangan bangsa-bangsa asing pada hak-hak Melayu lebih kuat daripada tahanan bangsa kita dan luas tuntutannya pada jawatan memerintah negeri-negeri Melayu kita ini, maka terbanglah semangat kita dan putuslah asa pembesar-pembesar Melayu pada memajukan dan menyelamatkan bangsanya kerana apa cita-citanya dan pergerakan pada memajukan dan menyelamatkan tanahairnya tak dapat tiada akan disekat dan dihimpit oleh bangsa-bangsa asing bila kalau kuat perdirian bangsa-bangsa itu di negeri Melayu ini. Maka melangkahlah ia menunjukkan kekuatannya dan mencengkamkan kuat kuasanya ke atas bangsa kita Melayu yang ia hendak memiliki negeri-negeri kita ini. Dalam masa yang lama berhaklah pula ia sama-sama menurunkan Sultan-Sultan Melayu daripada takhta kerajaannya, keselamatan yang mana wajib sekalian umat-umat Melayu mengorbankan jiwanya. Keturunan payung naungan kita daripada takhta kerajaan Melayu dan kehilangan sifat-sifat kebangsaan hamba rakyatnya di tanahairnya ini tak dapat tiada dituruni pula oleh keputusan Melayu di muka bumi Melayu ini. Wahai bangsa Melayu! Janganlah dibiasakan cuai pada memeliharakan harta, dan sifat-sifat kebangsaan dan kemajuan negeri kita ini.

Bagi anak-anak Melayu yang akan menjadi penyelamat-penyelamat tanahairnya; kekhilafan bangsa kita Melayu yang telah lalu tidak pula terwajib kita tangisi sekarang, kerana kejatuhannya itu tidak pula sampai memutus asa kita pada mencapai kemajuan negeri kita. Tetapi wajiblah kita sekalian anak-anak putera negeri itu sama-sama sedar yang keselamatan junjungan kita di atas takhta kerajaannya dan hak-hak Melayu daripada tuntutan bangsa-bangsa asing itulah kebangsaan Melayu, besarlah untung tuah kita bahwa Melayu sedang mengorbankan tenaganya membuka beberapa peluang serta mengampu dan menyokong hamba rakyatnya di dalam pergerakan pada kemajuan. Kita berharap yang kita sekalian anak-anak Melayu wajib menjalankan kewajipannya bagi menyelamatkan tanah air kita ini mengambil bahagian pada memajukan bangsa kita. Begitu jua kita masih tenang hati yang bapa-bapa kita Melayu sedang menunjukkan perusahaannya dan pergerakan kemajuan supaya menjadi tauladan yang akan diikut oleh anak-anak bangsanya kelak. Hendaklah kita sekalian anak-anak Melayu menjaga dengan seberapa jagaan yang hidup apa-apa buah fikiran dan pergerakan kita tidak pula menjadi suatu pelemah hemah bangsa kita sehingga merosakkan perasaan kebangsaan Melayu. Jikalau tiada jua kita sedar segala bahaya kebangsaan kita dan tidak pula kita bercita-cita mengubati segala penyakit yang di negeri kita ini, tak dapat tiada apakala besar menjadi hamba taman dan gundik ((yang perempuan)) pada bangsa-bangsa asing di negeri Melayu ini. Yang mana suatu perbuatan yang menjatuhkan kebangsaan Melayu dan merobohkan ugama Islam.

Wahai sekalian saudaraku! Marilah kita sama-sama bersatu hati menzahirkan tanda-tanda kebangsaan kita dan menunjukkan kasih dan ketaatan kita pada Sultan-Sultan Melayu supaya tidaklah bangsa kita lagi persangkakan hina oleh bangsa-bangsa asing yang di negeri Melayu ini.

Berdoalah kita kepada Allah moga-moga terselamatlah kerajaan Melayu dan hak-hak di tanahairnya dengan tadbir kerajaan British yang maha adil, Allah peliharakan Sultan-Sultan, Allah peliharakan orang besar-besar dan allah selamatkan Melayu!

Muhammad Arif bin Abdul Rahman, High School Kajang.