Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Apr 1934, p.129-142

General Article.

Orang Melayu dengan Suratkhabarnya.

Orang Melayu boleh dibilangkan telah sedar betul akan diri dalam hal kehidupannya di Semenanjung ini -- terdesak -- miskin -- tercicir -- lalai -- dan lain-lain perkara yang selalu dikata rendah oleh bangsa-bangsa yang lebih maju.

Tidak ada satu cakap atau syarahan atau bisik-bisik yang telah mengejut orang-orang Melayu akan dirinya tentang kerendahan nasibnya itu; melainkan dengan wasitah jerit suratkhabarnya. Mereka yang tidak tahu tulis menulis dan baca membaca dalam bahasa asing umpama bahasa Inggeris, suratkhabar-suratkhabar dan majalah yang

bertulis Jawi itulah yang telah menyampaikan sabdanya

dengan keras dipetikkan ke lubang telinganya.

Sepuluh tahun yang lalu belum ada lima persen pun mereka-mereka Melayu yang mengerti akan hak-hak negerinya dan kemiskinan serta kerendahan fikirannya; tetapi sekarang ((ini masanya)) kita tahu betul mereka telah insaf dan mahu betul membantingkan tulang uratnya, dan menyingsingkan lengan bajunya. Pada merebutkan dan mendirikan hak kewatanan Melayunya.

Di mana mereka hendak berkata jika orang dari Selangor dengan orang di Pulau Pinang? Dan di tempat mana mereka hendak berjuang fikiran tentang kebenaran hak negeri mereka, dengan bangsa-bangsa asing yang bertabur merata ceruk di negerinya?

Sekaliannya itu di dalam suratkhabarnya.

Dahulu pernah kita dengan mereka berkata suara suratkhabar itu kosong -- artinya pandai berkata sahaja tiada tahu membuat -- kata ini ialah dari kata orang yang memang hati terperhamba atau fikiran abdi orang yang tidak tahu akan faedah bangsanya.

Mereka yang seperti ini tak usahkan suara suratkhabar, jika bapanya atau ibunya yang dihadap tiap-tiap hari itu menyuruh ia belajar di sekolah menuntut ilmu atau menyuruh ia pakai seluar pendek mencangkul tanahnya yang sedia* dari pesaka bapanya dan disuruh membela rumah tangganya dengan aturan yang elok sekalipun tentu ia tidak mahu melainkan mereka ((si berkata itu)) suka duduk mengeram di rumah atau melepak-lepak di kedai kopi atau menjadi kutu hamba perut pagi dan petang.

Mereka ini dibilangkan kehidupan pelesir -- lebih baik lagi tabiat orang Semang dan orang Sakai yang merayau-rayau dalam hutan itu berusaha sendiri mencari pengisi perutnya. Mereka yang seperti itu juga kita harus doakan moga-moga satu masa ia akan dapat merasa yang ianya sendiri sudah tiada daya hendak menjadi orang senang dalam dunia hidupnya. Atau pun menjadi satu ketika tukang kapit bungkusan yang berisi dua helai kain buruk meminta sedekah di pekan mata tangga rumah orang.

Dikeranakan tiada mendengar nasihat orang yang telah faham dalam ilmu hidupnya.

Ya, sekarang kita sudah jarang mendengar kata yang seperti itu lagi. Mereka sudah mengerti dengan percaturan negerinya dari kata-kata dan lidah-lidah suratkhabar. Oleh itu dengan terus mereka telah menjadi pembaca-pembaca yang dihormati, setengahnya telah berlanggan sendiri dan setengahnya yang kurang mampu telah berkongsi berlanggan dan sangat ingin mendengar cerita dan kejadian di negerinya dan luar negeri.

Tetapi jenis mana suratkhabar yang hendak dibacanya?

Suratkhabar gila agama? Suratkhabar gila kemerdekaannya? Suratkhabar gila pertengkaran? Suratkhabar gila pengetahuan? Dan suratkhabarnya gila perkhabaran sahaja?

Yang mana hendak dipilih?

Dalam Semenanjung Tanah Melayu ((tiada masuk Indonesia)) ada banyak suratkhabar-suratkhabar yang boleh dipilih

sendiri: "Majlis", yang keluar di Kuala Lumpur, "Bumiputera"

dan "Saudara" yang diterbitkan di Pulau Pinang telah sedia itu.

Tetapi, sebesar-besar pelajaran itu ialah yang dapat oleh seorang itu sendiri daripada helai-helai kitab kejadian yang senantiasa terbuka seluas-seluas alam ini di kelilinginya. Maka tiadalah memadai jika pelajaran seseorang itu kadar yang ada di dalam kitab-kitab sahaja atau berkenaan dengan kitab-kitab sahaja. Tiap-Tiap seorang hendaklah menyiasat-nyiasat sendiri, memikir-mikirkan sendiri, menimbang-nimbang sendiri, dan memerhati sendiri apa yang dibacanya dan dilihatnya dan didengarnya.

Kemudian barulah dijadikan dia miliknya ((milikan)) sendiri. Demikian pula tidaklah memadai jika pelajaran-pelajaran itu sekadar tahu menulis, membaca, berkira-kira, dan sebagainya sahaja. Tetapi, ialah juga pelajaran jika tahu buat membuat tukang-menukang dan atur mengatur pada berbagai-bagai pekerjaan tulang urat dan perusahaan badan serta tahu berlaku dengan laku perangai yang mulia-mulia dan adab tertib yang layak dengan manusia. Maka dengan ada sekalian inilah di antara anggota-anggota bangsanya baru boleh dinamakan sesuatu kaum atau bangsa itu sempurna asuhan latihan dan pelajaran dan barulah bangsa itu boleh jalan membuat beberapa pekerjaan yang membawa kepada kemajuan.