Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Dec 1934, p.446-450

General Article.

Kepada Semua Anak Melayu.

((Oleh Abah -- Bakariah))

Anak Melayu dapat bermanja-manja pada kerajaan sebarang apa mendapat kesusahan kadang-kadang terulung minta tolong. Orang Melayu selamanya taat menurut perintah di bawah orang yang memerintah akan dia, selamanya pemurah hati dan bertukal.

Hajat Melayu raya negeri Melayu biarlah sebarang pekerjaan dipenuhi oleh anak Melayu, tak ingin bagi pemandangan Melayu seorang lain bangsa -- dikecualikan pemerintahan -- menduduki kerusi sesuatu pekerjaan yang anak Melayu mampu membikin apa-apa pekerjaan yang ditanggunginya.

Saya pun anak Melayu juga turun temurun saya bukan dari Nederland Raya atau Eropah, Amerika -- saya sebangsa dan seugama dengan tuan-tuan sekalian tetapi difikirkan itu tidak patut biarpun saya menepuk air di dulang, mau pun saya mengaku jika dibilangkan, "ketam marahkan anaknya berjalan betul", guru sekolah itu raja, murid-murid itu rakyatnya -- guru boleh menghitam dan memutihkan sebarang ceruk otak seseorang murid itu dengan sebab itu sepatutnya guru itu lebih-lebih berusaha dari seorang pengata, difikirkan dengan kemolekan kepada rencana ini, patut guru kelas tinggi itu mencontengkan dakwat lidahnya serta hembuskan pada murid-murid bakal menjadi seseorang pendidik itu, nisbah kalau guru ingin tak ingin, murid pun sementahanlah guru dengan murid umpama kelasi dengan kapitan. Dari itu saya patut mulakan apa yang dicakapkan:

Bekas murid tua satu-satu sekolah itu apakala ia lepas dari sekolah ((walau sekolah apa pun)), siapa dia yang berfikiran tak mahu diam berlegar disekeliling dapur rumahnya? Dia lekas suka merdeka pada ibu bapanya berjalan berdagang mencari kerja.

Setengah mendapat setengahnya berniaga boleh gasak tidak ditentukan memegang jawatan pada pekerjaan pun ada, bekerja pada saudagar pun bersepah, bahkan bekerja sendiri pun tidak ketinggalan jua kebagusan tujuan bekas murid itu molek, artinya hidup mesti bekerja.

Apa fikirannya bila dia sudah memegang pekerjaan?

Pertama, hendak menumpang memuaskan tali-leher, kedua bersenang-senang diri, ketiga mencari bekalan tua dan menolong orang tua. Pendeknya asal bekerja sahaja hendak menyenangkan dirilah. Anak bujang ((bekas murid)) siapa yang tak suka meninggalkan kerongkong dapur rumahnya nanti dekat orang bujang tidak bersemangat kerana tak mahu berenggang dengan ibu bapa. Jadi kehendaknya tiap-tiap orang Melayu baik bujang atau yang sudah beristeri eloknya mestilah bekerja sama ada sendiri atau bekerja pada kerajaan.

Artinya bukan tak kesediaannya meninggalkan kampung, sekarang kita usik bekas murid yang baru lepas dari sekolah yakni belum bekerja apa-apa pun, barangkali tak seorang jua pun suka duduk di kampung memeram, kalau ditanya mau bekerja sama ada peon atau kerani? Tak lain jawabnya, bila-bila, supaya Si Baliu dapat nama pada kawan-kawannya, wah! Siapa itu sudah dapat kerja! Atau Si Anu itu bagus!! Adik-beradik siapa itu semuanya, makan gaji, betullah anak orang berguna!! Lagi keuntungan bekas murid yang makan gaji itu penting disebut sahaja anak dara orang, pendeknya bekas murid yang makan gaji itu kok belantu pun antan juga, sementahan seumpama kerani-kerani, guru-guru sekolah, kecil pun anaknya lagi sebentar sahaja besarnya: tetapi kalau dipinang oleh Si Bujang lela ((bujang Melayu di kampung)) besar pun anaknya kecil lagi, maaf cakap! Orang kaya dengan pemakan gaji dipandang oleh sang ibu bapa yang menaruh anak dara lebih-lebih mulia orang yang makan gaji itu supaya diharap anaknya dapat melihatkan adat istiadat negerinya orang semasa perdagangan dengan suami si isteri.

Si mertua pun nanti dapat satu natijah kemegahan menantunya guru menantunya kerani akasnya.

Oleh sebab yang demikianlah kehendaknya seorang bekas murid itu teringau-ingau dan mencari kerja pada kerajaan dengan jalan menulis surat membuangkan wang setem beringgit-ringgit pada sebulan untuk memohonkan satu-satu jawatan yang kosong pada satu pejabat, tetapinya oleh waqat kepicikan payah belanja satu pejabat pun tiada apa-apa pekerjaan yang kosong dengan sebab itu tak dapat tidak jawapan surat bekas murid itu hampa -- apa fikiran pada bekas murid ((anak Melayu)) yang minta kerja itu?

Pertama, putus harapan, kedua mengumpat kerajaan kerana ada pun kerja kosong tidak diberikan padanya pada hal sama ada yang kurang di pejabat itu atau tidak tiadalah diketahuinya. Bukannya pula dalam sebulan murid itu datang menulis sepucuk surat itu sahaja, malahan lepas satu, satu lagi dikadarkan dalam sebulan untuk belanja itu tidak berkurang dari ringgit-ringgit, habiskan lagi!

Oleh kerana dalam satu pejabat itu selamanya tiada kerja yang kosong terpaksa kerajaan menyediakan beberapa helai memorandum yang sudah tercap di dalamnya tiada pekerjaan yang kosong supaya untuk menjawab surat-surat meminta boleh dibanci berapa helai kertas memorandum yang melayang itu tiga suku daripadanya ialah bagi menjawab surat datang dari bekas murid-murid sekolah, jika sekiranya dihitung kasar sahaja ambil pejabat yang besar dalam tanah Melayu ini umpama pejabat tanah, pejabat keretapi, pejabat kastam, pejabat keamanan, pejabat kesihatan, pejabat raya, pejabat hutan, jika dikiralah pada sebulan satu-satu pejabat menghabiskan memorandumnya sepuluh helai jadi tujuh pejabat jumlahnya tujuh puluh helai belanja mengirim surat bekas murid-murid menjadi $3.50 sebulan percuma sahaja besar apalah jika kita kira di lain-lain pejabat kecil dan saudagar $3.50 wang percuma keluar dari poket orang yang tak bekerja dalam sebulan, ditakdirkan ramainya bekas murid-murid yang telah berhenti sekolah yang belum bekerja membuangkan wang untuk meminta kerja?

Jika dimenungkan dengan jalan ini terlampau rendah tampaknya dalam perhitungan anak Melayu buat menyelamatkan dirinya pada halnya hampa semuanya semoleknya pada seorang bekas murid ((anak Melayu)) yang hendak memintak pada kerajaan itu cekallah!

Jika diketahui atas kekosongan pekerjaan itu lalu tidak begitu tak usah diucap si kerani di pejabat itu berapa ada beradiknya yang belum bekerja lebih senang dia pergi jumpa dengan tuan besarnya mintak masukkan seorang daripada adiknya. Diingatkan pada bekas murid ((anak Melayu)) bukan artinya yang permintaan jawapan kosong itu ada kosong belum berisi semasa surat permintaan itu sampai yang sebenarnya betul dewasa itu pekerjaan tiada kosong bahkan tidaklah sekali-kali kerani atau tuan besar dalam pejabat itu menjadi dinding permintaan seorang bekas murid yang malang itu.

Nasib baik barangkali takdir tuhan ((perkara ini selalu jadi di pejabat keretapi)) oleh berkat permintaan si-Gomen itu tibalah jawapan dari tuan besar pejabat menyuruhkan datang artinya adalah yang kosong di situ.

Kebiasaan kalau pada pejabat keretapi, selalunya dihantarkan dengan tiket percuma bagi keretapi datang ke tempat yang dijanjikan itu. Ditiliknya cakap permintaan seorang bekas murid dahulunya mengadap tuan besar memohonkan satu-satu jawatan yang di dalam pemerintahan tuan. Dia tidak tentukan satu-satu kerjasama ada kerani atau peon kerana sekarang sudah banyak sedang mencarikan kerja anak Melayu, sementelahan kerajaan sendiri telah balas membandingkan jasa Anak Melayu Raya. Dengan sebab itulah ia lebih-lebih suka mengambil Anak Melayu dijadikan kakitangan pejabatnya atau daerahnya, biar pun lain bangsa itu pesannya melangit yang dipandang Anak Melayu begitu sekali boleh dipercayai. Tiket keretapi percuma yang diberikan pada bekas murid itu dipenuhi dalam perjalanan, sampainya bekas murid yang dipanggil itu ia lantas sahaja yang diuntukkan bagi kedua tangannya berapalah besarnya hati ibu bapa bekas murid itu memandangkan perjalanan anaknya selamat pergi dan balik dalam pekerjaan besarnya pun hati bekas murid yang bekerja itu tidak siapa yang meniliknya, tetapi .....

Tabik Cakap! dah banyak dijumpai bekas murid itu membuatnya hangat-hangat tahi ayam sahaja, kerana?

al-Maklumlah, dengan pekerjaan sekarang yang terlihat pekerjaan banyak kosong dalam daerah keretapi ialah kerja kuli iaitu dalam cadangan tuan trafik manager ofis. Kerja kuli memang selama-lamanya dengan pakaian kotor kerana minyak atau arang jadi kerana dengan kekotoran itulah bekas murid itu selalu julus bekerja salah dikatanya kerja berselekeh, macam kerja hamba, panas, kalau kerja malam tak tahan berjaga, langsung tak sampai sebulan jatuh! Lari?

Habis perkara!

Yang menghairankan kita ialah dengan kenanya kekotoran kerja itu walhal ditahannya juga bekerja kadang-kadang sampai sepuluh lima belas hari, tiba-tiba cabut bulan sebab tak tahan kerja, berhenti, badan penat kelelahan tak merasa apa begitu sekali bodohnya!

sebelum mendapat kerja lembut gigi dari lidah meminta; saya tahu kerja, saya tahun berpanas, saya tahu masuk enjin menggosok-gosok; tetapi bila dah bekerja apa pun tidak cuma kerat mulut sahaja berkata-kata, nak balik kampung kerana tidak kebenaran berhenti, mintak duit pada ibu bapa di rumah mengatakan ini kerja tak terbuat, tak usahlah nak membalikkan modal kepenatan bekerja sedangkan belanja setem menghantar surat dahulu pun tak balik pokok balik-balik orang tua di rumah juga yang terbungkuk!

dengan sebab itu diingatkan seorang bekas murid itu janganlah pandang meminta kerja lamun jika kerja itu tidak mampu dibuat nanti kerana nila setitik rosak susu sebelanga -- nama siapa yang busuk?

Tak lain dari Melayu Raya kerana dengan bekas murid seorang nampak belang Melayu selamanya buat hendak tak hendak, jangkaan kerajaan lagi percaya memakai Anak Melayu jadi dia boleh terbantut kalau diambil pada saudagar-saudagar bangsa Cina dalam sepuluh tak ada dua Anak Melayu yang bekerja di situ.

Kita mesti sedarkan peruntungan Melayu tiada saudagar yang kaya untuk-untuk dipersukakan Anak Melayu ke dalamnya semuanya ada belas rejam kerajaan menerima di situlah kita melepaskan tenaga menerima kalau buat begitu nanti apa-apa kesudahannya cendia [?] yang melekat ke tengkuk Melayu, fikirlah!

banyak didengar mereka yang membuat kelakuan begitu apa katanya sudahlah kerjanya berselekeh tak tentu siang malam. Pulak gaji berpuluh-puluh ringgit sebulan -- itu perkataan bekas murid-murid jangan tak tahu bukannya kita seorang sahaja yang untung begitu, semuanya terpaksa kerajaan memotong gaji kerana kesusahan si bekerja itu jangan tak tahu dari mulanya bekerja dahulu pun begitulah susah payah yang ditanggunginya oleh tekun taat ia bekerja jadi sebab itulah dia boleh cukup lima enam puluh ringgit sebulan itu ke poket. Dengan jalan itu patutlah pulak kita sekalian taat akan segala kerja dan kerja itu sebusuk-busuk sekali pun tak kanlah jika begitu kita tekun kerajaan tidak memandang balas pada kita itu.

jangan tak difikirkan penting pedih sedikit sahaja sudah tak mahu bekerja padahal kesenangan itu dari susahlah mulanya.

cadangan pejabat mencarikan kerja Anak Melayu itu bukannya dia buta pelajaran, dengan pekerjaan yang diuntukkannya bukan ia ikut akan permintaan seorang bekas murid sahaja padahal untuk kerani itu padan dengan orang yang tamat dalam sekolah Inggeris bukannya seorang pun yang tahu ABCD itu tak dijadikan dia Oh! hanya hilang itu hilang jugalah!

diingatkan benar pada Anak Melayu taatkanlah pada sesuatu pekerjaan jangan pakai nekad sahaja cuba kita ambil pulak tauladan dari rangkap pantun:

Seri Lanang kesayangan Raja Bermain sasar di kebun serai ; Bukan Senang mencari Kerja , Peluh terpancar air mata berderai |

Di akhirnya terpulanglah atas fikiran pembaca-pembacaku yang mulia!