Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Feb 1934, p.61-65

Feature Article.

Kesusahan Menerbitkan Segala Perusahaan Atau pun Meleset diiringi oleh segala Perusahaan.

Oleh S.M. Dalal, Pegawai bekerja-bekerjasama

Larut.

Di pandang dengan mata yang kasar sahaja iaitu semenjak tahun 1931 kurun masehi yang keduapuluh, nampaklah kejatuhan perniagaan yang berbagai jenis. Tetapi yang diketahui oleh Orang Melayu apabila harga getahnya jatuh, maka terbitlah cakapan seluruh daerah "Sekarang Susah!"

Zaman Meleset ini bukannya sahaja menarik turun harga getah itu tetapi jua boleh dikatakan segala benda-benda dagangan halus dan kasar semuanya jatuh harga di serata alam ini.

Telah terjadi dengan beberapa sebab yang tiada dapat dikawali oleh saudagar-saudagar ataupun ahli-ahli akal yang bijaksana adalah peraturan wang ringgit dahulu tiada berapa banyak dengan sebab itu perniagaan pun tiada berapa maju untuk menjadikan negeri makmur.

Terpaksalah disebabkan oleh kesusahan masa sekarang seiisi kelamin berusaha membantu seberapa kerana memelihara kehormatan mereka.

Pencarian siapa telah surut 75 peratus, biasanya dahulu ianya memperoleh sebulan umpamanya $100, sekarang dengan seberapa daya upaya ia cuma dapat mencari $25.

Kelamin serta pula perbelanjaan yang mustahak makin bertambah. Paras kehidupan kelaminnya hendak dipelihara supaya jangan turun lebih rendah yakni baju itu mesti bercorak jua lagi, di sisi masing-masing, perasaan itu baik sekali oleh sebab jika paras kehidupan seseorang itu sangat rendah, maka bolehlah menjadikan dirinya itu hina dan fikirannya pun hina jua.

Pada pengetahuan penulis ada dua syarat sahaja yang kita kehendaki sebagai pedoman:

Pertamanya, kurangkan perbelanjaan : Keduanya, lebihkan pendapatan :

Cadangan yang demikian itu telah terpaksa kita mahir sekarang dengan tiada menantikan siapa-siapa mengajarnya. Tetapi tiada dilakukan oleh kesemuanya melainkan oleh siapa-siapa yang nampak kesusahan sekarang ini akan berkepanjangan lagi.

Mengurangkan perbelanjaan itu dengan mudahnya boleh diperbuat iaitu mana-mana perbelanjaan yang tiada difardhu patut sangat ditinggalkan. Seumpama kenduri kendara buat kahwin, berhari bermalam itu. Jika diganti dengan yang lebih mudah tiada akan meruntun darjat kehidupan masing-masing ataupun dibuat jua dengan kadarnya mengikut keadaan sekarang, tetapi dengan tiada bergadai bergolok pula.

Perkara ini mesti ditimbangkan dengan seberapa berat sebab setengah kesusahan orang kita Melayu sekarang disebabkan kerana memelihara ragam ini.

Sungguhpun tiada kecualinya di pihak bangsa-bangsa asing, tetapi mereka berbelanja daripada harta yang berlebih sahaja. Soal ini tiada pula ganjil bunyinya sebab suratkhabar-suratkhabar kita telah selalu

menerangkan perkara ini. Penulis ulangi lagi yang perkara

ini tiada berapa diamalkan iaitu masih dilakukan lagi di serata tempat, sungguhpun kesusahan zaman sekarang makin bertambah dahsyatnya.

Pertanyaan yang seumpama ini dan jua lain-lain perbelanjaan yang patut dikurangkan itu hendaklah dimesyuaratkan di antara orang-orang tua-tua tiap-tiap satu daerah masjid supaya melarat merata biaknya dengan tujuannya menyelamatkan bangsa dan watan daripada hidup dalam hutang yang berkekalan.

Tetapi yang tiada dapat dikurangkan dengan banyak ialah perbelanjaan tentang makanan dan pakaian mengikut paras kehidupan masing-masing dan persekolahan anak-anak. boleh pula diansur-ansur dengan perlahan-perlahan hingga hadnya sahaja.

Satu perdugaan yang besar sekali kepada seseorang itu ialah hendak dibiasakan berbelanja kurang jika ianya telah senantiasa hidup dengan borosnya.

Tiada upaya penulis lanjutkan perkara ini hanya masing-masing agaknya sedar sekarang bagaimana memelihara diri dengan sempurnanya dalam huru hara meleset ini. Yang penulis meminta panjangkan ialah jika ada sesuatu puak atau kaum yang masih memelihara ragam berbelanja membazir itu yang tiada boleh tahan oleh seseorang melainkan dengan persetujuan ramai, maka berharaplah pula penulis yang mereka itu berunding antaranya dan menyiasat dengan halus supaya terpelihara wang ringgit seramai daripada hilang percuma dan jua supaya wang ringgit itu dapat gunanya bagi berguna yang besar hasil dan sebagainya.

Pejabat syarikat bekerja-bekerjasama Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Selat senantiasa mengorbankan anggotanya menyiasat hal-hal ini yang berkenaan dalam seramai supaya pulih semangat Orang Melayu daripada leka dalam perbuatan yang tiada berfaedah.

Maka terdirilah perkumpulan "Memelihara Kehidupan" dan "Syarikat Kemajuan Am" dan lain-lainnya semata-mata membuka jalan supaya diturut dan diikut misalnya pada suatu kampung tiap-tiap seorang tiada berhak lebih daripada 15 ekar getah. Yang disiasatnya ialah kenapa tiap-tiap seorang itu membeli mesin getah masing-masing. jika mereka berjumlah 200 orang mesin getah dalam kampung itu berjumlah 200 juga. Pada halnya 5 buah mesin sudah memadai. Perkara seperti ini tiada dapat dikawali melainkan sudah ada sedia suatu tabiat bekerja-bekerjasama antara mereka itu.

Fikirkan sungguhpun pekerjaan-pekerjaan masing-masing itu sememangnya diberi bebas tetapi tentang perkara yang boleh memberi kebajikan kepada am hendaklah sangat bekerja-bekerjasama itu dipelihara. Jika belum dipelihara lagi hendaklah diterbitkan kerana kekurangan kita ialah daripada ketiadaan semangat itu. Betapa jalan jika kita lalaikan dan lewat-lewati.

Lebihkan Pendapatan.

Iaitu syarat yang kedua bagi tujuan rencana ini. Di sini terbitlah bermacam-macam soal jawab antara penyiasat-penyiasat kerajaan dengan rakyat.

Bagaimana pun kesusahan berlaku di sini, kita masing-masing hendak hidup jua seperti manusia yang bertamadun. Pencarian makin kurang dan peluang hendak mencari wang ringgit pun bercarik jarang. Di manakah tempat melebihkan pendapatan itu?

Hasil daripada kebun getah tiada boleh diharap sangat membantu perbelanjaan tiap-tiap bulan. Ada jua yang berkata siapa mempunyai lebih bendang dalam kampung itu ialah nampaknya senang sedikit.

Jika kampung itu bertumpu semata-mata pada hasil padi mereka pun berasa susah jua oleh sebab harga padi seperti harga lain-lain tanaman telah turun jua. Untuk keselamatan orang-orang kita yang menduduki segenap kampung tebuk dan desa, ialah mereka mesti memperhatikan di kelilingnya jalan pencarian yang belum dibuka buat menambahkan pendapatan yang kurang itu.

Kadang-kadang jalan pencarian dekat rumahnya itu ada, tetapi tiada dilakukan dengan sempurnanya. Seperti memelihara hidup-hidupan umpama itik ayam dan binatang-binatang seperti kambing lembu dan kerbau, bukannya burung-burung seperti puyuh buat peleka dan ayam sabung.

Darihal burung puyuh itu barangkali ganjil bunyinya senantiasa dilazimkan di seluruh tempat tetapi masih ada lagi kegemaran itu di mana tempat terkadang-kadang ahli-ahli berkebun meninggalkan perusahaannya kerana berlaga puyuh.

Darihal memelihara ayam sabung itu ialah suatu pekerjaan yang berkehendak si pelihara itu menjaga bersungguh-sungguh sebab tiada siapa pun berani menyebutkan jenis ubat-ubat bagi melawan penyakit-penyakit ayam yang selalu kita ketahui seperti haru tahun dan lain-lainnya yang telah membinasakan ayam-ayam di serata tempat. Penulis pun jenuh membaca majalah-majalah dan kitab-kitab bagi mana memelihara ayam dengan sempurnanya supaya beroleh laba yakni boleh melebihkan pendapatan seseorang itu. Ubatnya ialah rumah ayam itu hendaklah bersih berudara dan dapat menerima sinaran matahari dan terpelihara ayam itu daripada sejuk.

Sebab ayam itu apabila datang angin, maka ia pun menantikan belakangnya, tetapi itik menantikan kepalanya. Makanannya hendak bersih dan air minumnya jua. Apabila kita biarkan ayam itu mencetok di limbahan dan di tempat kotor tentu sekali perutnya menerima segala kotor yang membawa kuman penyakit.

Di dalam Warta Malaya Perusahaan Tanah bulan Ogos 1933, jilid yang kesembilan belas bab nombor 1, ada suatu rencana darihal penyakit-penyakit ini. Bukannya penulis meminta yang ayam-ayam di kampung itu diberi makanan seperti ayam Eropah, tetapi hanya makanan yang biasa tetapi boleh bersih.

Inilah satu jalan yang boleh melebihkan pendapatan.

Tetapi diulang lagi iaitu tiap-tiap rumah dalam kampung itu hendaklah sepakat membersihkan tempat-tempat ayam itu. Jika seorang sahaja atau dua tiga orang membuatnya maka ayam mereka tiada boleh selamat jua sebab penyakit ayam itu jangkit menjangkit tabiatnya.

Nampaknya "Syarikat bekerja-bekerjasama bagi menjual Telur Ayam" telah didirikan kebanyakan di sebelah Kerian. Tujuannya ialah supaya mendapat harga yang patut dan supaya menyukakan ahli-ahli berkebun memelihara ayam dengan faedah yang lebih sempurna. Jika maju dan biak perdugaan ini di serata kampung di dalam Semenanjung ini, barulah boleh dikatakan memelihara ayam itu satu daripada pancar air pendapatan hari-hari. Dan akhirnya negeri ini tiada payah membeli telur beribu-ribu juta dari negeri asing.

Di mana tempat kurang bendang di situ nampaknya lebih orang-orang Melayu memelihara kambing. Di Terung, Perak, tiap-tiap rumah kurang-kurangnya ada 4 ekor kambing dan baru ini penduduk kampung itu telah sedar yang mereka tiada dapat hendak bercucuk tanam di keliling rumah seperti nanas, sayur-sayuran melainkan kambing itu membinasakan rumput-rumputnya itu.

Dari sini terbitlah satu cadangan supaya kambing-kambing masing-masing itu dihimpunkan ada suatu tempat yang luas dan dijaga dengan peraturan faedah bekerja-bekerjasama. Perkara ini masih disiasat oleh mereka. Penulis sebutkan hal ini di sini supaya menunjukkan lagi satu melebihkan pendapatan.

Tetapi apa pun pekerjaan itu yang pertama sekali dipinta ialah apa-apa tujuannya membawa laba pada seramai dan pekerjaan yang demikian tiada boleh maju dengan jalan berasing-asing. Sebab dalam sebuah kampung itu boleh dikatakan semuanya sejenis kemahuan, sejenis adat sama dan sejenis belaka kehidupan mereka.

Jika sudah demikian keadaan, tidakkah boleh tabiat bekerjasama itu dalam segala cawangan pekerjaan dilakukan dengan senangnya?