![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Jul 1934, p.243-246
Feature Article.
Kepada Segala Pengarang-Pengarang Suratkhabar Melayu.
Kita tau segala pengarang-pengarang surat khabar itu mestilah berkehendakan tiga bukti yang besar dan seluas-seluasnya:
Pertama -- Tuan berkehendakan nama Tuan dikenal oleh sekalian pembaca akan Tuan seorang yang bijak bahasa yang Tuan seorang Pengarang "Editor" yang berpengaruh mengemudikan sesebuah surat khabar itu atau ini.
Keduanya -- Tuan dikehendaki banyak langganan -- bagus lakunya sebagai goreng pisang! Dengan jalan itu mengalahi segala surat-surat khabar lain.
Ketiga -- Tuan ingin segala kaum bangsa Tuan selamat daripada segala jenis penyakit -- hutang, masal, tertipu-tipu, terkongkong, hina, rendah, boros, dengki, dan lain-lain perkara yang jadi kurang, iaitu dalam ilmu kehidupan manusia dalam dunia.
Daripada tiga sebab itulah menjadikan Tuan-Tuan Pengarang bermati-mati bekerja atau mengisi suratkhabar Tuan dengan jalan sehabis-habis daya upaya, berkehendakan padat, bergementar, bergayut, berguruh, bergelombang, berdansing, bertanding, dan dan ....
Yang boleh menjadikan pembaca yang lemah jadi kuat, pembaca yang malas, menjadi rajin, pembaca yang tidur bangkot jika, pembaca yang duduk disuruh berdiri dan lain perkara dari tidak baik dikehendaki menjadi baik.
Ucapan terima kasih yang sehabis-habis tinggi patut diucapkan di atas Tuan-Tuan Pengarang yang telah berpenat lelah dengan tenaganya sehabis upaya pada menunaikan kewajipannya di atas kaum-kaumnya tetapi janganlah lupa suratkhabar Tuan itu janganglah Tuan padatkan dengan kemahuan Tuan sahaja, yakni Tuan mengeluar sendiri dan Tuan sendiri membaca, oh tidak!
Melainkan suratkhabar Tuan menziarahi bilangan puluh ribu langganan dan pembaca yang tertentu untuk membaca isinya.
Maka dari sebab Tuan berkehendakan isinya yang padat berdenting yang mana Tuan telah memasukkan ruangannya dengan segala karangan-karangan yang cerca mencerca dan tiada disukai oleh orang yang berperasaan halus. Dan oleh sebab juga Tuan berkehendakan padat isinya Tuan telah mencuba mengambil karangan-karangan orang lain buang tanda tangannya, sain Tuan punya sendiri ((orang yang asal mula mengeluarkan isi-isi yang padat itu memang ingat akan karangannya walau sebenar lama selagi ia hidup)).
Nasihat: patut Tuan-Tuan Pengarang mesti ingat jika Tuan berkehendakan melakukan pekerjaan yang demikian itu, boleh! Tetapi katalah dipetik atau dicedok dari karangan si-anu atau karangan si-polan.
Isi-isi yang padat itu walau sepuluh kali petik pun tiada mengapa jangan Tuan fikir malu -- kerana kita ini terkadang-kadang lebih baik menghebahkan fikiran orang ramai daripada fikiran kita sendiri yang kosong sahaja.
Lakunya suratkhabar Tuan dan masyhurnya nama Tuan Pengarang bukan dengan jalan seperti yang disebutkan tadi, tetapi ialah dari pengetahuan dan fikiran Tuan yang luas pandai menimbang isi sama rata dipadankan dengan pembaca-pembacanya. Yang kita dapat tau betul isi-isi suratkhabar itu mahulah ada berbagai-bagai dengan pihaknya termasuk sekali: rencana fikiran -- umpamanya kejatuhan kaum zaman dahulu, kerendahan fikiran orang Melayu, apa-apa yang patut diperbuat oleh kerajaan, dan lain-lain lagi; dan perkhabaran-perkhabaran Sport, seperti Football, Tennis, Badminton, Hockey, Volleyball, Pingpong, Cricket, Boxing, dan lain-lain yang seperti itu.
Dan perkhabaran luar negeri: perang Arab dengan Yaman, Communist di Russia, Mesyuarat Perlucutan Senjata-Senjata dan dan ...
Kiaskanlah yang lain itu juga seperti perkhabaran kampung, kritik, pemerintah negeri, perniagaan dan sebagainya.
Maka daripada segala jenis bahagian itulah dikehendaki benar Tuan Pengarang menimbangkan dengan sehabis-habis cermat. Kerana tiada jadi jika suratkhabar Tuan cenderung mengisikan kepada perkara sports sahaja atau sula ((lebih banyak)) mengisikan dengan rencana-rencana yang tinggi sahaja, ataupun leka dengan perkhabaran kampung. Hal itu Tuan Pengarang boleh timbang sendiri kalau Tuan seorang yang tiada berkecenderungan hal itu tentulah sekali Tuan tiada sudi hendak menjadi seorang pembaca suratkhabar itu berkepincangan atau jika Tuan seorang yang gemar hal-ehwal pemerintah negeri atau sukakan perkhabaran yang terjadi baru sahaja, atau Tuan hanya seorang yang asyik ugama pula!
Oleh itu, bagaimana membuatnya tiada lain Pengarang dikehendaki lebih usaha mengatur isi-isi karangan itu dengan neraca yang sama berat, mesti memikirkan yang pembacanya itu sama ramainya antara orang yang gemar pengetahuan dengan orang yang sukakan politik, atau orang yang sukakan ugama dengan orang yang sukakan perkhabaran kampung, begitu juga pada perasaan mereka-mereka ((pembaca-pembaca)) yang lain bahagian.
Misalnya, pada tahun 1927, dahulu suatu perbahasan telah disebut-sebut oleh segala Pengarang dengan terang tentang pakaian perempuan atau perempuan dengan pelajaran Barat. Tetapi pengarang-pengarang zaman ini masih itu juga yang dimuatkannya berbalik-balik -- lihat segala ruangan Kaum Ibu di serata suratkhabar Melayu, baik di Semenanjung ini atau di Indonesia sana.
Perkara ini bukan sahaja perkara yang sudah tawar atau basi, tetapi satu perkara yang sudah lapuk atau tiada hairan lagi.
Maka tentang perkhabaran-perkhabaran hari-hari nampaknya ada baik dari sehari ke sehari. Walaupun tidak begitu important seperti suratkhabar-suratkhabar orang-orang yang lebih maju.
Perkara politik, berniaga, ekonomi, dan berjenis-jenis pengetahuan baru sangat berkurangan. Surat-suratkhabar Melayu bukan tidak boleh memetik bagaimana gayanya hendak mengisi perkara-perkara itu, tetapi Pengarang sendiri sangat sibuk. Jadinya bagaimana hendakkan perkara-perkara itu -- tidak lain mesti berkehendakan penulis-penulis yang bijak dan mengerti bahasa asing.
Mereka-mereka ini pula setengahnya sangat perlu pula masanya untuk periuk nasiknya. Oleh itu bagaimana sesuatu suratkhabar itu mesti sedap jalannya ialah mesti melantik dua tiga orang penulisnya yang bijak dalam bahasa asing, pekerjaan terjemah-menerjemah dari suratkhabar bangsa asing ke dalam bahasa Melayu.
Yang kita tau orang Melayu yang hanya jika dengan pengetahuan bahasa Melayu sahaja terlalu cantik kerana tidak ada bukunya yang akan jadi menambah pengetahuan untuk dibacanya, melainkan mereka yang mengerti bahasa-bahasa asing.
Pengetahuan yang tinggi itu ialah selalu terkandung di dalam bahasa yang lebih maju, kita tau pula mereka yang mengerti bahasa asing itu tidak pulak mau menolong jika dengan balas kasihannya. Tetapi mereka mau pula berbalas dengan titik peluhnya.
Dari sebab itu, seorang Pengarang yang berkehendakan elok isi suratkhabar mestilah mengeluarkan sedikit wang khas yang untuk menyalin dari bahasa asing diterjemahkan ke dalam suratkhabar ((atau majalah)) Melayu.
Segala Tuan Pengarang-Pengarang mesti ingat suratkhabar dan majalahnya itu dikehendaki panjang umur dan disukai ramai, banyak langganannya. Jalan ketiga-tiga perkara itu berkemahiran dari fikiran Tuan Pengarang yang pandai menyulam karangan yang berharga dan sedap dan berhatikan berani, tidak gentar atas apa-apa kebenaran yang akan disiarkan dalam tulisannya yang tergantung di atas undang-undang yang tetap tidak salah.
Pengarang yang pengecut kura ((penakut)) dan Pengarang yang selalu mengirakan senang untuk menghidupkan suratkhabar dengan tulisannya dan tiada pandai menimbang isinya, maka diharap akan suratkhabarnya dikata orang sejuk, tiada bersemangat -- padahal tidaklah begitu kemahuan Pengarang itu alam asas pendiriannya yang mula-mula -- penulis-penulis ((kakitangan Pengarang)) janganlah merasa sewenang-wenangnya sahaja dengan serata pekerjaan yang diharap oleh Pengarang kepadanya.
Penulis-penulis dikehendaki menghantar karangan yang betul berharga dan perkhabaran yang betul jadi. Janganlah seperti setengah penulis yang sempit fikiran speech pula menulis perkara yang dusta atau perkara-perkara yang tiada mustahak. Umpamanya mengisi perkhabaran lembu Si-Yusuf mati, borak-borak di kedai kopi, dan hal yang seperti itu. Kerana itu tidak ada apa-apa hal yang boleh jadi hairan atau berisi untuk jadi barang yang tiap-tiap orang yang membacanya. Segala-Segala itulah yang patut ada di sisi seorang Pengarang atau penulis memikirkan dengan betul untuk suratkhabarnya -- jangan di belakang hari suratkhabar Tuan mati disalahkan orang tiada setia dengan langganannya atau orang Melayu tidak suka akan suratkhabar atau dikatakan perkara-perkara yang menyakitkan hati pembaca-pembaca yang ramai -- harap selamat panjang umur segala suratkhabar dan majalah.
Jika dengan usaha dan timbangan yang betul dari pengarangnya mengisi muat hal dalam rencananya.
top |