Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jul 1934, p.263-266

Feature Article.

Perniagaan. Guna dan Latihan Memajukannya.

Berniaga itu ialah satu daripada syarat kemajuan atau ketinggian darjat sesuatu bangsa. Bangsa-bangsa yang telah berkemajuan sangat-sangat mengutamakan tentang perniagaan, negeri Amerika Syarikat terjadi hingga seperti sekarang ialah asal-asalnya dahulu orang-orang dari Eropah berpindah dan berniaga ke sana.

Orang-orang Holanda dapat menaklukkan sebahagian besar negeri-negeri di Hindia Timur ini ialah kerana berniaga juga.

British Empire terbina kerana kuasa perniagaan juga, demikian jua kemajuan negeri Jepun, Jerman, France, dan lain-lain lagi.

Maka dari dahulu pun yang perniagaan itu dipandang tinggi oleh manusia, lebih-lebih lagi sekarang kerana segala bangsa telah tampak peri besar faedahnya, kerana berharapkan pengaruh berniaga itu makin menjadi bertambah besar dan tinggi lagi di England.

Amerika, Jerman, France, Jepun dan lain-lain negeri yang besar telah mengadakan beberapa banyak sekolah-sekolah tinggi kerana khas pelajaran perniagaan sahaja.

Mereka yang tamat dari sekolah-sekolah yang termaklum tentulah kelak akan mengurus satu-satu perniagaan yang besar dan urusannya itu bergerak dengan sempurna dan maju.

Di negeri kita ini, banyak jua kita menjumpai ahli-ahli perniagaan yang mengemudikan perniagaan di gudang-gudang yang besar. Tetapi kebanyakan daripadanya itu bukanlah penuntut-penuntut yang tamat dari sekolah perniagaan, melainkan mereka bekerja dengan kemahirannya.

Di Semenanjung ini, ahli perniagaan yang terkemuka sekali selain daripada bangsa Eropah ialah bangsa Cina. Kebanyakan mereka seperti kata kita tadi bukan kerana pelajaran di sekolah, tetapi ialah kerana cukup latihan dan kemahirannya. Ibu bapa mereka kebanyakan ahli perniagaan, dari pagi hingga santap malam mereka ada di dalam golongan perniagaannya.

Anak-anaknya, tentulah berada di dalam kedai dari kecil hingga besar dan melihatkan pekerjaan bapanya, dengan tiada sedar si anak itu makin hari makin tertanam di hatinya perasaan suka perniagaan. Manakala telah besar sedikit, mulailah si anak itu menolong menjalinkan kerajaan bapanya.

Hingga akhirnya, terasalah olehnya itu nikmat berniaga dan makinlah bertambah kuat perasaan dihatinya gemar berniaga. Lebih-lebih lagi jika perniagaan bapanya itu beruntung besar.

Seorang Cina ahli perniagaan barangkali mengadakan dua tiga orang anak yang boleh ditentukan kerja anaknya itu masa besar kelak dengan berniaga -- si anak itu pula mengadakan dua tiga cucu yang akan berniaga jua ... dengan sebab demikianlah bangsa kuning itu kebanyakan yang menubuhkan nafkahnya dengan jalan berniaga.

Kita orang Melayu tentang berniaga sangat berkurangan, usahkan berniaga yang besar-besar, menjual garam lada, rokok, buah-buahan, ikan-ikan, air batu, dan sedikit-sedikit makanan di tepi-tepi pekan itupun amat jauh ((kecuali di dalam Kelantan, Terengganu dan di mana-mana tempat yang belum berapa maju)) kadang-kadang ada jua orang Melayu mencuba tetapi entah bagaimana malapnya tak berapa lama terhenti, manakala lain-lain orang terutama anak-anak atau kaum keluarganya melihat hal perniagaan yang telah dicuba itu tak maju dan beroleh kerugian; masing-masing mereka pun menjadi tumpullah hatinya dan tak berhati hendak mencuba lagi. Saya fakir inilah satu daripada sebab yang anak-anak Melayu sangat berkurangan tentang berniaga.

Dunia sekarang senantiasa bergerak maju dan berubah-ubah, kemunduran Melayu tentang berniaga itu tak patut tinggal begitu sahaja. Kerajaan sememang ada mengambil berat tentang hal itu. Beberapa banyak pegawai diadakan untuk memerhatikan pergerakan syarikat -- di antara syarikat-syarikat itu adalah termasuk syarikat berniaga seperti berniaga getah, pinang, kelapa, telur dan lain-lain barang yang perlu.

Selain daripada itu banyak jua telah didirikan oleh ketua-ketuanya kampung dan orang-orang Melayu yang berhati Melayu -- Pasar Mingguan -- dalam kampung-kampung.

Kedua-dua pekerjaan ini tentulah akan menjadi suluh kepada anak-anak Melayu, dan mudah-mudahan dengan tidak disedar, datanglah perasaan di hati mereka mahu berniaga.

Kita fakir ada satu lagi jalan bagi memajukan perkara berniaga itu iaitulah tertanggung di atas kaum guru. Kerajaan telah mendirikan beberapa banyak sekolah buat anak-anak Melayu belajar, pelajaran yang diajar dalam sekolah bukanlah terhad kepada menulis, membaca, melukis, mengarang dan mengira sahaja.

Tujuannya ialah diajarkan apa-apa pelajaran itu yang akan menjadi bekalan pada murid-murid itu pada masa besar kelak.

Dilatih murid-murid itu menganyam supaya bolehlah kelak ia bekerja menganyam dan menjual anyamannya pada masa ia lepas dari sekolah. Dilatih berkebun supaya boleh mereka itu bertanam cucuk kelak, begitu jua dilatih bersenam, menjilid, menulis mengarang dan sebagainya.

Sekarang jika dilatih murid-murid sekolah itu berniaga tentulah kelak akan menjadi yang tertentu kepada murid-murid itu gemar berniaga.

Di dalam sekolah memang ada peluangnya encik-encik guru melatih murid-muridnya berniaga dan hal itu tidak mengecewakan waktu. Qalam, pensel, dakwat, kertas tekap, buku-buku tulis, pembaris, dan sebagainya, sangat layak diperniagakan di dalam sekolah. Murid-murid sekalian bolehlah bersyarikat mengeluarkan modal seberapa yang dikehendaki; katalah seorang murid mengeluarkan modal, 10 sen kalau 150 orang ada $15.00 dengan wang itu bolehlah dibeli benda-benda yang tersebut tadi, misalnya dibeli sedozen buku 40 sen bolehlah jual sebuah 4 sen dan beruntung dalam sedozen itu 8 sen. Pada tiap-tiap hari dikira berapa banyak laku dan berapa banyak tinggal dan berapa didapati wang tunai dan berapa dihutangkan. Tiap-Tiap bulan umpamanya matikanlah kira-kira, dan dalam setahun sekali atau dua kali ditutup kira-kira berapa banyak keuntungan yang diperolehi dibahagi pada tiap-tiap murid-murid mengikut pada modalnya.

Sebarang pekerjaan menjual dan mengira bolehlah diurus oleh murid-murid sendiri tetapi menyimpan wang, dan mengetuakan hendaklah guru mesti mengambil bahagian.

Syarikat yang seperti ini lamun usaha Cik Guru, berbanting tulang, Insha'Allah, akan menjadi maju pada masa itu bolehlah jika hendaklah dibesarkan lagi perniagaan itu.

Kita orang Melayu patut tahu sangat tabiat bangsa sendiri yakni, mereka suka meniru apa-apa kerja yang dilihatnya berfaedah atau beruntung umpama bertanam getah, siapakah yang memaksa? Melainkan mereka sendiri tiru menanam di ladang-ladangnya.

Sekarang tentulah pula manakala murid-murid sekolah itu melihat dengan matanya sendiri dan dirasanya keuntungan berniaga itu betul ada harapan akan tertanam dihatinya perasaan gemar berniaga adanya.

Saya percaya ada sekolah yang telah cuba buat demikian; tetapi sebalik berlipat ganda yang belum tampak akan jalan yang sedemikian ini! Pandulah Cikgu-cikgu!

Seri Lanang.