Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jun 1934, p.211-214

General Article.

Surat Terbuka Kepada Guru-Guru yang telah mengajar saya.

Cikgu-Cikgu:

Tentulah hairan Cikgu membaca surat ini kerana Cikgu barangkali tiada mengetahui siapa penulisnya. Saya seorang daripada murid-murid yang telah belajar di bawah tangan Cikgu dahulu, barangkali juga Cikgu telah lupa nama saya akan tetapi saya masih ingat akan Cikgu dan tidak saya lupakan nama Cikgu selama-lamanya.

Akan tetapi, ingatan dan kenangan saya kepada Cikgu itu bukanlah sangat dekat kepada ini yang telah saya dapat daripada Cikgu itu melainkan oleh sebab kemasyhuran yang amat besar hati saya di atas perbuatan dan pekerjaan Cikgu tatakala mengajar saya dahulu seperti yang saya uraikan di bawah ini:

Adakah tidak Cikgu menjalankan pekerjaan Cikgu itu seperti perjalanan jam?

Yakni berjalan jam itu kerana dikunci akan dia dan berhentilah ia manakala habis kuncinya. Saya tahu yang Cikgu membuat pekerjaan itu semata-mata kerana takutkan ketua dan pelawat-pelawat yang mentadbirkan di atas Cikgu, tetapi di belakang mereka itu Cikgu menantikan jam sahaja.

Pada fikiran Cikgu sebab Cikgu seorang daripada murid yang telah tamat daripada latihan Kolej maka tiadalah sesuatu perbuatan Cikgu itu yang menyalahi dan tiadalah sesuatu pelajaran lagi yang Cikgu tiada tahu. Pendeknya semua perbuatan dan pekerjaan Cikgu itu elok, betul dan kena belaka, dan tiada lagi pelajaran atau pengetahuan yang hendak dituntuti berkenaan dengan pekerjaan Cikgu itu hanya senang sahajalah menerima gaji selama-lamanya sehingga pencen.

Itulah sebabnya Cikgu meringan-ringankan pekerjaan Cikgu dan tiada Cikgu hirau hendak mengelok atau menambahkan pengetahuan Cikgu itu atau hendak memikir-mikir atau mencari jalan yang baru peraturan-peraturan mengajar-ajar atau seumpamanya.

Ayuhai Cikgu! Fikiran dan sangka-sangkaan Cikgu yang demikian itu salah!

Saya tahu pada masa Cikgu mengajar saya dahulu Cikgu tiada pernah menyediakan apa-apa pelajaran yang hendak Cikgu ajarkan pada kanak-kanak untuk esoknya. Dan apa-apa pelajaran kanak-kanak tiap-tiap hari pun Cikgu tiada tahu. Cikgu masuk ke bilik sekolah itu seperti masuk seorang luar yang belum pernah mengajar kanak-kanak itu. Jadinya pelajaran semalam tidak bersambung dengan pelajaran hari ini dan pelajaran hari ini tidak disambungkan dengan pelajaran esok kerana kepala Cikgu kosong tiada berisi dengan peringatan atau persediaan di atas perkara-perkara yang hendak diajar itu. Oleh yang demikian, setengah bahagian daripada masa pekerjaan Cikgu itu sia-sia sahaja. Misalnya ilmu diuntukkan 45 minit -- sementara Cikgu hendak memikirkan apa yang hendak diajar di dalam perkara itu dan bagaimana hendak diukur dan sementara hendak mengingatkan balik tentang mana yang telah diajarkan semalam dan apa yang patut disambungkan pada hari ini di dalam yang demikian itu 20 minit telah habis; begitulah kejadiannya pada tiap-tiap perkara pelajaran yang lain-lain pun.

Cikgu fikir semuanya pelajaran itu senang dan semuanya Cikgu tahu jadi tiada payah disediakan atau disemayamkan terlebih dahulu. Pada hal, tidak Cikgu memikirkan semuanya pelajaran itu baru belaka pada kanak-kanak itu dan setengahnya belum diketahui atau didengar oleh mereka itu.

Guru yang cukup pandai itu bukannya orang yang tinggi melangit pengajiannya dan penuh kepalanya dengan pelajaran dan pengetahuan bagi dirinya sahaja. Tetapi guru yang pandai itu ialah orang yang tahu bagaimana hendak memasukkan sesuatu pelajaran yang baru itu ke dalam kepala kanak-kanak dengan jalan yang sehabis-habis senang difaham oleh kanak-kanak itu walau pelajarannya sendiri sedikit sekalipun.

Pekerjaan Cikgu itu ialah seumpama orang menuangkan air daripada suatu baldi yang besar ke dalam beberapa biji botol-botol yang kecil-kecil. Jika dituangkan sekali air itu dengan cepatnya tentulah habis air sebaldi besar itu pada hal tiada termasuk air ke dalam botol-botol itu, melainkan sedikit-sedikit sahaja yang demikian sia-sialah pekerjaan Cikgu itu dan habis air itu terbuang. Fahamlah baik-baik ayuhai Cikgu akan kiasan ini.

Adapun faedah dan jasa pengajaran Cikgu itu bergantung lebih kepada persediaan atau kesiapan pelajaran lebih dahulu daripada masuk ke dalam bilik sekolah itu dan bukan kepada banyak pengajaran yang Cikgu ajarkan pada masa di dalam sekolah itu sahaja.

Dan lagi, memukul saya dan kawan-kawan yang sedarjah dengan saya kerana pada sangkaan kami bodoh tiada tahu membuat kira-kira? Pada hal adakah Cikgu fakir sendiri yang pukulan Cikgu itu adilkah atau tidak?

Pada masa itu saya masih kecil lagi dan tiada pandai berkata-kata tambahan pula takut saya kalau-kalau dikatakan saya melawan guru.

Akan tetapi sekarang saya berani berkata adalah pukulan Cikgu itu tiada patut dan tiada adil kerana pelajaran dan pengertian yang Cikgu terangkan kepada kami pada masa itu tiada cukup terang dan tiada jelas dan lebih separuh daripada kawan-kawan saya itu tiada mengerti. Sekarang baru saya percaya Cikgu tiada pandai tentang memberi erti kepada kanak-kanak. Inilah satu daripada pengetahuan guru yang saya menidakkan ilmu Cikgu yang tinggi itu!

Suatu perkara lagi yang mendatangkan musykil di hati saya yang tiada boleh saya lupakan maka iaitulah tatakala saya kena pukul kerana disangka oleh Cikgu saya jahat atau membuat bising di dalam sekolah bersama-sama dengan kanak-kanak saya yang lain-lain. Adakah Cikgu tahu bahwa kanak-kanak yang cukup sihat itu tiada sekali-kali ia boleh duduk diam dengan tiada membuat sesuatu pekerjaan terlebih-lebih lagi jika kanak-kanak itu kecil?

Bukankah bising dan hingar bingar di dalam sekolah itu suatu kesalahan Cikgu? Dan iaitu menunjukkan kelemahan Cikgu sendiri kerana kekurangan kawalan dan bukan semata-mata kesalahan budak. Jika demikian adakah Cikgu fikir adil dipukul semuanya kanak-kanak di dalam jagaan Cikgu itu? Jika Cikgu seorang yang tahu aturan kawalan yang betul tentulah Cikgu boleh dapat tangkap seseorang kepala kanak-kanak yang jahat itu dan dihukumkan dia dengan secukupnya dihadapan kanak-kanak yang ramai itu supaya menakutkan sekalian kanak-kanak yang lain. Tetapi Cikgu tiada tahu siapa yang menjadi kepala jahat yang memberanikan hati budak-budak lain pada membuat bising atau seumpamanya itu.

Adakah pernah Cikgu siasat dan ambil tahu hal kelakuan tiap-tiap seseorang daripada kanak-kanak di dalam jagaan Cikgu itu? Dan adakah pernah Cikgu ambil perhati dan camkan resmi kanak-kanak itu dan bagaimana perjalanan otak kanak-kanak itu?

Bukannya semua kanak-kanak itu serupa akhlak* tabiat kejadiannya dan perjalanan otaknya. Setengah kanak-kanak itu bodoh tetapi perangainya baik tabiatnya pemalas pula. Demikianlah bersalah-salahan kesemuanya. Ada setengah pula lambat mendapat tetapi apabila dapat tiada senang ia lupa sehingga beberapa lama adanya.

Inilah suatu pengajian yang patut Cikgu kaji daripada kanak-kanak itu sendiri yakni pengajian tentang hal tabiat dan kelakuan kanak-kanak itu tiada boleh didapati daripada kitab-kitab melainkan dengan perhati, siasat dan dicamkan daripada keadaan kanak-kanak itu sendiri. Dan jangan Cikgu fakir kanak-kanak sahaja boleh belajar daripada guru tetapi guru juga boleh belajar daripada kanak-kanak. fahamlah kiranya ayuhai Cikgu akan perkataan ini.

Kerapkali bising di dalam sekolah itu disebabkan oleh jemu dan jelak hati kanak-kanak kepada pengajaran Cikgu itu. Yakni otak kanak-kanak itu telah menjadi tumpul dek aturan mengajar Cikgu itu tiada berubah-ubah, itu-itu juga berhari-hari, berbulan-bulan, sehingga selama-lamanya. Bahwa otak manusia itu tabiatnya berkehendakan benda baru selalu. Yakni berubah-ubah pada benda yang disukanya itu. Jika keras juga hati Cikgu menjalankan aturan yang lama dan tua itu, dengan tidak dicuba ubahkan sedikit-sedikit nescaya berlawananlah Cikgu dengan kemauan tabiat kanak-kanak itu.

Misalnya, jika Cikgu tiada tahu mengajar kira-kira lain daripada jalan yang Cikgu sendiri telah belajar masa Cikgu mengaji sekolah dahulu, janganlah dihukumkan kanak-kanak itu bodoh dan janganlah disalahkan kanak-kanak itu. Tetapi cubalah Cikgu belajar sendiri pula bagaimana jalan hendak memasukkan sesuatu pelajaran itu ke dalam otak kanak-kanak dengan jalan yang sehabis-habis munasabah dan yang sehabis-habis senang pada otak kanak-kanak. Demikian juga pada mengajar mengarang, ilmu alam, dan semua perkara yang lain-lain.

Yang saya ingat-ingatkan saya pada masa saya mengaji sekolah dahulu adalah sekolah itu seperti suatu penjara adanya. Kerana tiada suatu pelajaran yang memberi kegemaran dan yang membukakan perasaan suka di dalam hati saya akan pengajaran Cikgu itu, tambahan pula perangai Cikgu itu sememang bengis pada kanak-kanak.

Saya menulis ini bukan dengan tujuan hendak mengajar Cikgu kerana Cikgu memang lebih banyak ilmu -- maklumlah penuntut dari Kolej Tanjung Malim -- tetapi yang lebih-lebih ingatan di hati saya ialah supaya kanak-kanak yang belajar pada Cikgu sekarang ini janganlah mendapat seperti nasib saya dahulu. Disudahkan dengan salam daripada

Murid Tua.