Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, May 1934, p.132-136

General Article.

Agama Islam dan Kemajuan.

Bahwa tak seorang jua pun umat Islam yang berada di atas muka bumi ini mengatakan agamanya Islam itu salah dan mudarat, bahkan segala mereka itu menerima dengan segala senang hati dan mengaku dengan sebenarnya adalah iaitu suatu agama yang sudah terzahir akan kebenarannya dan sangat-sangat patut dipegang kuat.

Islamlah ugama yang membawa segala pengikutnya kepada setinggi-tinggi martabat manusia, yakni berkehendaklah ia akan pengikutnya jadi mulia di dalam dunia dan akhirat. Menurut sebagaimana maksud yang di atas ini, bahwa terbebaslah tiap-tiap umat Islam menurut dan melakukan segala cita-cita dan fikirannya supaya mencapailah ia akan martabat yang tinggi dan nama yang masyhur. Bahkan terbukalah tiap-tiap pintu daripada sesuatu kepada jalan yang mulia.

Di masa ini, apa jua yang terlintas dihadapan mata kita daripada perubahan dunia kepada kemajuan baru yang mana telah meninggikan nama dan darjah tiap-tiap seorang yang telah menyempurnakan kewajipannya itu adalah iaitu suatu daripada perkara yang dikehendaki oleh agama yang sebenar. Umpama kemajuan-kemajuan kapal udara, radio, wayang-wayang gambar bercakap, dan lain-lain itu; adalah diluluskan akan dia oleh agama.

Bahkan kebebasan perempuan-perempuan yang masih sempit lorongannya di dalam golongan bangsa kita khasnya dan umat Islam amnya itu pun memang dibenarkan oleh perjalanan agama yang suci; asalkan adalah maksudnya itu menuju kepada mulia. Dan bersalahan dengan kehendak-kehendak ulama yang menyekat akan kebebasan itu dengan menggunakan perkataan; dimerosakkan ugama bagi perisinya.

Sekarang mari kita lihat rata-rata dan datangkan sesuatu soalan: adakah seseorang umat Melayu yang terkeluar daripada lingkungan agama Islam yang membawa pengikut-pengikutnya itu kepada mulia?

Tak seorang jua pun.

Tentulah ini dia jawapan tiap-tiap orang, jadi di sini beranilah kita mengakukan umat kita semuanya sekali mulia dan telah dapat menyempurnakan segala fikirannya: tetapi adakah sebenarnya sebagaimana perkataan yang di atas tadi; yakni orang Melayu telah dapat menyamai akan kemajuan bangsa-bangsa Eropah, Amerika dan Jepun itu?

Oh! Belum lagi!

Orang Melayu masih jauh di belakang tirai kemajuan jauh benar lagi di belakang bangsa-bangsa asing. Kemajuan Melayu masih pukul lima pagi. Hairan! Hairan! Orang yang memeluk agama Islam baru sahaja mahu bangun pada halnya agama menyuruh jadi mulia dan berguna kepada dunia bukannya pada waktu telah fana esok. Jadi sekarang bagaimanakah letaknya masalah ini?

Adakah agama yang bersalah atau pengikutnya?

Diharapkan tuan-tuan pembaca yang bijaksana sudi menghilangkan sedikit masanya untuk memikiri akan perkara ini supaya kita boleh berpuas hati dan dapat jalan agama yang sebenar-benarnya dan diharapkan boleh terbuka jalan kemajuan bangsa kita.

Dengan membandingkan kemajuan dunia dan menepati akan tiap-tiap pergerakan umat Islam, bahwa terzahirlah dihadapan mata kepalanya kita bahwa adalah kita umat Melayu ini beragama dengan Islam yang kedua ((tetapi bukan semuanya sekali)) yakni agama Islam yang baru dizahirkan oleh setengah daripada ulama-ulama yang telah mengembangkan agamanya pada kita di dalamnya beberapa ratus tahun dahulu dan di sinilah terletaknya masalah kejatuhan bangsa kita Melayu khasnya dan Islam amnya.

Islam I.

Agama Islam telah terzahir lebih seribu tahun dahulu, iaitu telah dikembangkan oleh nabi kita Muhammad dari masa zahirnya ugama itu hingga pada tahun masehi 1000, lebih kurang, adalah ia ini tersangat mulia dan segala pengikut-pengikutnya adalah di dalam keadaan yang sempurna dan mempunyai kelebihan yang tidak ada bandingannya di dalam dunia sekarang ini. mereka hidup dengan kebebasan yang mulia kerana mereka hanya berpegang kepada Quran jadi ikutannya. Dengan sebab itu, terbukalah hati umat Islam pada mencapai seberapa faedah dunia dengan menurutkan kebebasan pekerjaan masing-masing.

Beberapa ribu kitab pelajaran yang lain yang telah dikarangkan oleh orang-orang bijak mereka dengan maksud menambahkan pengetahuan dan ketinggian martabat bahkan separuh daripada kitab-kitab mereka itu datang sekarang ini masih tersimpan di dalam khutub khanah di England, iaitu kitab ilmu al-falak, ilmu hisab, ilmu falsafah, ilmu geometry, algebra, ilmu tabib, ilmu perniagaan dan lain-lain.

Yang mana sekarang buku-buku itu telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Eropah, kerana buku-buku ini telah membawa kemajuan yang tinggi kepada segala pembacanya.

Dengan kebenaran agama Islam orang-orang yang ada pada masa itu telah meninggalkan segala sangkaan yang karut-karut pada hati mereka seperti percayakan hantu syaitan dan lain-lain. agama itu telah menyerap dengan serta merta sampai ke India, ke Afrika, dan sebahagian besar daripada Tanah Eropah yang mana boleh dikatakan lebih daripada separuh ketua-ketua ugama Buddha, Hindu, Kristian dan Zoroaster dan lain-lain ugama telah mengikut agama Islam.

Islam II.

Semenjak itu ((bila Islam telah cukup kembang dan banyak ketua-ketua ugama lain telah memeluk ugama Islam)) adalah perjalanan ugama Islam telah mulai terpesong daripada perjalanannya yang sebenar; kemuliaannya telah kurang, dan pemeluk ugama itu telah bersalin isi yang disebabkan oleh salah pembawaan atau penganjur ketua-ketua agama yang ada pada masa itu ((kemudian daripada tahun masehi 1000)). Segala kepercayaan yang sia-sia yang telah berakar berumbi di otak tiap-tiap orang India, Afrika dan Parsi dahulu telah terbawa dan merosakkan perjalanan Islam yang sebenar.

Pada masa yang demikian, berbangkitlah kuasa ulama-ulama baru yakni ketua-ketua ugama asing yang baru memeluk agama Islam itu dengan serta merta, mereka berkuasa sebagaimana ia seorang ulama ugama Buddha atau Zoroaster yakni mereka mengaku iaitu wakil atau ganti Nabi dan dipaksanya segala umat Islam bahkan rajanya mesti taat akan apa-apa jua perintah daripada mereka, kerana iaitu wakil-wakil Allah Taala di dalam dunia ini.

Quran tidak diperhatikan sangat, tetapi dibaca akan dia sebagai sebuah buku cetera dewa-dewa sahaja. Kebebasan fikiran yang menggunakan buku-buku pelajaran seperti ilmu doktor pelajaran yang seperti itu tidak boleh disimpan lagi. Hal yang demikian telah berlaku pada tahun masehi 990 lebih kurang masa Amir al-Mansur telah memerintah negeri Spain. Ketua-ketua ugama di sana telah menuduhkan raja itu murtad kerana ia suka membaca-baca kitab pelajaran yang bilangannya tidak kurang daripada 400,000 buah di dalam librarinya sendiri. Amir ini tiada kuasa mendengarkan tuduhan yang seperti itu dan hatinya telah lemah buku-buku itu diserahkannya sahaja ke tangan ulama-ulama itu supaya dikerjakannya apa-apa maksudnya.

Dengan suka hati buku-buku itu diterima oleh Tok Ulama dan dibakarnya dengan percuma sahaja.

Kezaliman ulama-ulama yang demikian tidak akan menghairankan fikiran kita, kerana ulama-ulama yang berkelakuan yang demikian itu ialah ulama-ulama India dan Parsi, yang mana tidak dapat akan pengajaran Islam dengan sebenarnya, tetapi adalah ia bercampur dengan kepercayaan ugama Buddha dan Zoroaster, yang selalu mengingatkan adalah kelebihan dunia ini ialah suatu kehinaan dan orang yang berusaha dengan dunia ini dipandangnya hina kerana itulah ulama-ulama mereka meyuruh pengikut-pengikut selalu mengerjakan adat sahaja kepada Tuhan, menjadi zahid itu adalah sangat-sangat dipuji-puji; segala hantu syaitan sangat dipercayai oleh mereka. Pendeknya adalah pekerjaan meninggalkan dunia itu memang dikehendaki oleh agama Islam II.

Di dalam ini, ketua-ketua ugama berkuasa mengampunkan dosa seseorang tiap-tiap seseorang. Mesti taat kata ulama apa-apa kitab pun mesti dituruti dengan tiada satu soal hal yang sedemikianlah telah menutupkan mata hati tiap-tiap Islam daripada menurutkan kebebasan fikiran masing-masing.

Ulama al-Sufi adalah bertambah-tambah bilangannya dari satu masa ke semasa. Mereka berjalan dari setempat ke setempat dengan syarahannya meninggalkan dunia tetapi mahulah membanyakkan dikir kepada membanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan ulama jua -- supaya dapat pahala.

Ulama-ulama ini telah mengeluarkan beberapa racun bangsa pula untuk membunuh manusia -- yang memandang dunia dengan kata adalah setengah daripada alamat dihinakan oleh Tuhan bagi hamba itu disampaikan segala hajatnya di dalam dunia ini dengan segera. Mereka suka manusia duduk berkumpul-kumpul di masjid dengan buah tasbih masing-masing dan tahlil banyak untuk melepaskan siksa kubur akan seseorang.

Dewasa yang demikian tiga kitab sahaja yang diajarkan oleh ulama al-Sufi iaitu fikah, usuluddin, dan tasawuf, ulama yang lain-lain semuanya haram belaka. Di dalam masa inilah agama Islam itu telah terpelancut ke Tanah Melayu dan ulama Melayu. Di antara tiga jenis ulama itu ulama tasawuf itulah yang digemari oleh umat Melayu, kerana ulama itu bersetuju dengan tabiat kemalasan.

Maka kebencian yang besar bagi mereka itu ialah menuntut kekayaan dan kemuliaan dunia. Maka cita-citanya pula ialah mahu memiliki bidadari syurga sahaja, biarlah hidupnya di atas dunia ini jadi hamba orang pun tak jadi apa.

Sekarang dijemput tuan-tuan pembaca memikirkan perkataan ini adalah kejatuhan dan kerosakan agama yang sebenar itu ialah kejatuhan dan kerosakan kemajuan bangsa.

Di sini mengetahuilah kita adalah kemajuan Melayu khasnya dan kaum Islam amnya telah tergalang oleh tunggul agama yang karut!

Agama melarang pada mempelajari ilmu-ilmu dunia perniagaan, ilmu ekonomi, ilmu jentera, ilmu peladang, ilmu .... lain-lain yang membawa kepada martabat yang tinggi, dengan alasan perkataan haram dan murtad kepada sesiapa yang mengusahakan dia. Kebebasan fikiran dan kaum bangsa tersekat, didikan tentang jimat cermat, sayangkan tanahair dan menperhargakan diri dengan jalan kemuliaan yang sebenar telah tersekat juga diri dengan jalan kemuliaan yang sebenar telah tersekat juga atau telah gelap sama sekali oleh agama Islam yang kedua.

Hassan Mannan.

Kata Pendita:

Segala Kemajuan itu berasas ugama yang benar.