![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, May 1934, p.180-182
General Article.
Membuka Jalan Kemajuan Kampung.
Berkata itu lebih senang daripada membuatnya, begitulah saya akan merencanakan jalan-jalan seperti di bawah ini berfasal, kalau-kalau ada orang mahu membuatnya; sekiranya tak mahu, diamlah sahaja ditunggulah sahaja Hari Kiamat.
Adapun kemajuan kampung atau sesebuah mukim itu sedalam penyelaman saya ialah bergantung di atas beberapa perkara seperti disusunkan ini:
1. Ketua Kampung yang dikatakan Penghulu itu hendaklah terpilih kepada anak-anak yang berpelajaran barangkali jua tidak berapa harus kepada keturunan ((Baka)) Penghulu di tempat itu melainkan jika cukup pelajarannya haruslah boleh dijadikan Ketua Mukim itu. Jika tidak, nescaya kemajuan di mukim itu nanti tersekat dan jahanam sama sekali.
Sebab-sebabnya, jika Ketua bodoh dan kurang pengetahuan itu ditakuti ianya senantiasa hatinya cemburu dan bimbang kepada orang-orang yang lebih pandai, takut kalau-kalau jawatannya itu direbut olehnya. Bersalahan sekiranya ia pandai tiadalah apa-apa kebimbangannya. Oleh itu besarlah faedahnya kepada Ketua yang berpelajaran.
Seorang yang diketuakan di tempat itu memanglah penuh harapan kerajaan, demikian semua anak-anak buahnya akan memberi pertunjukan jalan-jalan kemajuannya. Tetapi jika ia senantiasa belot, nescaya pertunjukan kebajikan itu tertutup sama sekali; ialah dari kerana kejahatan dirinya sendiri.
2. Ketua Kampung itu berkehendakan orang yang kaya dan banyak harta supaya anak-anak buahnya tidak disakitinya kerana meminjam atau berhutang dengan tiada berbayar, akhir kesusahannya itu sampai kepada pengetahuan kerajaan jua dan kerapkali pula jawatannya rosak binasa, boleh juga mereka itu memecahkan amanah wang kerajaan sebagaimana kerapkali didengar.
3. Ketua Kampung ((Penghulu)) itu patutlah diambil dikari [?] tentang kemajuan mukimnya seperti tersebut di bawah ini:
b. Kemajuan bertanam kelapa, sayur-sayuran ((makanan-makanan)) dengan tiada payah membeli dari Cina. :
c. Kemajuan pelajaran ugama dan sekolah ((dunia)) :
f. Kemajuan anak-anak buahnya; adakah banyak memegang jawatan kerajaan iaitu termasuklah sama sekali menjadi askar dan mata-mata.
4. Guru-Guru Sekolah Melayu itu hendaklah berbahasa dan taat serta hormat kepada penghulu-penghulu di mukim itu dan jadikanlah guru-guru Melayu itu hamba kaumnya; jangan sekali-kali berhati besar dan ikutlah pedoman guru. Jika tidak, tak dapat tiada guru-guru itu menjadi seperti kera sumbang pula.
5. Anak-anak kampung yang sudah memegang jawatan kerajaan atau makan gaji setahun sekali pada Hari Raya Puasa atau Haji patutlah adakan lawatan ke rumah Datuk Penghulu itu atau adakan Majlis Perjumpaan dan Majlis itu hendaklah dihiasi dengan jamuan. Maka mengadakan jamuan itu jangan sekali dikenakan kepada Datuk Penghulu itu terkecuali ia sendiri hendak membantu istimewa pula orang-orang kampung, tak usahlah diusik. Ajaklah sahaja makan dan mendengar syarahan dan kegunaan perjumpaan itu. ((Hal ini penulis sendiri sudah mencuba beberapa kali didapati faedahnya sangat baik)).
6. Anak-anak Mukim itu yang mana makan gaji dan berpelajaran patutlah ingat akan watannya masing-masing dan patut tinggikan tempat tumpah darahnya sendiri oleh itu patutlah tiap-tiap seorang beryuran, kerana mengadakan "Taman Bacaan" di kampungnya itu buat menyokong khutub khanah di sekolah Melayu itu, supaya orang ramai di kampung kita dapat bercantik-cantik dengan buku-buku bacaan atau surat-surat khabar dan majalah-majalah. ((Cita-cita ini sudah lama penulis usahakan dengan senang berhasil sedikit-sedikit)).
7. Apakala seseorang gemar hendak menjalankan kemajuan kampungnya itu hendaklah ia berperangai lemah lembut dan beradab sopan sama ada dengan laki-laki dan perempuan. Demikian pula tua dan muda. Maka hendaklah menjauhi perbuatan yang sial-sial seperti penjudi dan persundalan ((dengan sebab itu segala pemuda-pemuda yang tiada dapat mengelakkan kepada perjudian dan keperempuanan belum dapat menjadi penganjur bangsa yang sebenar)).
8. Seorang yang hendak menjadi pembongkar jalan kemajuan kampungnya itu hendaklah ada berasa kemodalan -- kehormatan -- kesabaran -- kemuliaan -- kepangkatan -- kepengetahuan -- kelurusan -- kecontohan -- kebangsaan -- yang tiada berkeputusan dan kesanggupan apa-apa yang dikerjakan adanya.
top |