malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Nov 1934, p.403-404
General Article.
Pemberitahu Wajib diPerhatikan.
Dimaklumkan kepada sekalian ahli-ahli langganan dan wakil-wakil Majalah Guru.
Dimulai dari keluaran Majalah Guru bulan ini, hingga yang akan datang, adalah Majalah Guru tiada akan dikirimkan lagi kepada segala langganan dan wakil-wakil yang mintak kirimkan lebih dahulu dengan percuma, tetapi dikirimkan kepada segala wakil-wakil dan langganan yang meminta itu dengan syarat mengirimkan wang terlebih dahulu.
Bagi segala wakil-wakil dan langganan yang masih bersangkut-paut berkenaan wang dan sebagainya dengan Majalah Guru dalam hal urusan yang telah lalu diminta dengan setinggi-tinggi harapan tolonglah jelaskan dengan seberapa segera.
Kita akan berhenti daripada mengirimkan majalah ini lagi kepada Tuan -- hingga sampai Tuan telah jelaskan segala-segalanya dan hingga Tuan minta Majalah Guru lagi berserta dengan wang terlebih dahulu barulah kita kirimkan balik kepada Tuan.
Jika segeranya tuan-tuan yang tiada dijelaskan hutangnya kepada kita dan membuat leceh -- sukakan membaca Majalah Guru tetapi liat membayar hingga sampai tempoh yang ditetapkan oleh pengurus kita ((Manager)). Maka akan kita tuntut sebagaimana seorang yang menuntut piutang.
Kepada segala pengirim karangan.
Karangan-karangan memang banyak kita terima dan banyak pula setengahnya tiada kita isikan ke dalam majalah ini. Oleh sebab isinya tiada berapa penting dengan perjalanan Majalah Guru isi-isi majalah ini walaupun dipunyai oleh guru-guru tetapi isi-isinya semenjak diterbit di Kuala Lumpur ((bukan dari Kuala Lumpur sahaja tetapi masa di Seremban pun)) kebanyakan diisi oleh orang yang bukan guru.
Guru-Guru banyak juga yang telah menghantar karangan kepada kita, tetapi entah apa kenanya melecet sahaja isi-isinya -- kosong -- walaupun begitu lemahnya pengetahuan guru-guru itu maka tentang mengumpat keji dalam surat-surat khabar mereka sangat sedap itulah selalu membawa tiada berapa berguna manakala mereka itu mengarang dalam karangan yang mengandung fikirannya sendiri berkehendakan cakap yang lembut dan bersih serta berhati tenang.
Tentang ini sepatutnya sudah sampai masanya kita melihat yang guru-guru itu boleh menghantar karangannya yang berisi dan penting dengan pelajaran, pengetahuan, kesihatan, kemajuan dan lain-lain perkara yang difikirkan baru dan wajib diketahui oleh orang ramai.
Selalunya kita memberi kenyataan kepada sesiapa yang hendak mintak masukkan gambar ke dalam majalah ini hendaklah dikirimkan selewat-lewatnya 10 haribulan; akan tetapi dari bilangan ini kita minta kirimkan gambar itu selewat-lewatnya satu haribulan hendaklah sampai kepada kita, jika lewat dari tarikh itu, akan dimuatkan pada lain bilangan.
Sebab-sebabnya begitu kerana kita bagi pihak anggota yang mengurus majalah ini telah bekerja lain sedikit dari masa yang sudah-sudah semenjak diterbitkan di Kuala Lumpur. Urusan yang akan datang kita bekerja lebih cepat -- lekas siap! Barangkali tuan-tuan pembaca boleh dapat membaca Majalah Guru sebelum sampai satu haribulan Inggeris lagi, harap diperhatikan benar segala yang kita sebutkan di atas.
top |