Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1934, p.420-423

General Article.

Pujangga Melayu.

Riwayat Abdullah Munshi, pengarang pertama di Semenanjung sudah banyak benar dituliskan orang tentang riwayat Abdullah Munshi itu pengarang yang pertama di Semenanjung. Kitab-Kitabnya sampai kini masih terpakai dan menjadi pedoman yang baik.

Kita banyak membaca huraian tentang diri beliau itu yang menggelikan; adalah setengah penulis di Indonesia mengakui bahwa Abdullah Munsyi itu asalnya dari Bangkahulu!

Tetapi kalau kita baca penuturan di dalam "Malacca Guardian" kita ketahuilah persangkaan itu salah, riwayat beliau yang sebenarnya adalah sebagai berikut:

Ingat-ingatan dari pekerjaan Munshi Abdullah, sahabat Sir Stamford Raffles yang akrab -- pemimpin kepada pegawai-pegawai British -- guru Bahasa Melayu kepada orang-orang Eropah dan Paderi-Paderi dan penterjemah di Anglo-Chinese College, dan lain-lainnya.

Satu peringatan baginya dikehendaki: barangsiapa yang mengambil tahu tarikh Melaka nescaya diketahuilah siapa dia Munshi Abdullah itu dan pekerjaannya yang berbahagia kepada orang-orang Melaka dan Government British apa-apa yang telah diperbuatnya telah dituliskan dalam kitab-kitab tarikh bagi Melayu.

Munshi Abdullah telah diperanakkan di dalam tahun 1791 ((?) di Kampung Pali Melaka dan keturunannya dari bangsa India.

Adalah kampung Pali itu nama yang lama, sehingga sekarang masih lagi diketahui oleh orang-orang Islam di kota itu. Adalah kedudukan itu dari Goldsmith Street hingga ke Temple Street.

Keturunannya dari Nagore dan ayahnya telah diperanakkan di Melaka. Munshi Abdul Kadir dan ia telah berniaga di segenap negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu.

Kemudian ia menjadi guru ugama dan guru sekolah Melayu. Munshi Abdullah telah dipelihara oleh ayahnya dengan sempurna dan ia mengikut pekerjaan bapanya menjadi guru sekolah.

Apabila Sir Stamford Raffles masuk ke Melaka, Munshi Abdullah telah dipanggil menjadi juru bahasa dan jurutulis kepada Raja-Raja Melayu berkenaan dengan pemerintahan negeri.

Dia menjadi sahabat Raffles yang akrab dan kepada lain-lain pegawai juga. Apabila Raffles hendak pergi berjumpa dengan Raja-Raja Melayu, Munshi Abdullah dijadikan utusan kerajaan. Apabila Singapura telah didapati oleh Raffles, Munshi Abdullah membantu dengan pekerjaan luar biasa kepada kerajaan British ialah seorang sahaja yang telah memberi perkhabaran-perkhabaran kepada pegawai-pegawai British berkenaan dengan segala rahsia Raja-Raja Melayu bagaimana kehidupan mereka, kuasa perintahan, adat-adat Melayu dan perasaan orang Melayu kepada British.

Nasihat yang Lurus.

Berkenaan dengan kerajaan Melayu Munshi Abdullah menjadi penasihat ugama lurus kepada pegawai-pegawai British dan memberi beberapa pertolongan yang berharga dan pimpinan pegawai British apabila mereka melawat kepada Raja-Raja Melayu.

Waktu Anglo-Chinese College telah diadakan di Melaka, Munshi Abdullah memberi pertolongan yang berharga bagi membetulkan terjemah kitab-kitab Kristian ke dalam Bahasa Melayu dan begitu juga menjadi guru Melayu kepada Paderi seperti Tuan Morrison, Tuan Milne dan Tuan Thomsen, berkenaan dengan waktunya kepada tuan-tuan yang berhajat ini Munshi Abdullah telah dikata oleh kaumnya sendiri kerana rasa iri kepadanya dengan gelaran Abdullah Paderi.

Apabila perkakas cetak telah dibawa ke Melaka oleh Anglo-Chinese College, Munshi Abdullah menjadi suatu daripada anggota yang mengusahakan pekerjaan itu berkenaan dengan karang-mengarang Melayu dan kitab Melayu.

Pekerjaan-pekerjaannya yang berharga kepada negeri itu, kepada pegawai British dan Anglo-Chinese College tiadalah boleh dikira-kira akan kitab-kitab yang ditulis-tulis telah menjadi kitab-kitab bacaan dalam sekolah-sekolah Melayu di dalam Semenanjung, berapa lama sudah, dan namanya mashyurlah sudah kepada orang-orang Melayu.

Kita berdukacita sebab oleh namanya tiada diingat dengan sempurna oleh pihak yang berkuasa di Melaka. Sehingga di Singapura dan lain-lain tempat orang-orang Islam yang berkhidmat dalam jasanya kepada kerajaan telah dimuliakan, namanya telah diangkat seperti memberi nama-nama jalan dengan nama-namanya.

Jika sekiranya nama Munshi Abdullah hendak dihidupkan lagi supaya jadi ingatan yang baik kerana pekerjaan yang berbahagia itu, Goldsmith Street hendaklah dinamakan Munshi Abdullah Street kerana dia telah diperanakkan dan dipelihara di sana, adalah nama Goldsmith Street itu tiada berpadanan oleh kerana tiada pun suatu kedai tukang emas di sana. Alangkah eloknya sekiranya Malacca Historical Society mengambil tindakan berkenaan dengan perkara itu dan menyebabkan ketua-ketua negeri menghubungkan nama itu seperti yang dicadangkan.

Demikianlah bunyi tulisan itu. Masa sekarang pengarang-pengarang di Indonesia dan Semenanjung sudah banyak; tetapi pekerjaan sebagaimana dilakukan oleh Munshi Abdullah itu belum banyak yang melakukannya. Munshi Abdullah membuat catitan tentang semua sekali pengalaman, penglihatan, pendengaran dan fikirannya. Sehingga membaca kitab-kitabnya itu dapatlah kita membuka rahsia di belakang layar Tanah Semenanjung di zaman yang lampau! Sekarang terus terpakai di sekolah-sekolah Melayu Semenanjung kerana besar benar faedahnya.

Sayang jejak Munshi Abdullah ini tidak banyak diikuti oleh putera Semenanjung, tetapi sekali pun begitu dengan kedatangan kaum yang terpelajar -- yang keluar dari Mesir dan England, lambat laun satu pembangunan kesusasteraan Malaya akan memancar di cakerawala.

Di Indonesia gerakan baru sudah mulai kita membentuk bahasa moden sendiri. Indonesia yang hidup, artinya boleh ia gemuk dan tembam sebetulnya, menurut pendapatan kita besar sekali keuntungannya memakai huruf Latin ((English Characters)) daripada huruf Melayu kalau hendak maju dan memodenkan kesusasteraan kita.

Indonesia dan Semenanjung sekarang adalah benua yang disinggahi oleh kapal-kapal dari segenap ceruk dunia, sehingga tidak bahasa Arab sahaja yang harus kita ketahui sepatah dua melainkan segala bahasa dunia juga.

Di masa Munshi Abdullah bahasa yang mencampuri Bahasa Melayu kebanyakan Portugis, Inggeris dan Belanda, selainnya Sanskrit dan Hindu. Tetapi kini sudah berubah.

Saying perubahan-perubahan yang datang itu tidak lekas diterima di sebelah Semenanjung, tidak sebagaimana di Indonesia. Akhbar "Majlis" pernah mengatakan bahasa suratkhabar dengan huruf Latin di Semenanjung tak biasa hidup kerana tak disukai, berpuluh sudah masuk keliling kubur.

Sebab itu, sampai sekarang tetap memakai huruf Melayu, sebab itu pula kita dapati Renaissance di dalam kesusasteraan perlahan benar maranya; sebahagian besar adalah menurut cara lama juga.

Kalau di sebelah Indonesia banyak sudah cara moden di dalam karang mengarang seperti Syair, Seloka, Pantun, Sonnetta, Gurindam dan lain-lainnya, di sebelah sana orang bersyair adalah menurut style dahulu juga.

Memang mengubah style itu amat payah, selalu huruf Melayu terus dipakai. Seorang sebagai Munshi Abdullah hendaklah lahir di antara putera Semenanjung. Seorang yang menyemarakkan kesusasteraan Melayu lama ditunggu-tunggu oleh penduduk di Indonesia!

Port Deli.