Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Oct 1934, p.367-371

Feature Article.

Bencana Berhutang dan Bagaimana Jalan Menyelamatkannya Terhadap kepada Belia sekarang.

Ketahuilah ayuhai saudaraku yang bijaksana betapa riang dan senangnya seseorang yang tiada dia menanggung bebanan hutang.

Merekalah ada ghalibnya hidup dalam segala kesukaan, kesenangan, kesihatan, keuntungan dan keamanan.

Ringkasnya kalau kita perhatikan mereka yang hidup berhutang, tidaklah lepas mereka itu daripada beberapa sengsara kepayahan dan kesusahan yang senantiasa menimpa di atas diri mereka itu tiap-tiap waktu dan zaman kerana kerap kali kita lihati rumah-rumahnya tidak berhenti Si Pak Hitam Group Roll atau Pak Kuning meminta hutang-hutangnya itu seolah-olah Malaikat al-Maut yang datang ....!

Maka dengan penuh hemah dan perasaan hati saya menghuraikan setengah daripada natijah, orang yang berhutang dengan ringkasnya:

1. Hilang kesihatan dan nyawa.

Orang yang berhutang itu tidak pernah didapati sihat tubuhnya dan aqalnya, kerana tiap-tiap waktu terpaksa ia memikirkan dikepalanya bagaimana hal dirinya itu akan terlepas daripada mempungutnya itu. Setengah kita dapati kurus kering badannya daripada kurang nafsu makan dan kurang tidur -- terlentang di tempat-tempat tidurnya berfikir mencari ikhtiar bagi menyelamatkan namanya daripada cacat sebutan orang-orang lain yang akan mengetahui hal hutangnya itu. Ada juga orang yang berhutang itu menjadi gila. Lebih dahsyat lagi kita telah terbaca dalam segala surat-surat khabar di Eropah dan Amerika yang ada merekakan puluh atau ratus manusia membunuh diri kerana berhutang.

2. Hilang Harta dan Rumahtangga.

Manakala seseorang tiada daya upaya lagi membayar hutang-hutangnya itu sebab sudah terlampau banyak atau berganda-ganda interestnya ((bunganya)) maka terpaksalah dilelong harta bendanya dan terkadang-kadang rumahtangganya sekali.

3. Hilang Amanah dan Setia.

Apabila seseorang itu telah hilang harta bendanya dan jatuh ia ke dalam bilangan yang kerap kepada maka hilanglah kepercayaannya dan kesetiaannya kepada sekalian sahabat-sahabatnya dan juga orang yang berdekatan kepadanya.

4. Hilang berkata Lurus.

Sanya orang yang berhutang dialah orang yang senantiasa berkata dusta jarang didapati ia berkata dengan terus terang atau benar. Bahkan lazimnya kalau ia berhutang dengan seorang Towkay Cina umpamanya. Berjanjilah ia kepada Towkay itu dengan berkata "Jangan lu takut Towkay, besok gua bayat". Manakala Towkay itu datang lagi kepadanya berkata ia pula kepadanya, "Gua manyak susahati Towkay, tak lapat bayat ini hari, kelana gua punya getah belum lagi juat. Lusa lu datang Towkay".

Hari lusa sampai, Towkay itupun datang menunggu datang ke rumahnya atau balainya. Kemudian disuruh anaknya atau khadamnya menganjurkan kepadanya "Towkay, Towkay, gua punya Pak tak-ta lumah!".

Demikianlah helahnya tiap-tiap masa berkata dusta kepada orang yang dihutangnya.

5. Hilang Kesukaan Anak Isteri.

Sanya manakala seorang bapa dalam satu kaum pembeli telah berhutang yang membawa kehilangan kepada harta atau rumahtangga, maka isterinya pula bersama-sama menanggung susah, hak pakaian isterinya seumpama gelang emas, perak dan cincin yang bertatah belian, habis tergadai. Anak yang di dalam sekolah terpaksa ditarik daripada persekolahannya sebab tiada upaya lagi membayar harga-harga buku dan belanjanya. Dari masa mendapat nasib yang malang itu masing-masing pun mulai longgar persetiaannya dan muhibbahnya yang mana pernah terjadi berbagai-bagai pergaduhan dan pertelingkahan yang membawa pula kepada cerai-berai.

Maka di dalam negeri-negeri yang belum memegang ugama yang sebenar seperti Cina dan lain-lainnya didapati anak-anaknya terpaksa dijual kepada orang-orang lain bagi membeli barang-barang makanannya dan pakaiannya. Lebih dahsyat dari itu pernah jadi si isteri menjual haknya ke sana ke mari dengan berkelakuan yang keji itu kerana penghidupannya.

Inilah setengah daripada natijah, orang yang berhutang. Yang berlaku dengan subarnya [?] masa sekarang ini, haraplah dijadikan ingatan atau pelajaran kepada diri kita yang masih di dalam menuntut supaya mudah-mudahan terselamat diri kita manakala kita akan jadi bapa-bapa pada masa yang tiada lama lagi.

Sekarang sukalah saya mengedarkan percakapan saya kepada apakah jalan-jalan yang boleh terselamat daripada berhutang di bawah ini saya sebutkan enam syarat-syarat yang difikirkan munasabah diambil tahu sebagai pemandu kita di belakang hari kelak.

1. Anggarkan wang yang masuk dan keluar.

Sebagai janganlah kita melebihkan belanja-belanja dari wang yang masuk dan janganlah pula bakhil mengeluarkan wang yang keluar. Dengan perkataan-perkataan yang lebih murah, kelak kita hendak mengeluarkan wang pendapatan kita, biarlah dengan anggaran atau estimate yang kita untukkan kerana benda-benda yang dicadang hendak dibeli. Cuba perhatikan kerajaan-kerajaan negeri-negeri, kita dapati di sana satu pejabat wang di ketuai oleh Pesuruhjaya Wang atau Wazir al-Amaliah, yang biasanya pada tiap-tiap tahun mengeluarkan circular-circular cadangan belanjawan atau anggaran-anggaran belanja ((budget)) dalam tiap-tiap cadangan pekerjaan menetapkan perbelanjaan pada tahun itu sahaja. Umpamanya estimate gaji pegawai sekalian, estimate kerja-raya sekalian, estimate sekolah sekalian dan dan dan .... Maka perbelanjaan yang telah ditetapkan itu tidaklah boleh ditambah atau dikurungkan. Ialah satu contoh atau teladan yang patut kita adakan bagi jalan kecermatan. Dari itu, sayogialah atas kita menggariskan wang-wang kita yang masuk dan keluar.

Hendaklah kita buat satu jadual belanja-belanja kita tiap-tiap bulan dan janganlah sampai terkeluar daripada estimate itu.

2. Menyediakan buku wang keluar harian-harian.

Sanya tiap-tiap wang yang kita keluarkan dari saku kita kerana membeli barang-barang yang dihajati. Berkehendaklah atas kita menulis di dalam buku ingatan wang keluar hari-harian. Supaya daripadanya dapat kita ketahui berapakah banyaknya wang-wang yang telah dipakai dan apa-apa benda yang telah dibeli. Setengah orang-orang kaya berfikir tidak mustahak sangat ditulis wang-wang yang keluar itu bagaimana selalu katanya "Paling kira-kira sangat apa yang ada habiskan, besok hal besok". Fikiran sedemikian itu sangatlah salah kerana wang yang tidak bertulis dalam buku hari-harian itu kerapkali tidak menyedarkan kehabisan wang yang ada di dalam tangan pula.

3. Bayaran Jelas.

Apabila kita membeli satu barang atau benda baik makanan mau pun pakaian maka hendaklah kita bayar harga barang-barang itu dengan terus jelas. Janganlah kita tangguh-tangguhkan bayarannya itu sehingga jelas itulah yang menyebabkan kita berhutang.

4. Wang Simpanan.

Sungguhpun perangai berjimat cermat ialah seorang yang biasa menyimpan wang-wangnya di dalam tempat-tempat yang selamat seperti bank atau savings bank ((sanduk al-tawafir)) yang diadakan oleh tiap-tiap kerajaan di Post Office. Yang demikian berhajatlah atas tiap-tiap seorang itu menyimpan wangnya walaupun sedikit supaya menolong pada masa kesusahannya.

Kalau pendapatannya kita sebulan $30 suku daripadanya mahulah dihantarkan ke tempat wang simpanan cadangan kalau-kalau datang uzur sakit atau lain-lainnya.

5. Barang yang Tak Mustahak.

Jika kita teringin hendak membeli-beli satu-satu barang janganlah segera berkata baik aku beli barang-barang ini, bahkan lebih dahulu hendaklah kita bertanya kepada diri kita: adakah mustahak aku beli barang itu?

Sekiranya barang itu tidak mustahak beli, maka janganlah kita beli dan segeralah kita lupakan angan-angan itu daripada fikiran kita.

6. Biasakan berkata-kata "Tak Guna".

Jika kita berkenankan satu-satu barang pada hal kita tidak terupaya membelinya maka biasakanlah berkata demikian barang itu tak guna aku beli, dan jika kita hendak melihat satu pertunjukan atau permainan yang tiada manfaat bagi diri kita lazimkanlah bertutur tak guna aku lihat permainan itu dan dan dan ... ingatlah pesanan seorang Menteri Inggeris bernama Jones Welleslley, katanya:

Carilah seberapa yang kamu boleh Simpanlah seberapa yang kamu boleh , Belanjalah seberapa yang kamu boleh |

Kiriman

Persekutuan Putera-Putera Semenanjung di Kaherah.