Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Sep 1934, p.355-357

General Article.

Keadaan Perusahaan di Terengganu dan jalan memajukannya.

Oleh Abang "Mas Muda" Terengganu.

Keadaan Perusahaan.

Sungguhpun di negeri ini ((Terengganu)) telah ada berbagai-bagai cawangan perusahaan tangan seperti bertukang tembaga, bertenun kain, bertukang kayu, menangkap ikan, membatik ((menerap)) kain dan sebagainya, kebanyakannya itu belum disentuh lagi oleh bangsa asing yang berniat hendak membolotkan segala cawangan pekerjaan Tanah Melayu ke dalam guninya membawa balik ke benuanya atau ke negerinya India.

Tetapi pekerjaan bertukang kayu nampaknya maju benar Si Tocang ((Cina)) yang hidup, makan sayur kangkung itu menewaskan tukang kayu Terengganu.

Yang lepas cubalah wahai tukang-tukang Melayu ambil balik sementara panas lagi dan belum sebati kepada mereka itu. Tetapi yang tatakala janganlah cuba dicuai-dicuaikan akhirnya lambat laut terlepas juga sekiranya tidak dijaga baik-baik.

Kita tak patut berdukacita kerana kelalaian kita yang lepas tetapi kita mesti jaga dunia sudah beredar kepada tahun 1934, iaitulah masa yang telah lari daripada angka 13 yang difikirkan sial dan majal itu.

Dan juga yang diagakkan dunia akan menjulak pasang boleh jadi segala perniagaan akan bergerak semula, sungguhpun begitu tetapi kita bumiputera Terengganu tak patut bersukacita kerana di lain tempat yang pasang pada hal kemajuan perusahaan di Terengganu menarik surut dan layar.

Jalan Memajukannya.

Sekiranya benarlah anak-anak Melayu kita berasal daripada bumi Melayu, kasih dan cinta kepada tanahairnya serta sayang kepada segala perusahaan yang dipusakakan oleh ibu bapa kita, wajiblah kita mengadakan sebuah persekutuan berbagai cawangan perusahaan anak Melayu.

Didirikan di mana tempat yang patut artinya bukanlah dikhaskan di Terengganu atau dikirakan faedah bagi orang Melayu di Terengganu sahaja melainkan siapa-siapa juga yang terasa dan terkena bahaya yang seumpama ini patutlah kita satukan dan jalankan dengan satu tujuan supaya terpelihara daripada pecah belah kerana tak akan jadi sempurna kiranya Melayu dan Malaya berlawan sama sendiri.

Terengganu patut sangatlah mengadakan yang bertujuan seperti itu, kerana itulah sahaja satu jalan yang lebih hampir sekali jikalau hendak membaikkan kelemahan perasaan kita, kerana persekutuanlah yang boleh jadi, kiranya hendak diadakan beberapa orang ahli jawatan kuasa untuk mentadbirkan di atas perusahaan itu dengan dijagai oleh seorang ketua yang terpilih di jalan mengadakannya; pilihan ini patutlah dipilih dengan seelok-eloknya pilihan supaya terkena pilihan itu kepada pati-pati orang Melayu sahaja, yakni kepada mereka yang layak serta pandai bercakap dan mentadbirkannya masa memilih itu patutlah diadakan di dalam suatu mesyuarat dengan dihadiri oleh tiap-tiap wakil dari segenap kampung supaya dapatlah satu keadilan yang lebih baik.

Kiranya jadi persekutuan ini tentulah tidak melompat-lompat kemajuannya seperti kelab-kelab perusahaan bangsa asing yang didirikan beratus-ratus tahun dahulu melainkan mestilah lemah dan lembab pada mulanya boleh jadi mati pada kali yang pertama dan hidup balik pada kali yang kedua, demikianlah keadaannnya yang akan berlaku tetapi tidak wajib kita berputus harap sebabnya tiap-tiap perkara yang kebajikan itu sememang dipenuhi oleh berbagai-bagai racun dan ranjau yang hendak membunuhnya.

Sedangkan lebai kita Muhammad sallallahu alaihi wa-Salam yang tentu diutuskan oleh Allah Subhanahu wa-Taala menjadi pesuruhnya ((Allah)) hingga digelar akan dia Rasulullah serta dikurniakan berbagai-bagai mukjizat lagikan tidak dengan serta menyerta melainkan terpaksa dengan menjaga keselamatan dirinya hingga terpaksa juga bersembunyi, undur dan masuk, sebabnya kerana hendak membuat kebajikan. Yang demikian apa peliknya jikalau persekutuan ini jadi dengan hidup seperti semut yang hendak mendaki gunung, tidak mengapa asalkan ada asasnya.

Satu jalan yang baik sekali supaya terpelihara daripada kelemahan persekutuan itu hendaklah diadakan persediaan yang cukup pada hari ini iaitu hendaklah kerajaan atau persatuan anak negeri menghantar anak negerinya yang memang dipilih supaya pergi menuntut berbagai-bagai cawangan ilmu perusahaan iaitu seorang belajar ilmu Engineer kegunaan perusahaan besi dan tembaga, seorang belajar ilmu tenunan dan membuat benang, seseorang belajar ilmu membatik ((menerap)) di Tanah Jawa dan seorang belajar ilmu ikan ((Fishermen)) pelajaran inilah yang terutama sekali kerana kita sendiri mengetahui berpuluh-puluh tahun orang Terengganu menangkap ikan belum seorang pun yang pandai mereka akan satu jalan yang baru sekali.

Maka daripada mereka inilah yang kita harap boleh menjalankan kuasa persekutuan-persekutuan ini dengan seelok-eloknya perjalanan dan sebaik-baik tujuan. Had inilah sahaja dahulu penulis menjatuhkan qalam serta menunggu apa-apa syor yang boleh baik lagi daripada pemegang-pemegang pena.

Terima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya yang berharga.