malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Aug 1935, p.282-288
General Article.
Kelantan.
Barangkali tidak ada orang yang telah membusukkan nama Kelantan, Terengganu dan Pahang lebih daripada Munshi Abdullah dan langkahnya itu telah diikut pula oleh anaknya Munshi Ibrahim jua akan hal-hal negeri-negeri Selangor, Perak dan Kedah pada masa ia melawati negeri-negeri yang di sebelah Barat Semenanjung ini. Kebanyakan orang-orang Melayu atau Inggeris yang diam di Negeri-Negeri Yang Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat, bahkan jua orang-orang Indonesia yang sangat kenal akan Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayarannya ke Kelantan masih berfikir hingga hari ini bahwa sekalian yang diceritakannya itulah sahaja cerita yang patut diisikan di dalam buku bagi bacaan dunia, darihal negeri Kelantan. Tiap-Tiap orang yang telah banyak membaca dan melihat tempat-tempat di Tanah Melayu dan Indonesia pada zaman ini serta membandingkan dengan hal-hal yang telah dilihat sendiri di negeri Siam, Cina dan India boleh berfikir dengan senang bahwa segala keburukan yang ditulis oleh Munshi Abdullah itu bukannya sahaja boleh dijumpai di dalam Kelantan, Terengganu dan Pahang, tetapi jua pada merata-rata tempat di seluruh dunia Timur ini.
Munshi Abdullah hanya menceritakan keburukannya tetapi tidak menceritakan kebaikannya. Agaknya jikalau Munshi Abdullah pada masa itu dapat belayar kepada beberapa buah negeri lain di Semenanjung dan di Pulau-Pulau Melayu dan jua jika pada masa itu dapat ia melawat negeri-negeri Keling di India dan memperhatikan hal-hal kehidupan orang Cina di Canton dan Shanghai, maka haruslah penuh dunia ini oleh bahu-bahu keburukan yang dituliskannya untuk mengemparkan pembaca-pembaca yang serupa dengan dia.
Sayang ia sendiri tidak dapat melawat negeri nenek moyangnya di India pada masa itu kerana jika sempat ia melawatnya tentulah boleh dijumpainya hal-hal yang lebih dahsyat daripada yang diceritakan oleh Miss Catherine Mayo di dalam bukunya "Ibu India" yang telah disalinkan sedikit dahulu di dalam Majalah Guru ini.
Lain-lain orang yang telah melawat kerana semata-mata mencari kesukaan nafsunya telah menolong jua membusukkan nama tempat itu, barangkali dengan tidak disengajanya. Orang-Orang yang seperti itu memang boleh dijumpai pada serata-rata dunia -- jika ia melawat Medan, atau Bandung, atau Shanghai, atau Paris, ataupun London, maka hal-hal keburukan itulah sahaja yang dapat dibawanya balik. Tetapi hal-hal yang baik dan memberi faedah tidak dapat diceritakannya. Adakah patut orang-orang yang melawat Kuala Lumpur ini dan yang berjumpa dengan segala perempuan-perempuan lacur di Bandar Kuala Lumpur memikirkan sekalian penduduk Bandar Kuala Lumpur dan Selangor buruk dan lucah belaka kehidupannya?
Mustahil dan begitulah jua mustahilnya keadaan Kelantan yang telah dikotorkan oleh Munshi Abdullah.
Kelantan sebuah negeri yang cantik. Orang-Orang Melayu Kelantan itulah orang Melayu yang kuat sekali bekerja di dalam seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Orang-Orang Melayu yang diam di sebelah Barat Semenanjung apabila sampai ke Kelantan dan memerhatikan kerajinan orang-orang di sana tentang bekerja, maka dengan serta merta mereka akan terasa malu mengenangkan hal kemalasan orang-orang Melayu di negerinya masing-masing. Barang ke mana dihalukan pemandangan daripun Kuala Kerai hingga ke Kota Baru, ataupun dari Kota Baru hingga ke sempadan negeri Terengganu, maka tampaklah kelihatan sawah padi yang luas dengan kampung-kampung dan pohon-pohon kelapa dan buah-buahan yang teratur secara kampung Melayu.
Sawah padi itu bertaburan kerbau lembu yang dipelihara dan dihidupkan oleh bumi putera negeri itu. Orang-Orang di sana bekerja sepanjang tahun dari pagi hingga petang dan di tanah-tanahnya itu boleh kelihatan bekas perusahaan mereka itu seperti padi, jagung, tebu, dan lain-lain. Pada sepanjang jalan boleh dijumpai laki-laki perempuan dan kanak-kanak berjalan membawa bebanan yang berat-berat ke pasar berbatu-batu jauhnya.
Di tepi-tepi jalan itu ((baik jalan raya yang dibuat oleh kerajaan ataupun jalan yang dibuat oleh orang-orang kampung sendiri)) boleh didapati teratur dengan pondok-pondok yang diwakafkan oleh orang kampung bagi tempat orang berhenti penat kerana beberapa banyak mereka itu yang menanggar dan menjunjung bebanan yang berat-berat dibawa ke pasar sejauh tujuh delapan batu atau lebih.
Pasar-pasarnya penuh dengan orang-orang Melayu laki-laki dan perempuan yang berniaga berjual barang-barang pasar dan tidak dijumpai orang-orang Cina bermaharajalela seperti dalam pasar-pasar negeri-negeri Persekutuan atau di Negeri Selat. Jalan-jalan raya di sana semuanya memakai kuli Melayu dan pada merata-rata tempat di Kelantan ((bahkan jua di Terengganu)) boleh dijumpai mereka itu bekerja mengatur batu dan membuat serta membaiki jambatan. Di setesyen-setesyen keretapi, boleh kelihatan mereka itu menanggar dan memunggah barang-barang yang berat yang di sebelah negeri Persekutuan ini dibuat oleh Cina sahaja. Motorbot dan perahu yang mengambil sewa di sungai-sungainya dipunyai oleh orang Melayu dan bukannya dipunyai oleh orang Cina seperti yang kita jumpai di Kuala Selangor atau di Hutan Melintang dalam jajahan hilir Perak.
Orang-orang yang tiada bertanam padi iaitu yang tinggal di keliling Bandar Kota Baru banyak pula yang berusaha bertenun kain. Kain-kain benang emas yang mahal-mahal yang dipakai dan digayakan oleh orang-orang Melayu negeri-negeri Melayu yang lain pada ketika keramaian atau jamuan yang besar-besar itu boleh dikatakan hampir-hampir semuanya datang daripada perusahaan orang-orang Melayu Kelantan dan Terengganu. Orang-Orang Melayu yang di lain-lain negeri yang tiada dapat lagi membuat kain-kain itu patut dengan seberapa daya menyokong perusahaan mereka itu dengan membeli dan menggunakan kain-kain itu.
Sekolah-sekolah Melayu sungguhpun ada 50 buah atau lebih tetapi tidak sampai sepuluh buah yang didirikan semata-mata dengan wang kerajaan. Yang selebihnya itu ialah didirikan oleh pakatan orang-orang Melayu kampung sendiri dan setengahnya cukup cantik dan lapang untuk sekolah secara yang dikehendaki oleh kampung.
Beberapa banyak pula tanah-tanah sekolah itu diwakafkan oleh orang-orang kampung sendiri dengan tidak payah dibeli lagi oleh kerajaan.
Kebun-kebun sayur sekolahnya elok dan cantik seperti kebun-kebun sayur di sekolah-sekolah dalam negeri-negeri yang lain jua dan terkadang-kadang kelihatan pula kanak-kanak bekerja dalam kebun itu dengan rajin pada petang-petang hari seperti pada setengah sekolah-sekolah yang baik dalam negeri-negeri Persekutuan.
Pendeknya jika sama-sama dalam Tanah Melayu ini sekolah-sekolah itu dibiarkan orang kampung sahaja mendirikan dengan tidak menggunakan wang kerajaan yang banyak, haruslah payah jua negeri-negeri lain hendak melawan orang-orang Melayu Kelantan.
Rumah-rumah orang-orang kampung kebanyakknya kecil tetapi patut tidak boleh dilupai bahwa di sana tidak ada lagi hutan yang berhampiran seperti hutan rimba yang mengelilingi kampung-kampung orang-orang Melayu di sebelah sini.
Adapun yang sangat-sangat dikehendaki oleh orang-orang Melayu di sana pada masa ini iaitu sama jua seperti orang-orang Melayu di negeri-negeri lain ialah,
2. Syarikat bekerja-bekerjasama :
Pada masa ini anak-anak Melayu Kelantan yang berkehendakan pelajaran Inggeris yang pertengahan ((Secondary Education)) terpaksa pergi menuntut di Kuala Kangsar, Pulau Pinang, atau Singapura dan di mana-mana yang telah keluar menuntut, kebanyakannya maju dan jaya serta balik memegang jawatan yang baik-baik. Penuntut-Penuntut yang telah belajar di Kolej Sultan Idris dan balik menjadi guru tampaknya bersungguh-sungguh benar hendak menjayakan pelajaran dan pengetahuan di sekolah-sekolahnya.
Pergerakkan Pengakap sedang mara dan jaya benar di sana dan mereka itu ada mempunyai suatu tempat perkhemahan yang khas yang digunakan pada tiap hujung minggu.
Tuan Pembaca sedia maklum bahwa lain-lain daripada Pulau Pinang, Singapura dan Selangor, maka ke Kelantanlah yang subur hidupnya surat khabar dan majalah dan kuasa surat khabar dan majalah serta buku-buku itu tidak sedikit, boleh menambahkan pengetahuan dan pelajaran anak negeri.
Tengku Mahmud Muhyiddin, Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Kelantan sekarang ini seorang muda yang sangat rajin dan usaha memajukan sekolah-sekolahnya dan bekas kerajinannya itu boleh dilihat apabila seorang menyiasat akan hal-hal sekolah di sana semenjak ditinggalkan oleh Encik Abdul Hadi, tidak hairan kita jika mendengar murid-murid sekolahnya menyanyi pada hari pertandingan senaman menyatakan nazirnya "keras seperti besi".
Syarikat-syarikat bekerja-bekerjasama belum ada lagi di sana sungguhpun telah ada bunyi-bunyian kerajaan di sana berniat hendak mengadakan yang demikian itu pula. Pada masa ini, orang-orang Melayu kampung itu bekerja dengan cukup kuat dan masing-masing datang berjalan-jalan berbatu-batu jauhnya menjual barang-barang tanamannya secara masing-masing sahaja kerana hendak mencari wang dua tiga puluh sen sehari. Bahayanya jikalau mereka tiada memulakan syarikat bekerja-bekerjasama pada masa ini ialah apabila orang-orang Cina yang menumpu dari Pahang ke Kuala Kerai pada masa ini telah bertambah banyak terutama jika jadi lombong-lombong di sebelah hulu negeri Kelantan, maka mereka itu dengan perlahan-perlahan akan datang menolong menyenangkan orang-orang kampung itu, iaitu jika orang-orang kampung itu pada masa ini terpaksa menanggar dan menjunjung berbatu-batu jauhnya, kerana Cina-Cina itu akan membuatkan kerja-kerja itu sendiri dengan membayar tiga empat puluh sen atau lebih sehari dengan tidak payah orang-orang kampung itu bersusha payah lagi seperti bagaimana yang dibuat oleh Cina-Cina yang memborong dan membeli padi di Kedah dan yang memajak kebun kelapa dan kopi di sebelah pantai negeri Selangor. Syarikat bekerja sama-sama itu akan mengajar orang-orang Melayu di Kelantan bermuafakat dan bersama-sama menjual padi dan tanam-tanamannya dan menjual kerbau dan lembunya yang banyak itu keluar negeri.
Pada masa ini khabarnya telah ada Benggali-Benggali yang berniaga lembu dan kerbau dijualnya keluar negeri dan sesiapa yang tahu akan bahaya orang Sikh dan Benggali di sebelah sini tahulah akan bahaya yang akan menimpa orang-orang Melayu Kelantan, jika mereka tiada mewajibkan syarikat bekerja-bekerjasama dari masa ini. Syarikat Bekerja-kerja-Sama Kampung ((Rural Cooperative Societies)), Syarikat Kemajuan Am ((Better Living Societies)) dan Syarikat bekerja-bekerjasama Menjual Barang-barang Hasil Ke Luar Negeri ((Cooperative Marketing Societies)) sangat dikehendaki di sana jika perniagaan-perniagaan dan perusahaan orang-orang Melayu di sana itu akan dikehendaki tinggal kekal bagi faedah Bumiputera.
Orang-orang Cina telah ramai tampaknya pada sepanjang-panjang jalan keretapi di antara Gua Musang hingga ke Kuala Kerai, dan bilangan mereka itu tidak akan berkurangan bahkan akan bertambah lagi dalam tempoh dua puluh tahun dari masa sekarang.
Kesihatan Kampung tidaklah jua kurang wajibnya di Kelantan daripada lain-lain negeri-negeri Melayu. Ahli-ahli Melayu di dalam State dan Federal Council di Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu telah sedar akan hal ini dan telah beberapa kali bersuara meminta adakan peraturan kesihatan kampung. Lain-lain daripada kereta-kereta ubat yang berjalan pada merata-rata kampung di negeri-negeri Melayu yang Bersekutu telah diadakan jua pertunjukan wayang gelap kesihatan dan syor-syor daripada pegawai-pegawai kesihatan Melayu.
Dalam pada itupun masih jua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Melayu tidak puashati dengan keadaan air minum dan lain-lain yang didapati dalam kampung-kampung Melayu pada masa ini. Sekolah-Sekolah Melayu dan Pengakap-Pengakap akan sedia membantu menimbangkan perasaan kesihatan dan kebersihan dan sekaliannya itu tidaklah perlindung kepada pengetahuan kerajaan.
Kita percaya Kelantan tentulah akan mengikut jejak yang telah diperbuat dan yang akan diperbuat di negeri-negeri Melayu yang Bersekutu iaitu mengikut kebolehan hasil negerinya.
Pelajaran, Syarikat bekerja-bekerjasama dan Kesihatan Kampung akan menyediakan orang-orang Melayu di Kelantan itu mempertahankan rempuhnya bahaya kuning dalam tempoh 15 atau dua puluh tahun lagi.
Orang-orang Melayu di Kelantan itu sangat rajin dan kuat bekerja dan sangat taat kepada rajanya dan pemerintahannya. Orang-Orang Melayu yang diam di sebelah Barat Semenanjung yang senantiasa tunggang-langgang dihimpit dan didesak oleh orang-orang Cina kelak dengan serta-merta berasa sombong melihatkan kaum bangsanya di Kelantan masih hidup dengan bersendiri dan berusaha dengan rajin dan tekun dengan bersendiri.
Orang-orang Melayu di sebelah Barat Semenanjung patut lebih ramai lagi melawat ke Kelantan dengan tujuan mengambil contoh daripada kerajinan orang-orang kampung di sana. Apabila sampai ke sana bolehlah perhatikan keadaan dan kecantikan sebuah-sebuah negeri Kelantan dan kerajinan seisi Kelantan.
Munshi Abdullah telah memerhatikan hanya parit-parit dan longkang-longkang sudut yang kecil daripada negeri Kelantan itu dan telah menulis dengan panjang lebar pada tentang itu sahaja. Jika sekadar hendak menulis-nulis dan mengata-ngata atas kekotoran orang-orang Melayu sahaja tidaklah payah seorang pergi ke Kelantan dan Terengganu, bahkan yang demikian itu boleh banyak didapati di kampung-kampung orang Melayu yang berhampiran dengan Bandar Singapura walaupun dalam kurun yang kedua puluh ini.
top |