![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, Dec 1935, p.476-478
General Article.
Ucapan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Selangor.
Apabila Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan ((State Council)) itu telah ditamatkan, maka Majlis memberi ucapan pun dimulakan dan butir-butir ucapan itu seperti berikut:
Ugama dan Bahasa Melayu di Sekolah Inggeris:
Yang Maha Mulia Raja Haji Abdullah telah melafazkan ucapan katanya:
Duli Yang Maha Mulia Yang Berhormat Tuan British Resident dan sekalian ahli-ahli mesyuarat.
Adalah kanak-kanak Melayu yang mengaji ke sekolah-sekolah Inggeris di dalam negeri Selangor ini punca terbitnya daripada tiap-tiap sekolah Melayu kelaziman kanak-kanak yang telah khatam di dalam darjah empat dan darjah lima dan ada jua yang khatam di dalam darjah tiga masuk jua mengaji ke sekolah Inggeris kerana ditakuti lebih umurnya.
Oleh sebab itu pada fikiran patik patutlah diadakan lagi dua jenis pelajaran di dalam sekolah-sekolah Inggeris yang ada di dalam negeri Selangor ini. Satu pelajaran agama dan kedua pelajaran Bahasa Melayu, terutama sekali dalam hal karang mengarang dalam perbahasaan Melayu yang jati.
Tuanku! Adapun pelajaran ugama yang hendak diadakan di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu tentulah terlebih tinggi daripada pelajaran ugama yang ada di dalam sekolah-sekolah Jawi pada masa ini kerana pelajaran yang ada di dalam sekolah-sekolah Jawi ini ialah mengandungi syarat-syarat dan rakan dan ilmu Tauhid sedikit-sedikit yang layak bagi kanak-kanak yang berumur daripada 8 tahun hingga 12 tahun.
Adapun pelajaran ugama yang akan diadakan sekolah-sekolah Inggeris yang dicadang ini ialah pelajaran yang lebih tinggi daripada ilmu-ilmu di dalam sekolah-sekolah Jawi serta ditambah lagi ilmu-ilmu adab dan lainnya yang munasabah dengan kanak-kanak itu kerana budak-budak yang mengaji di sekolah-sekolah Inggeris itu kelazimannya hingga sampai tujuh delapan tahun terkadang-kadang hingga sampai 9 tahun jadilah umur kanak-kanak itu hingga sampai 19 tahun barulah berhenti daripada sekolah.
Begitu jua pada mengadakan pelajaran Bahasa Melayu kerana nampaknya kanak-kanak itu apabila ia telah mengaji ke sekolah Inggeris tiadalah lagi ianya melazimkan tulisan-tulisan Jawi apatah lagi kanak-kanak yang baru khatam daripada darjah tiga dan empat, wal-hal kanak-kanak itu apabila khatam ianya darjah delapan atau sembilan terkadang-kadang ada yang dapat jawatan Malay Officer dan menjadi penterjemah dan lain-lain itu dikehendaki jua Bahasa Melayu bahkan sangat-sangat digunakan.
Tuanku! Patik nyatakan lagi adalah pelajaran yang akan diadakan ini pada fikiran patik sekali-kali tiada mengendalakan pelajaran-pelajaran sekolah Inggeris kerana masanya berlainan-berlainan adalah tujuan patik budak-budak itu belajar dalam satu minggu tiga kali iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.
Waktunya dari pukul 3 sehingga pukul 3.45 belajar kelas agama dan daripada 3.45 sampai 5 petang pelajaran Melayu karang-mengarang dan kedua-dua pelajaran ini patutlah dimasukkan ke dalam peperiksaan budak-budak itu supaya mereka-mereka itu mengambil berat seperti pelajaran-pelajaran yang lain-lain itu juga.
Tuan Yong Shook Lin dengan Bahasa Inggeris diterjemah oleh Yang Berhormat Raja Uda berkata lebih kurang ia telah membaca estimate tahun 1936 pada pemandangan adalah tujuan kerajaan tatakala mengarang estimate ini ialah kerana hendak berjimat ia bersetuju kerana belum sampai masanya kita belum boleh belanja banyak. Ia memberi terima kasih kepada Tuanku kerana menolong sekolah-sekolah Cina, tetapi ia dukacita kerana kerajaan tiada dapat mengadakan wang untuk beberapa banyak syor yang lain dan ia meminta kiranya syor-syor perbelanjaan yang mustahak itu akan ditimbangkan tatakala mengarang estimate bagi tahun 1937.
Satu perkara lagi ia dukacita ialah perkara Hospital Besar bagi Kuala Lumpur. Kerajaan berfikiran hospital besar itu fardhu dan sudah pun dimulakan tetapi oleh kerana tiada mempunyai wang, maka pekerjaan itu tinggal terbengkalai sahaja sehingga sekarang menjadi penyakit mata memandang.
Hospital Besar itu telah difikirkan fardhu 15 tahun dahulu, begitulah jua fardhunya pada masa ini, menolong orang-orang yang tiada bekerja.
Tuan J. R. Whitbam A.S.M telah mengambil bahagian membawa cadangan memberi pertolongan kepada orang-orang yang tiada berpekerjaan dalam negeri. Katanya, ada pun perkara itu ialah daripada suatu perkara yang besar. Orang-Orang yang tiada berpekerjaan pada masa ini, pada masa dahulunya ada juga menolong mendatangkan hasil pada negeri.
Di antara lain-lain Tuan Whitbam menerangkan bahwa orang-orang yang tiada berpekerjaan itu ada kalanya ialah orang-orang yang bukan tetap di sini dan ada kalanya orang-orang yang kekal duduk di dalam negeri ini. Malangnya, katanya beban pertolongan itu tertanggung di atas orang ramai. Maksudnya, ialah supaya kerajaan memberi pertolongan.
top |