Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Dec 1935, p.426-427

General Article.

Kemajuan.

Satu perkataan yang di atas ini semua orang memang tahu dan pandai menyebutnya -- tetapi yang sebenarnya tiap-tiap orang itu tahu menyebut sahaja, tetapi tiada tahu bagaimana yang dikatakan "kemajuan" itu.

Pendeknya, perkataan itu terkemuka sekali ia kerana di segala ceruk dan tempat menyerukan "kemajuan" dan terlebih lagi di dalam halaman surat-surat khabar -- terutama sekali ialah bangsa kita ((Melayu)) yang sangat melaung kepada "kemajuan" itu supaya orang-orang kita bertamadun seperti keadaan bangsa-bangsa yang telah berkemajuan juga. Makna "kemajuan" bukanlah seperti ini. Apabila berjalan berpegang-pegang tangan laki-laki dan perempuan dan berkawan serta berpakaian cara Barat, iaitu ber"necktie" dan mempunyai "bow" serta bertopi putih tidak sekali-kali! Kerana perkara-perkara itu memang ditegah oleh Syarak. Tetapi sebab pun banyak orang-orang kita yang berpakaian begitu ialah kerana mengikut tamadun sekarang iaitu zaman kemajuan.

Yang dikatakan "kemajuan" itu ialah telah boleh dan jaya bangsa-bangsa kita di dalam ilmu pertukangan, iaitu segala jenis pertukangan -- dan lagi, telah pandai orang-orang bangsa kita beberapa siasat ilmu kejadian di dalam dunia ini. Dan boleh bangsa kita membuat segala perkakas tidak payah berharapkan perkakas dari bangsa-bangsa yang telah berkemajuan. Pendeknya, segala barang-barang dan pendapatan serta ilmu yang telah didapati oleh bangsa-bangsa yang telah cukup kemajuannya dan jaya di dalam segala perkara itu ada pada orang-orang kita, barulah boleh disebutkan bangsa-bangsa kita ada kemajuan. Dengan sebab itu, mahulah bangsa-bangsa kita berusaha mencari bagaimana jalan dan ikhtiar meneladani serta mengikut contoh kemajuan bangsa asing jua -- jalannya itu ialah mahu semuafakat segala bangsa kita di seluruh alam Melayu, iaitu tolong-tolongan di atas serba-serbi supaya tiada kekurangan daripada bangsa-bangsa lain.

Pembesar-pembesar bangsa kita hendaklah bersungguh-sungguh menyokong dan menaikkan mana-mana bangsa kita yang telah jatuh dan mendirikan mana-mana yang telah tumbang. Maka sekiranya sudah bersatu Melayu tak dapat tiada tentulah bangsa-bangsa kita boleh mempunyai "kemajuan". Kalau tiada bersatu sebagaimana satu anggota sampai bila pun agaknya bangsa kita tidak berkemajuan kerana di atas segala perkara memang bangsa kita yang kekurangan sekali dan sangat rendah tamadunnya. Tetapi tentang kepandaian dan keberanian serta kercergasan memang tidak kekurangan.

Pendeknya kalau mahu dibuat bersungguh-sungguh boleh jadi -- contohnya boleh kita tengok askar Melayu, bukankah cekap dan bergaya seperti keadaan bangsa lain jua dan banyak teladan yang lain lagi. Jika mahu bersungguh hati tentulah boleh jadi. Itulah menunjukkan yang bangsa kita ini boleh buat apa-apa yang bangsa lain boleh buat -- tetapi sebab tak maju ialah kekurangan bantuan -- lemah fikiran -- kemiskinan perbelanjaan. Dengan sebab inilah orang-orang kita sentiasa tinggal di dalam keadaan seperti sekarang jua. Sekarang diucapkan bersatulah Melayu supaya boleh maju dan dapat mencari "kemajuan" adanya! Wasallam.