Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jan 1935, p.17-18

Feature Article.

Adakah Orang Melayu Maju?

Oleh Meja Kelang.

Pertanyaan yang di atas ini kalau dijawab dengan kasar sahaja, bahwa bangsa kita Melayu sekarang telah mara ke hadapan dengan langkah kemajuan, yakni maju ia dalam serba serbi, boleh mendatangkan beberapa kemegahan bagi bangsa kita dengan membawa kebajikan pada tanah airnya. Sebetulkah begitu?

Soalan ini janganlah digopohkan menjawabnya jika sebelum diperhatikan dengan cukup mengerti akan makna tujuan perkataan "kemajuan" itu. Akan tetapi pada seisi orang yang telah mengetahui akan hal perjalanan kita duduk di dalam zaman awang-awangan -- ke atas tidak, ke bawah tidak, suka tiru meniru pada menjalankan nafsu yang bermaharaja lela, tak dapat tiada jawabnya dengan senyum yang mengandungi makna -- iaitu bukannya dengan tulus ikhlas ialah dengan senda-senda dan ejek-ejekkan sahaja, berkata, "Ya! Betul bangsa Melayu sekarang sudah maju kalau dibandingkan daripada dahulu pada perkara-perkara tiru-tiruan -- permainan -- tari menari -- pakai memakai -- minum makan dan sebagainya.["]

Orang-orang Melayu ahli bandar maju benar mengelilingi meja billiard -- di medan permainan -- bijak-bijak menjadi anak wayang bangsawan -- pandai-pandai tari menari dan nyanyi-menyanyi -- kacak benar memakai coat pantaloon dengan collar necktie dan topi-topi bermacam-macam -- menghisap dapur atau puntung berasap -- dalam perkumpulan-perkumpulan kalau dia hendak kelihatan kertas bersemerak dalam sahabat empat kaum syaitan, jadinya adakah betul begitu yang dikatakan kemajuan itu?

Jawapannya terpulanglah pada fikiran pembaca kita yang budiman. Pada fikiran kita adalah yang dikehendaki dengan kemajuan itu ialah tiap-tiap perkara yang membawa kemegahan bangsa dan mendatangkan harap kebajikan dengan rajin dan usaha serta ilmu pengetahuan yang dipelajari atau dicari pada tempat-tempat pelajaran merata-rata daerah jajahan dan negeri.

Ialah dengan kepandaian yang telah dipelajari dan usahanya pada mencubai -- reka -- buat sendiri -- halus-haluskan segala yang difikir membawa kepada kebajikan bagi umum anak negeri dan bangsa hingga jadi beribu-ribu macam perbuatan yang pelik-pelik dan lainnya. Disertakan dengan tanam-tanaman yang menambah kekayaan tanahair dan membanyakkan hasil-mahsul negeri. Dengan tiada ketinggalan pada ketukangan yang boleh mengadakan beberapa perbuatan yang baik-baik menunjukkan bijaksana -- petah dan halus perbuatannya. Dijalankan perniagaan yang membawa keluar masuk segala barang-barang pertukangan dan tanaman itu.

Inilah kemajuan yang dikehendaki dan dituntuti oleh beberapa bangsa yang besar-besar di dalam dunia ini. Kemajuan yang tersebut itu sudahkah bangsa Melayu kita menuntutinya? Atau sudahkah mula beredar kepadanya? Jika belum apa yang menjadikan halangannya? Atau apakah penyakit mengenai anggota kita? Ini satu soal terhadap pada ahli-ahli fikiran pada menjawabnya. Kita tidak mengaku boleh jadi pada penilikkan kita sekarang adalah gelangan halangan am mengelilingi di jalan kemajuan kita itu ialah jahil, penyakit yang mengenai lembaga kumpulan kita ialah malas, dan jahat perangai atau kurang ajaran pemeliharaan -- dan dididikkan.

Adapun ubatnya itu ialah pengetahuan dengan jalan membaca dari kitab-kitab -- surat khabar -- majalah -- buku-buku. Carilah penawar ini ayuhai sekalian saudaraku dengan bersungguh-sungguh hati supaya jangan dikata oleh bangsa-bangsa lain umat kita daripada umat yang mati, tetapi bernyawa. Jangan sekali-kali kita putus harapan daripada mendapatnya dan hendaklah mulai berjalan menuntut dan bersuara kepada yang memegang teraju iaitu pemimpin-pemimpin yang budiman. Janganlah kita diam daripada menuntut akan dia sehingga dapat.

Dan lagi, terwajib pula di atas pengingat dan pemimpin-pemimpin kita bekerja dengan bersungguh-sungguh hati mengangkatkan sebarang kelarangan dan penyakit itu daripada jalan bangsa-bangsa kita supaya menuju kepada jalan yang lurus ke medan kemajuan yang dituntuti. Begitulah kehendak kita.

Disudahi ampun dan maaf ke hadrat Tuan-Tuan Pembaca dan Terima Kasih kepada Tuan Pengarang kerana melapangkan ruangan.