Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Jun 1934, p.224

Feature Article.

Perniagaan dengan Iklan dan Pelekat-Pelekat itu Seperti Manusia dengan Makanan.

Manusia yang cukup makanannya, gemuk dan sihat badannya: demikian pula perniagaan yang cukup, iklan-iklannya itu subur dan sihat hidupnya. Seorang saudagar yang pandai dan pintar, tahu betul-betul ia akan hal itu.

Oleh sebab itu, saudagar-saudagar itu berlumba-lumba dan bersaingan yang seorang dengan yang lain menaruh surat-surat pelekat dan iklannya di mana-mana tempat yang mudah diketahui orang.

Perkataan yang tertulis pada iklan-iklan dan dipelekatkan itu sudah tentu memuji-muji barang-barang perniagaannya akan menarik hati orang-orang supaya membelinya.

Begitulah seorang saudagar kitab-kitab di Tokyo telah membuat iklan seperti yang tersebut di bawah ini:

1. Harga kitab-kitab kami murah sekali seperti harga selembar surat loteri.

2. Kitab-kitab kami amat bagus buatannya, cantik dipandang mata, sebagai Tuan Puteri di panggung bangsawan.

3. Cetaknya terang sebagai pada waktu matahari rambang.

4. Kertasnya tebal seperti kulit gajah!

5. Kami akan melayani langganan kami sebagaimana orang melayani tetamu di perjamuan besar.

6. Kitab-kitab kami amat banyaknya hingga seperti suatu khutub khanah yang besar.

7. Segala pesanan cepat sekali dikirimkan sebagai anak panah yang terlepas dari busurnya.

8. Buku-buku dijaga baik-baik bungkusannya sebagai seorang isteri menjaga suaminya yang amat dicintainya.

9. Semua kecacatan, kemalasan dan pelupa akan hilang kalau seorang muda mengunjungi kedai kami oleh kerana pengaruh kami -- ia kelak akan jadi orang baik-baik.

10. Lebih dari itu, tak akan kami katakan: bahasa kami tak cukup kata-katanya akan menghuraikan segala kebaikan perniagaan kami!

Bagi orang kita Melayu: pada tentang iklan pun jauh ke belakang atau masih diselindungi kabus -- perniagaan terlalu kurus!

Pengarang.