Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1935, p.35-108

Feature Article.

Cadangan Kepada Majalah Guru.

Di bawah ini kita salinkan rencana Guru Muda yang tersunting di halaman Warta Malaya bilangan 33 keluaran hari Jumaat bertarikh 8 Februari yang lepas, iaitu cadangannya di atas Majalah Guru ini adalah seperti berikut. P.

Fikiran di bawah ini bukannya memburukkan Majalah Guru dan bukannya menidakkan pekerjaan pegawai-pegawai Majalah Guru tujuan cadangan di bawah ini ialah supaya Majalah Guru menjadi majalah khas seperti namanya.

Oleh Guru Muda.

Patut berhaluan fasal guru sahaja.

Kita ada cukup mengerti selalu pengeluar Majalah Guru mengatakan yang Majalah Guru bukannya majalah fasal guru sebab itu isinya tidak mementingkan perkara guru! Akan tetapi sekarang penulis rasa sudah sampai masanya yang Majalah Guru mesti menjadi majalah khas fasal guru yang isinya segala-segala tidak terpesong selain daripada hal guru dengan pelajarannya.

Kita sendiri berfikiran tiada suatu surat khabar itu majalah di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini yang layak membawa suara kaum guru selain daripada Majalah Guru. Sebab-Sebabnya kerana Majalah Guru dikeluarkan oleh syarikat kaum guru seluruh Semenanjung Tanah Melayu, penulis dan pengarangnya guru.

Pendeknya 100 peratus Majalah Guru dizahirkan oleh guru-guru rasa-rasa penulis sedikit pun tiada Majalah Guru itu masuk tercampur perusahaan lain tangan!

Ada tak ada sudah tentu pembaca dan tukang langganan sahaja ada termasuk bukan kaum guru. Oleh sebab itu sudah sangat-sangat layak Majalah Guru mesti berubah haluan sekarang daripada majalah bermacam-macam perkhabaran menjadi majalah khas untuk guru.

Ada banyak penulis yang memang mahir di dalam hal guru.

Untuk mengisi ruangan Majalah Guru penulis rasa tentu tidak menjadi kesusahan kerana jikalau tak khilaf guru-guru di dalam Semenanjung Tanah Melayu sekarang lebih 2,000 orang! Yang kebanyakan guru-guru itu sangat mahir di dalam karang mengarang dan sangat mahir di dalam pekerjaannya hampir-hampir tiga suku penulis dan pengarang-pengarang Melayu di Semenanjung ini daripada kaum guru. Di bawah ini penulis bentangkan beberapa nama guru yang telah terkenal menjadi penulis dan pengarang di Semenanjung ini:

1. Za`aba ((Zainal Abidin bin Ahmad)) :

2. Muhammad bin Datuk Muda ((sekarang bersara)) :

3. Muhammad Yusuf bin Ahmad ((Penolong Nazir Selangor)) :

4. Raja Muhammad Nuruddin ((Penolong Nazir Pulau Pinang)) :

5. Hajjah Zainon ((Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Johor)) :

6. Harun bin Muhammad Amin ((Harun Amin al-Rashid)) :

7. Muhammad Hashim bin Haji Taib ((Guru Besar Sultan Idris College)) :

8. Abdul Hadi bin Haji Hassan ((Pengarang Sejarah Alam Melayu)) :

9. Buyung bin Adil ((Pengarang Cenderamata)) :

10. Sidang Pengarang Majalah Guru sendiri :

11. Encik Ibrahim bin Haji Ya`acob :

12. Haji Muhammad Saidin ((Guru Pelawat Kelang)) :

13. Kontek Kamariah ((Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Selangor)).

Dan banyak lagi penulis-penulis dan pengarang-pengarang daripada kaum guru yang tersembunyi namanya; sebab itu rasa penulis tentu Majalah Guru boleh dapat karangan-karangan yang elok dan beransur-ansur isinya untuk fasal pelajaran dan guru. Penulis tidak fakir yang semua encik-encik penulis yang disebutkan namanya di atas ini tak mahu membantu pada mengisikan majalahnya sendiri.

Supaya menjadi panduan kepada guru-guru.

Penulis selalu mendengar sungutan daripada pihak kawan sejawat mengatakan mengapa Majalah Guru isinya tidak diutamakan fasal guru dan bila dibuka isi di dalamnya sangat berlainan dengan namanya!

Sungutan ini sangat benar pada fikiran penulis tetapi apa boleh buat penulis Cuma seorang guru sepertinya dan tiada berkuasa di atas majalah yang dikasihi itu jadi sama-sama bersungut juga.

Memang penulis sangat mengerti fasal kesusahan menzahirkan sebuah majalah yang khas haluannya untuk satu perkara tetapi apabila penulis mengerling kepada majalah-majalah lain bangsa terutama majalah-majalah Eropah yang sangat banyak mengeluarkan majalah dan surat khabar khas fasal sesuatu perkara lalu terbit soalan di kepala penulis: jikalau mereka itu boleh buat mengapa kita tak boleh?

Tentulah boleh menjawab!! Pada fikiran penulis jikalau Majalah Guru itu dapat mengutamakan isinya fasal guru dan pelajaran sahaja tentu sangat besar gunanya kepada kaum guru dan adalah tempatnya yang kaum guru dapat berpedoman serta mengilir salasilahnya serta menambah pengetahuannya terutama berguna kepada guru-guru pelatih dan guru-guru yang tidak belajar ke kolej dan adalah tempat yang khas untuk kaum guru mengeluarkan suaranya yang betul pada tempatnya!

Segala karangan patut dibayar.

Sidang pengarang Majalah Guru dan segala penguasa Majalah Guru akan berasa sama-sama berkata: Penulis ini pandai menulis dan bercakap sahaja!

Cuba buat, tentu baru tahu pahit harungnya bekerja atas Majalah Guru, penulis sendiri membenarkan jikalau ada tuan-tuan yang di atas ini akan berkata seperti ini!

Akan tetapi jikalau kita belum cuba belum tahu dan jikalau tidak dimulakan bila akan termula?

Ada satu jalan penulis rasa menyenangkan dan meringankan mengatur Majalah Guru itu supaya menjadi khas untuk guru iaitu semua karangan-karangan yang dizahirkan iaitu yang difikirkan isinya bagus silalah bayar karangan ini dan janjikan semua karangan-karangan yang elok yang dikeluarkan Majalah Guru akan dibayar, iaitu seperti yang diperbuat oleh majalah-majalah Eropah dan juga di sebelah Indonesia, maka dengan jalan ini kelak tentu tidak menjemukan tuan-tuan pengarang dan penulis-penulis kerana usahanya ada berbuah dan berfaedah!

Tetapi jikalau hendak karangan peri sahaja!

Mana hendak dapat tentulah akan meleset akhirnya jadilah had ini sahaja dahulu cadangan penulis Majalah Guru diharap dapat perhatian dari pihak Majalah Guru!

Sambutlah salam penulis kepada kaum guru khasnya dan kepada bangsaku amnya!