Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1935, p.33-34

Feature Article.

Kandungan Majalah Guru.

Dalam keluaran ini kita salinkan dari Warta Malaya karangan seorang "Guru Muda". Kita tidak bersetuju dengan fikirannya. Pada fikiran kita, Majalah Guru patut melebihkan isinya dengan hal-hal pengetahuan, pelajaran, bahasa dan karangan-karangan atau terjemah daripada karangan-karangan yang boleh membukakan otak dan meluaskan pemandangan guru-guru. Hal-hal sekolah pun boleh jua dimuatkan sedikit-sedikit iaitu seperti gambar-gambar yang disertai dengan perkhabaran-perkhabaran pendek.

Kita tidak bersetuju Majalah Guru itu dipenuhi semata-mata dengan "Hal Guru", "Fasal Guru" dan segala-segalanya "Khas untuk Guru-Guru" sahaja. Pada faham kita adalah yang dikatakan "Hal Guru" "Fasal Guru" dan "Khas Bagi Untuk Guru" oleh penulis itu ialah:

1. Gaji atau scheme guru -- naik gaji, kena tahan gaji dan mintak tambah elokkan lagi scheme gaji guru-guru.

2. Rumah-Rumah tempat diam guru-guru -- jika tiada dan tiada cukup, maka Majalah Guru tolong panjangkan ke telinga kerajaan.

3. Pertukaran Guru-Guru.

4. Pangkat sekolah atau pangkat Guru-Guru tiap-tiap tahun.

5. Guru-Guru yang kena puji dan yang kena keji atau amaran.

6. Guru-Guru yang mati atau berpensiun dan guru-guru yang berhutang atau jatuh bankrap.

7. Lain-lain hal yang berkenaan dengan fasal dan hal guru.

Sekiranya betul faham kita atas apa yang dikatakannya "Hal Guru" dan "Fasal Guru" itu, maka tidaklah kita bersetuju yang majalah ini dijadikan perkakas yang bertujuan untuk mengisi perut dan bukan untuk pengisi otak guru-guru.

Hidup Majalah Guru ini ialah kerana persekutuan-persekutuan Guru-Guru Melayu di Semenanjung. Tiap-Tiap persekutuan guru-guru itu ada undang-undangnya dan dalam tiap-tiap undang-undang persekutuan guru-guru itu ada tersebut tujuannya. Dalam undang-undang persekutuan guru-guru Melayu Selangor ada tersebut tujuannya yang terutama sekali hendak menambahkan pengetahuan. Kita yakin bahwa tiap-tiap persekutuan guru-guru yang lain itupun tentulah berhaluankan pengetahuan. Jika persekutuan guru-guru itu tidak bertujuan kerana pengetahuan maka lebih baiklah persekutuan itu segera dikambus dan dikuburkan.

Kata "Guru Muda" lagi, ada banyak penulis yang memang mahir dalam hal guru dan kemudian daripada ia menyatakan ada lebih daripada 2,000 orang guru. Maka ia hanya dapat menuliskan nama dua belas orang penulis kaum guru dari Za`aba hingga Haji Muhammad Saidin. Dan dalam dua belas orang itu, hanya tiga empat orang yang selalu menulis dalam Majalah Guru selama berbelas-belas tahun ini dan mereka itu tidak pernah hendak berjual atau memperniagakan karangannya seperti setengah penulis-penulis baru yang mengaku mereka ada mengantar perkhabaran yang "Hangat seperti Goreng Pisang" itu. Kita tahu siapa-siapa dia guru-guru yang selalu menulis ke dalam surat-surat khabar -- kebanyakan mereka itu hanya tahu 1)) memuji, 2)) mengeji dan 3)) bersungut menjela-jela.

Guru-Guru yang sebenarnya ahli tulis menulis dan karang mengarang yang kasih akan majalahnya patutlah menulis dan membantu mengisi majalah guru dengan tidak berharapkan upah. Siapa daripada guru-guru yang bekerja sedikit berkehendakan bayaran walau sekalipun tulisannya itu dongeng, maka lebih baiklah mereka tak usah menjadi guru. Lebih baik mereka mencari kehidupan dengan menjadi penulis dan jangan makan-makan gaji dengan kerajaan lagi!

Muhammad Yusuf bin Ahmad.