Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Mar 1935, p.103

Feature Article.

Kolej Guru-Guru Perempuan di Melaka.

Tentu tidak tersembunyi lagi pada pengetahuan guru-guru Melayu khasnya, dan pada Melayu raya amnya, yang kaum guru di Malaya telah mempunyai dua kolej, pertama Sultan Idris Training College di Tanjung Malim, kedua Malay Women's College Melaka, yang baru dibuka pada awal February 1935.

Kolej yang di Tanjung Malim itu, untuk kaum laki-laki dan yang di Melaka pula buat kaum ibu. Kedua-duanya terdiri dengan kemurahan kerajaan, dan berhaluan melatih jawatan guru-guru Melayu.

Pihak Majalah Guru barang tentu berbesar hati, kerana roh kandungnya akan berbilang dari satu kepada dua: ((jenis manusia yang bersekutu pada mengusahakannya)) kerana dari selamanya Majalah Guru bersifat sebagai suatu tapak semaian, menanti-nanti benih yang ditaburkan oleh tangan kaum ibu.

Manakala kaum guru laki-laki dan perempuan bersama-sama menyemaikan benih pengetahuan untuk kaum dan bangsanya ((Melayu)) ke dalam Majalah Guru, iaitu majalahnya. Tak dapat tidak bercambahlah pengetahuan itu dari segenap penjuru jika tidak penjuru di alam sekurang-kurangnya penjuru di rumah!

Begitu juga pihak Kolej Tanjung Malim, tentulah lebih riang, melihatkan kezahiran adik sulungnya yang di Melaka itu, jika tidak riang dengan tersenyum, sekurang-kurangnya dengan muka yang manis menunjukkan bahasa adik sulungnya itu akan terdidik dengan lebih-lebih halus didikannya.

Bagaikan tampak-tampak dipandang, di dalam masa yang ke hadapan, kedua-dua Kolej itu bersekutu sebagai adik sekandung, bangun bersifat seperti hulubalang, tersergam dengan kotanya, memerintahkan alam pengetahuan anak-anak Melayu di dalam secara didikan yang selamat, fi-dunia wal-akhirat.

Oleh Penulis Baru.