![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majalah Guru, May 1935, p.193-195
Feature Article.
Sekolah Pengetahuan bagi Anak Negeri dalam Semenanjung.
Cara bersekolah yang ada di Semenanjung ini kedapatan dua peringkat: pertama sekolah rendah yakni sekolah Melayu yang ada di kampung-kampung. Kedua sekolah tinggi yang diajarkan di dalamnya bahasa-bahasa asing. Ada satu bahagian lagi yang baru sahaja diadakan maka bahagian ini boleh dikatakan sekolah peretengahn seperti sekolah-sekolah tanam-tanaman, Sekolah pertukangan Trade School dan Technical Schools, dan sekolah pertenunan yang baru sahaja disebut zahirnya ke dunia Semenanjung, selain daripada itu masih belum tersebut.
Sekolah pertengahan, yang nyata tujuannya iaitu sekolah sara hidup atau sekolah membaiki jalan kehidupan anak negeri, kepada lebih selamat dan lebih teratur daripada yang ada hari ini kepada jalan yang munasabah dengan zamannya. Keadaan sekolah pertengahan yang ada hari ini sungguhpun belum boleh dikatakan memenuhi kehendak-kehendak anak negeri tetapi ada harapan berjalan maju, manakala kesedaran anak negeri, dan kebangunan penganjur-penganjurnya semakin sehari semakin mara. Yang bererti akan bertambah-tambah cawangannya buat memenuhi mata kehidupan Bumiputeranya. Seumpama sekolah pertukangan memang boleh diluaskan lagi dari jenis-jenis kayu, rotan, tembaga, mas, perak, periuk belanga dan pinggan-mangkuk. Sekolah jahitan dan sekolah ilmu sekolah pendidikan tidak kurang wajibnya buat Kaum Ibu kita.
Sekalian sekolah-sekolah yang ada tidak teresembunyi lagi dalam pengetahuan serba bangsa, iaitu didirikan dengan sokongan kerajaan. Sebab itu tidaklah menjadi sesuatu kehairanan pada kita yang pada hari ini kebanyakan anak negeri itu dengan berjawatan kerajaan, iaitu sebagai membalas kemurahan kerajaan itu; dengan memperhambakan diri kepadanya dengan tidak berapa mengira tentang nilaian upahnya -- begitu juga tidaklah nampak dipandang oleh mala anak negeri, kepada cawangan lain pekerjaan buat sara hidupnya -- iaitu lain daripada makan gaji -- sekarang penghidupan anak negeri telah diatur dengan beberapa jalan, iaitu seperti berniaga, bercucuk-tanam, bertukang-tukang, dan lain-lainnya. Manakala jawatan makan gaji telah penuh sesak. Maka barulah nampak kepada lelang lain pula! ((Ya! Itu memang kejadian dunia!)).
Ya! Segala perusahaan baru, seperti yang tersebut di atas itu telah dicuba oleh anak negeri dengan secara pengetahuannya yang didapati dari sekolah rendah. Tetapi kebanyakan pekerjaan bagi kerakap tumbuh di batu sahaja. Yakni hilang-hilang timbul, jauh sekali daripada mencapai nama kemajuan.
Amboi! Di manakah salahnya lagi? Maka sehingga hari ini penghidupan Bumiputera Semenanjung masih selam ya!
Itulah kerana ketiadaan latihan di dalam persekolahan pertengahan, yakni sekolah sara penghidupan bagi anak Melayu Semenanjung.
Di sini buat Melayu Semenanjung telah patut memandang ke arah jauh sedikit, untuk mengambil perbandingan gaji-gaji penghidupannya dengan rakyat luar negeri, umpama di Indonesia anak negeri hidup subur, dengan gaji pertaliannya ialah disebabkan kerana latihan sekolah menengahnya buat penghidupan dengan bermodalkan tanahairnya. Pendirian sekolah tengah di sana menerusi persatuan anak negerinya. Makanya di Semenanjung, leka bermenungan buat menanti curahan air hujan dari atas langit sahaja makna persatuannya bukan tidak diatur tetapi cuma untuk berseronok dengan hawa nafsu sahaja. Buat nama mencari nama, buat kenangan dari zaman yang lalu masih kebanyakan selam lagi. Datang-datangkan pula dengan bermotto "Setia itu Jaya", "Muafakat itu Berkat", "Bersekutu itu Batu", dan macam-macam lagi hari ini hingga perkataan itu di dalam perkataan juga, bilakah masanya "Kata itu di Kota" belum diketahui.
Galak kali suara sebangsa kita mengunjungi Malaya, untuk mencari derma malah bukan sedikit khairatnya yang telah menyeberang.
Dan barangkali boleh dilihat beberapa bangunannya, iaitu bagi pergunaan keselamatan Bumiputera yang di dalam asuhan beberapa tangga persekolahan -- bakti perusahaan itu buat bangsa dan tanahairnya di seberang ya! Kita bukan kecil hati fasal derma tetapi sebagai menauladan gerak-gerak perusahaan yang terkemuka di sana tidak halal buat Semenanjung pula!
Memandang kepada arah-arah penghidupan anak negeri di sini pula lagi diasuh di dalam sekolah pertengahan. Tetapi halnya tidaklah memadai dengan disebut-sebut sahaja; jika sekiranya berkehendakan "Hidup Yang Selamat" wajiblah di Semenanjung sebagaimana langkah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada mendirikan sekolah pertenunan itu, perbuatan mana yang julung pertama itu sebaik-baik tauladan bagi umat Melayu Raya.
Kita yakin dengan percaya sebagaimana tuahnya nasib Selangor, begitulah seterusnya rakyat Melayu Semenanjung iaitu dengan tidak melampaui masanya lagi, beberapa sekolah sara kehidupan anak negeri akan terbangun, dengan perusahaan penganjur-penganjur Melayu dan dengan persatuan Melayu Se-Malaya!
Tidak berubah nasib sesuatu bangsa itu jika tidak ia mengubah dengan sendirinya! Begitulah penyudahan kalam kita menuntut maaf mohonkan ampun.
top |