Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, May 1935, p.163-166

General Article.

Sekolah-Sekolah Melayu itulah Suluh kepada Kampung-Kampung Melayu.

Orang-Orang Muda Melayu Kampung:

Kita tahu beberapa puluh tahun lalu yang mana negeri kita di Semenanjung ini orang-orang mudanya di kampung-kampung kebanyakan tidak mengerti membaca dan menulis dan kalau adapun hanya bilangan yang sangat sedikit.

Lihatlah contoh orang-orang tuanya yang ada di kampung-kampung kita sekarang ini yang hanya tahu sedikit-sedikit membaca mata surat dan faham sedikit dalam congak-mencongak dalam jual beli hari-hari.

Maka peringkat yang muda pada masa sekarang ini mereka itu telah mengenal tulisan dengan betul dan boleh pula mengarang dengan sederhana serta pandai berkira-kira dengan betul di dalam buku peringatan.

Sekalian yang kita sebutkan di atas itu tidak lain melainkan berasal pengetahuannya dari sekolah-sekolah Melayu. Walaupun begitu terang kepada mata hati kita yang sekolah itu seolah-olah ibu bapa yang mengajar dan mendidik seseorang kampung mengenal diri supaya jadi manusia, tetapi sangat dukacita hati kita iaitu manakala kita lihat sesetengah-setengah mereka yang telah berlepas dari sekolah-sekolah yang diam di kampung-kampung itu tidak sekali-kali mengikut contoh-contoh yang telah dilatih di dalam sekolah.

Di dalam sekolah diajar mereka bekerja berkebun sayur, bertukang kayu, menanyam, berhitung jalan, berniaga dari kira-kira peratus, hitung panjang dan keluasan; ilmu alam, tawarikh kesihatan dan sebagainya.

Mereka tidak tahu adalah pelajaran yang dilatih di sekolah itu ada belaka masing-masingnya dengan tujuan yang mana menyuruh mereka menggunakannya dengan tidak payah berharapkan kerja makan gaji pada kerajaan. Dalam kampung-kampung kita tahu ada beberapa puluh orang-orang muda yang masih berangan-angan hendak dapat kerja jadi kerani, jadi mata-mata, jadi askar, jadi peon, jadi itu dan ini yang hanya terlorong kepada makan gaji semata-mata. pada hal mereka itu tidak faham sekali apa-apa dia yang telah ditunjukkan masa mereka itu bersekolah tempoh hari dahulu sebelum keluaran menjadi orang muda yang tegap seperti keadaan mereka-mereka di kampung itu!

Di sini speech Penulis digambarkan kepada pengetahuan-pengetahuan pembaca supaya hapus angan-angan yang rendah dan terbelenggu itu!

Contoh-contoh dari Sekolah Melayu:

1. Membaca dan Menulis.

Iaitulah supaya kenalkan tulisan-tulisan bangsa kita yang ramai di negeri Melayu ini di dalam karangan-karangannya di surat-surat khabar dan majalah-majalah bagaimana perasaan dan fikiran bangsa-bangsa kita di sesuatu tempat dalam hal hidup hari-hari dan dapat mengetahui hal-hal perkhabaran ringkas luar negeri dan dalam negeri dengan tak payah kita mengetahui bahasa-bahasa asing lagi memadai dengan pelajaran kita yang di sekolah Melayu.

Pendeknya meliputi segala faedah membaca-baca surat-surat khabar bangsanya. Lebih-lebih lagi hal-hal yang lain membaca-baca kitab-kitab dan sebagainya serta menulis bagi faedah hari-hari sebagaimana kemajuan segala orang yang hidup di zaman ini mesti pandai membaca dan menulis.

2. Berkira-kira.

Dalam sekolah Melayu dari darjah satu lagi telah diajar kira-kira yang rendah hingga beransur-ansur

tinggi. Darjah lima meliputi diajar dengan kira-kira pecahan, perpuluhan, peratus, hitung panjang, agih, berjual-beli, untung rugi, keluasan dan lain-lain.

Maka sekalian kira-kira itu bagi murid-murid darjah lima yang ada pada hari ia belajar jika ditanya apa-apa faedahnya segala kira-kira yang dipelajarinya itu?

Jawabnya tidak lain supaya tamat di dalam peperiksaan! Pada hal mereka itu tidak sedar adalah kira-kira yang telah diajar di sekolah-sekolah itu tujuannya menyuruh mereka itu menggunakannya manakala telah keluar esok bagi kehidupannya hari-hari kira-kira peratus, hitung panjang, agih, berjual beli itu ialah melatih mereka supaya tahu berkira-kira wang jalan berniaga manakala mereka itu besar dan pandai berniaga walaupun dimulai dari jualan air batu atau rokok yang sehabis-habis kecil mudanya.

Maka kira-kira keluasan termasuklah sekali kira-kira yang telah disebutkan di atas tadi mengajar mereka membuat sesuatu pengagakan yang betul sekiranya jika ada wang boleh pula menjadi pemborong ((kontrak)) umpamanya membuat rumah, menggali parit, dan sebagainya, atau sekurang-kurangnya menjadi kuli sekalipun payahlah pula hendak ditipu oleh pengupah kerana mereka itu telah arti sekalian luas pekerjaannya sekian lebar tanah yang diusahakannya dan sekian tebal rumah yang telah dibinanya.

Maka apakala telah disebutkan di atas itu patutlah boleh mengerti: adakah berguna atau tidak pelajaran di sekolah-sekolah Melayu itu?

Pelajaran di sekolah Melayu dalam hal kira mengiranya atau mengagak ((mencongak)) apa-apa pun samalah mereka itu seseorang budak-budak Cina yang di dalam sekolah seperti itu. Jika ditanya mereka tak pernah mereka mengatakan pelajaran sekolahnya itu tidak berguna melainkan mereka berharap segala pelajarannya itu untuk pekerjaan hidupnya yang akan datang.

Kita perhatikan Towkay kedai di dalam kampung itu atau dalam pekan-pekan sekalipun boleh dihitung 99 peratus yang tiada tahu pelajaran Inggeris melainkan itulah sekolah rendahnya yang riuh rendah hari-hari menjerit-njerit itu mengajar mereka ilmu berkira-kira dan lain-lain untuk berniaga. Jika orang Cina boleh menggunakan pelajaran sekolah-sekolahnya bagi faedahnya hidupnya hari-hari, maka apa pula salahnya pelajaran di sekolah-sekolah Melayu itu dijadikan perkakas fikiran bekerja hidup orang-orang Melayu tiap-tiap masa!

3. Pekerjaan Tangan:

Yang digunakan pekerjaan tangan itu termasuklah: menganyam, bertukang kayu -- membuat kerusi meja dan sebagainya -- dan lain-lain pekerjaan yang seperti itu di mana-mana negeri pun di dalam Tanah Melayu ini memang ada sekolahnya yang dikhaskan bagi pekerjaan tangan seperti itu. Negeri-Negeri yang lebih maju dalam dunia ini ialah pekerjaan tangan -- orang Melayu dari zaman datuk nenek kita lagi telah ada pengetahuan tentang pertukangan tangan lihat contoh-contoh Negeri Sembilan ukir-ukiran rumah yang molek, di negeri-negeri Melaka dahulu misalnya pandai bertukang besi seperti keris parang dan sebagainya ((lihat Tawarikh Sejarah Melayu)), bertenun kain sekarang pun masih hidup di Kelantan, Terengganu, dan Pahang, menganyam memang serata ceruk kampung-kampung Melayu perempuan-perempuan pandai menganyam tikar, sumpit bujam, dan lain-lain, membuat kerusi meja memang ada tukang-tukang Melayu di kampung yang pandai.

Menurut catitan itu betullah ada belaka orang Melayu yang pandai sebagai bangsa-bangsa asing tetapi apakah sebabnya maka tidak nampak?

Jawabnya tidak lain kerana orang-orang Melayu tidak berusaha bersungguh-sungguh membangunkan perusahaannya dengan bermuafakat bersama-sama kerja beramai-ramai buat memajukan perusahaan ini sepah memerintahkan negeri kita telah mengadakan satu wakil menjual barang Melayu di Singapura, manakala perbuatan orang-orang Melayu itu mana-mana yang telah dibuat umpamanya tenunan kain, perkakas-perkakas tembaga, dan sebagainya.

Maka dengan naik hati wakil-wakil penjual yang di Singapura itu sanggup tolong menjualnya dengan syarat mengikut undang gudang itu yang telah ditetapkan hantarlah terus dan berkira dengan gudang yang disebutkan.

Dalam negeri Selangor, kita telah dapat tahu betul-betul; di Kelang telah dibangunkan suatu syarikat bekerja tangan yang seperti itu yang diusahakan orang-orang besar di Kelang -- lihatlah iklannya di surat khabar "Majlis" pun jika tidak salah dalam pertunjukan bangsa-bangsa yang diadakan di Bandar Kuala Lumpur pada 27 dan 28 haribulan March 1935 yang lalu, banyak barang-barang yang dipunyai oleh Yang Amat Mulia Tengku Laksamana itu dihantar ke sana untuk menjadi contoh perbuatan Melayu yang lama-lama itu patut dihidupkan, dalam perusahaan itu juga telah diadakan sekolah pertukangan kepada anak-anak Melayu yang hendak berlatih. Di harap tidak berapa laman usaha itu akan berhasil faedahnya.

4. Pelajaran Ilmu Alam.

Bangsa-bangsa asing yang di dalam sekolah selalu memerhatikan perkara yang diakhir sekolahnya tentang ilmu alam dan tawarikh itu pelajaran yang amat berguna, ilmu alam itu membukakan mata kita mengenal akan kemajuan negeri, umpamanya di Tanah Melayu ini yang wajib makanan anak negeri terutama beras, dan lain-lain pula iaitu sayur-sayuran, hidup-hidupan dan berjenis-jenis rumput. Dari situ kita dapat tahu apa yang kekurangan pada bangsa kita orang Melayu, jika orang Melayu yang sudah berusaha bersawah padi kerana makanan kita umpamanya di Kerian dalam Perak, di Negeri Sembilan merata-rata kampung dan di Kedah sebahagian besar pula tanah rendah di negeri Semenanjung Tanah Melayu ini diusahakan pula untuk mengusahakan menanam perkara-perkara itu.

Hidup-hidupan: selalu orang kampung kita berhidup-hidupan seperti memelihara ayam itik atau kerbau tidak dengan bersungguh-sungguh iaitu suatu pekerjaan yang dibuatan sambil lewa sahaja. Padahal pekerjaan itu jika diusahakannya dengan betul menurut peraturan membela hidup-hidupan seperti yang dicontohkan di Serdang ((patut orang-orang Melayu yang hendak membuat perusahaan itu melawat ke Serdang dan Tanya kepada pegawai di sana bagaimana aturan menternak ayam atau membela kambing lembu dan sebagainya)) dengan terang kita dapat mengerti adalah pekerjaan kita di kampung membela hidup-hidupan itu selama ini tidak dengan peraturan yang betul.

Di Serdang ditunjukkan bagaimana ayam kampung yang kecil dan kurus itu boleh jadi gemuk dan besar jika disatukan dengan benih ((baka)) ayam Eropah atau Saigon. Dan bagaimana aturan membelanya supaya selamat ayam itu daripada berbagai-bagai penyakit yang boleh membinasakan kehidupannya binatang ternakan kita. Begitulah juga di Serdang sana ditunjukkan bagaimana membaiki baka lembu-lembu kambing dan sebagainya. Sekalian itu jika kita melawat ke sana dan beranya dengan baik hati, pegawai di sana memberi keterangan yang cukup yang berguna dibawa kembali ke kampung.